lizamuslim

Hati ini telah bersatu, Berkumpul di perut bumiMu, Hati ini telah berpadu, Bersatu memikul beban dakwahMu, Hati ini telah mengikat setia, Untuk mendaulat untuk mendukung, SyariatMu di alam maya, Maka Ya Allah eratkanlah, Ikatan yang ada...

1. Insyaallah pada bulan oktober 2010 tanggal 1 , 2 dan 3 haribulan , Dewan Pemuda PAS Pusat melalui Akademi Tarbiyyah Pemuda sekali lagi akan melakarkan sejarahnya yang tersendiri apabila satu Ijtima' Tarbawi Pemuda Kebangsaan akan dianjurkan di Perkarangan Masjid Rusila Terengganu .

2. Ijtima' ini bakal menghimpun 3500jentera pemuda yang merupakan penggerak dan pengamal tarbiyahdisemua peringkat organisasi Dewan Pemuda sebelum satu lagi himpunan besar yang akan menghimpun 30 ribu petugas dan penggerak pilihanraya pemuda pada awal tahun depan di negeri Selangor atau Kedah .

3. Ijtima' Tarbawi Pemuda Kebangsaanadalah himpunan untuk memperkasakan penghayatan dan perlaksanaan amal tarbawi dalam Dewan Pemuda disemua peringkat [ Pusat , Negeri , Kawasan dan cawangan ]

4. Himpunan itu akan bermula pendaftarannya selepas solat jumaat 1 oktober 2010 [ 3.00 - 4.30 pm ] dan akan berakhir dengan solat zuhur pada hari Ahad 3 oktober 2010 [ 2.00 pm ] . Lokasi himpunan ini ialah ruang Masjid Rusila untuk aktiviti indoor sementara perkarangan Masjid Rusila [ mukhayyam \ perkhemahan ] untuk program yang bersifat outdoor .

5. Antara program menarik dan penting ialah :

  • Pembentangan kertas dan taujihat Tarbiyyatur Ruuhiyyah : oleh Sohibus Samahah Al Fadhil YAB Tuan Guru Dato' Bentara Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat [ al Mursyidul Am PAS ]
  • Talaqqi [ menadah kitab ] Tafsir surah al Hujurat [ sehingga khatam dalam tempoh 3 hari ] : oleh Sohibus Samahah Al Fadhil Yb. Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang [ Presiden PAS ]
  • Amanah Khas Amal Tarbawi oleh : Muraaqibul Am Ikhwanul Muslimin Jordan [ Penterjemah : al Fadhil Ustaz Mohd Khalil Tuan Guru Hj Abdul Hadi ]
  • Taujihat [ motivasi ] Amal Tarbawi dan Amanah Harakah Islamiyyah - 1 : oleh Sohibus Samahah Al Fadhil Ustazul Murabbi Dato' Yahya Othman [ mantan Ahli Majlis Syura Ulama' PAS ]
  • Taujihat Amal Tarbawi dan Amanah Harakah Islamiyyah - 2 : oleh Sohibus Samahah Al Fadhil Ustazul Murabbi Yb. Dato' Harun Taib [ Ketua Dewan Ulama' PAS Pusat ]
  • Pidato - pidato Tarbawi Oleh :
Al Fadhil Yb. Ustaz Nasharudin Mat Isa [ Timbalan Presiden PAS ]
Al Fadhil Ustaz Dato' Hj Abu Bakar Chik [ Mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ]
Al Fadhil Yb. Tuan Hj. Salahudin Ayyub [ Mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ]
Al Fadhil Ustaz Hj. Nasrudin Hassan [ Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ]

  • Aktiviti spiritual seperti qiamulail , munajat , al Mathurat al Kubra dan banyak lagi aktiviti yang menarik bersifat amal tarbawi akan dilangsungkan .

6. Komander program besar ini ialah al Fadhil ustaz Nik Mohd Abduh Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku Pengerusi Akademi Tarbiyah Pemuda . Insyaallah selepas selesai retreat Dewan Pemuda PAS Pusat pada awal ogos nanti , beliau akan keluarkan arahan rasmi kepada semua peringkat [ negeri dan kawasan ] untuk mengambil tindakan selayaknya .

7. Saya mengambil langkah mengisytiharkan terlebih dahulu program ini untuk makluman awal kepada semua pihak agar mengosongkan tarikh [ 1 - 3 oktober 2010] bermula dari EXCO DPPP , EXCO DPPN sehinggalah kepada AJK DPP Kawasan dan Jawatan kuasa Pemuda cawangan [ JPC ]

8. Sementara menunggu arahan dan prosuder rasmi dari Akademi Tarbiyah Pemuda , saya harap beberapa tindakan awal bolehlah diambil sekarang , terutama tuan rumah DPP Negeri Terengganu dan demikian juga seluruh negeri kerana ia juga merupakan program induk DPPP . Sementara sasaran program himpunan ini ialah :

  • Seluruh EXCO DPPP [ tanpa kecuali ]
  • Seluruh EXCO DPPN [ tanpa kecuali ]
  • Seluruh AJK DPP Kawasan [ tanpa kecuali ]
[ * Juga di buka kepada semua ahli pemuda PAS yang berminat melalui pendaftaran khas direct di pejabat DPP negeri - negeri atau pejabat DPPP .]

