lizamuslim

Hati ini telah bersatu, Berkumpul di perut bumiMu, Hati ini telah berpadu, Bersatu memikul beban dakwahMu, Hati ini telah mengikat setia, Untuk mendaulat untuk mendukung, SyariatMu di alam maya, Maka Ya Allah eratkanlah, Ikatan yang ada...

Oleh - Abdul Aziz Bari

Dalam satu forum membincangkan masa depan negara dari perspektif undang-undang di Kemaman 11 Julai lalu saya mengatakan bahawa rakyat perlu tampil ke depan memperbetulkan proses perundangan yang sudah menyimpang dari jalan yang sebenar. Kita sudah sampai ke tahap kritikal: sistem pentadbiran dan perundangan kita di manipulasi begitu rupa sehingga orang awam yang tidak tahu undang-undang pun dapat menghidu sesuatu yang tak kena.

Masalah kita sekarang bukan masalah undang-undang; sebaliknya ia adalah masalah pelaksanaan. Saya sering menyebut analogi kereta: orang lain pun bawa kereta yang sama tapi mereka tidak menghadapi masalah yang kita hadapi.

Dalam soal sistem – khususnya sistem perlembagaan Wesminster atau demokrasi berparlimen – kita lihat bagaimana negara yang lain, khususnya prototaip sistem itu United Kingdom tidak mengalami masalah seperti kita. Begitu juga dengan Australia, New Zealand atau India. Jangan sebut Singapura kerana dalam konteks demokrasi negara itu lebih teruk dari Malaysia.

Sebagai contoh istana di Britain tidak mengada-ngada. Ratu Elizabeth II adalah model yang baik untuk diikuti oleh raja-raja kita. Begitu juga dengan mahkamah dan kakitangan awam mereka. Oleh kerana istana tidak mengada-ngada dan tidak boleh diperalatkan maka politik di sana dimainkan mengikut buku dan mereka tidak menyeret mahkamah.

Terfikirkah kita kerajaan yang memerintah – sebagaimana yang ditunjukkan Perdana Menteri Gordon Brown April lalu – membenarkan kakitangan awam memberi taklimat kepada parti lawan yang hendak membentuk kerajaan?

Cuba kita bandingkan apa berlaku di Britain itu dengan gelagat kerajaan diketuai Barisan Nasional yang meronta-ronta untuk menyelamatkan diri tatkala mendengar gendang dipalu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 September 2009. Kita lihat gelagat polis, baik di Parlimen mahupun di Perak. Kita juga lihat gelagat pegawai persekutuan seperti Nik Ali Mat Yunus di Pulau Pinang yang minggu lalu memaki Ketua Menteri Lim Guan Eng sebagai ‘biadab’. Adakah pegawai-pegawai PTD berani berbuat demikian kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib? Kita tahu, banyak kali pegawai kerajaan dipersalahkan; terbaru dalam isu lesen judi bola sepak, tetapi pegawai-pegawai ini sanggup pula diperkuda sedangkan Lim Guan Eng hanya mahu Nik Ali menjalankan tugas dengan betul.

Apa peranan rakyat dalam membetulkan undang-undang, khususnya perlembagaan? Mereka perlu peka terhadap kejadian-kejadian seperti itu dan tidak mengundi parti-parti terlibat. Apa yang parti-parti itu lakukan adalah kesalahan besar; sesuatu tidak boleh dimaafkan. Tindak-tanduk mereka umpama memegang bola dalam permainan bola sepak. Ertinya pemain itu mesti diberikan kad merah!

Antara petanda menunjukkan bahawa sistem kita tidak kena ialah sikap mahkamah. Apabila terlalu banyak keputusan yang salah dan mengingkari perlembagaan dan keputusan itu sering menyebelah kerajaan, itu satu isyarat jelas bahawa hakim-hakim tidak bebas dan takut. Terpaku kita lihat keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Tian Chua, ia kes jenayah. Jadi ia perlu diputuskan mengikut fakta dan undang-undang berkaitan. Ertinya apakah benar Ahli Parlimen Batu itu menggigit anggota polis sebagaimana didakwa. Hakim tidak perlu sibuk memikir apakah hukuman yang dikenakan membatalkan kerusi berkenaan atau tidak.

Apabila Hakim Datuk Ghazali Cha lebih mementingkan isu itu, mahu tidak mahu mahkamah dianggap bermain politik. Ini sukar dielak dalam keadaan mahkamah sudah banyak kali membelakangkan perlembagaan; khususnya sebagaimana yang kita lihat dalam kes di Perak: antaranya apabila Mahkamah Persekutuan – melalui mendiang Hakim Datuk Augustine Paul – mengatakan Speaker tidak ada kuasa pemutus.

Kes Tian Chua bukan yang pertama. Tahun lalu kita lihat bagaimana pilihan raya kerusi Parlimen Pensiangan di Sabah tidak dibatalkan oleh mahkamah. Begitu juga dengan kes-kes petisyen pilihan raya yang memihak kepada Pakatan Rakyat.

Rakyat sudah cerdik. Walaupun tidak semua faham undang-undang mereka boleh membaca apa yang tersirat. Mereka tahu sejak 2008 Barisan tidak selesa dengan pilihan raya. Jadi apabila SPR membuat bermacam helah untuk tidak mengadakan pilihan raya, rakyat tahu apa sebenarnya SPR buat. Begitu juga dengan mahkamah.

Sistem yang betul dan adil ialah apabila keputusan dibuat tanpa memikirkan nasib kerajaan memerintah. Inilah yang berlaku di negara-negara disebutkan tadi. Bagi mereka kerajaan datang dan pergi. Kerajaan boleh digantikan, lebih penting keadilan dilaksanakan.

Tetapi proses sedemikian hanya boleh berjalan sekiranya istana, mahkamah dan perkhidmatan awam sedar serta komited dengan peranan mereka. Ini semua penting dalam memastikan proses demokrasi berjalan lancar. Ini jelas tidak wujud di Malaysia dan rakyat perlu berbuat sesuatu untuk memperbetulkannya.

Powered By Blogger

Blog Pilihanku...