9. Saya selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat sangat mengharapkan agar seluruh pemuda dapat menghadhirkan diri atau menyertai program bersejarah ini untuk kita mengembalikan kemantapan amal tarbawi dan memperkasakan gerakkannya dalam Dewan Pemuda PAS khasnya dan dalam PAS itu sendiri secara amnya .

10. Saya juga mengharapkan para dermawan dan sukarelawan yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap perlunya PAS menyemarakkan lagi obor Amal Tarbawi agar ia tidak pudar dan malap menghulurkan sumbangan material dan fizikal bagi menjayakannya . Tentunya ini tanggungjawab kita bersama bagi memastikan wajah PAS sebagai sebuah Harakah Islamiyah unggul di negara ini terus hebat dan berwibawa .

Oleh - Abdul Aziz Bari

Dalam satu forum membincangkan masa depan negara dari perspektif undang-undang di Kemaman 11 Julai lalu saya mengatakan bahawa rakyat perlu tampil ke depan memperbetulkan proses perundangan yang sudah menyimpang dari jalan yang sebenar. Kita sudah sampai ke tahap kritikal: sistem pentadbiran dan perundangan kita di manipulasi begitu rupa sehingga orang awam yang tidak tahu undang-undang pun dapat menghidu sesuatu yang tak kena.

Masalah kita sekarang bukan masalah undang-undang; sebaliknya ia adalah masalah pelaksanaan. Saya sering menyebut analogi kereta: orang lain pun bawa kereta yang sama tapi mereka tidak menghadapi masalah yang kita hadapi.

Dalam soal sistem – khususnya sistem perlembagaan Wesminster atau demokrasi berparlimen – kita lihat bagaimana negara yang lain, khususnya prototaip sistem itu United Kingdom tidak mengalami masalah seperti kita. Begitu juga dengan Australia, New Zealand atau India. Jangan sebut Singapura kerana dalam konteks demokrasi negara itu lebih teruk dari Malaysia.

Sebagai contoh istana di Britain tidak mengada-ngada. Ratu Elizabeth II adalah model yang baik untuk diikuti oleh raja-raja kita. Begitu juga dengan mahkamah dan kakitangan awam mereka. Oleh kerana istana tidak mengada-ngada dan tidak boleh diperalatkan maka politik di sana dimainkan mengikut buku dan mereka tidak menyeret mahkamah.

Terfikirkah kita kerajaan yang memerintah – sebagaimana yang ditunjukkan Perdana Menteri Gordon Brown April lalu – membenarkan kakitangan awam memberi taklimat kepada parti lawan yang hendak membentuk kerajaan?

Cuba kita bandingkan apa berlaku di Britain itu dengan gelagat kerajaan diketuai Barisan Nasional yang meronta-ronta untuk menyelamatkan diri tatkala mendengar gendang dipalu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 September 2009. Kita lihat gelagat polis, baik di Parlimen mahupun di Perak. Kita juga lihat gelagat pegawai persekutuan seperti Nik Ali Mat Yunus di Pulau Pinang yang minggu lalu memaki Ketua Menteri Lim Guan Eng sebagai ‘biadab’. Adakah pegawai-pegawai PTD berani berbuat demikian kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib? Kita tahu, banyak kali pegawai kerajaan dipersalahkan; terbaru dalam isu lesen judi bola sepak, tetapi pegawai-pegawai ini sanggup pula diperkuda sedangkan Lim Guan Eng hanya mahu Nik Ali menjalankan tugas dengan betul.

Apa peranan rakyat dalam membetulkan undang-undang, khususnya perlembagaan? Mereka perlu peka terhadap kejadian-kejadian seperti itu dan tidak mengundi parti-parti terlibat. Apa yang parti-parti itu lakukan adalah kesalahan besar; sesuatu tidak boleh dimaafkan. Tindak-tanduk mereka umpama memegang bola dalam permainan bola sepak. Ertinya pemain itu mesti diberikan kad merah!

Antara petanda menunjukkan bahawa sistem kita tidak kena ialah sikap mahkamah. Apabila terlalu banyak keputusan yang salah dan mengingkari perlembagaan dan keputusan itu sering menyebelah kerajaan, itu satu isyarat jelas bahawa hakim-hakim tidak bebas dan takut. Terpaku kita lihat keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Tian Chua, ia kes jenayah. Jadi ia perlu diputuskan mengikut fakta dan undang-undang berkaitan. Ertinya apakah benar Ahli Parlimen Batu itu menggigit anggota polis sebagaimana didakwa. Hakim tidak perlu sibuk memikir apakah hukuman yang dikenakan membatalkan kerusi berkenaan atau tidak.

Apabila Hakim Datuk Ghazali Cha lebih mementingkan isu itu, mahu tidak mahu mahkamah dianggap bermain politik. Ini sukar dielak dalam keadaan mahkamah sudah banyak kali membelakangkan perlembagaan; khususnya sebagaimana yang kita lihat dalam kes di Perak: antaranya apabila Mahkamah Persekutuan – melalui mendiang Hakim Datuk Augustine Paul – mengatakan Speaker tidak ada kuasa pemutus.

Kes Tian Chua bukan yang pertama. Tahun lalu kita lihat bagaimana pilihan raya kerusi Parlimen Pensiangan di Sabah tidak dibatalkan oleh mahkamah. Begitu juga dengan kes-kes petisyen pilihan raya yang memihak kepada Pakatan Rakyat.

Rakyat sudah cerdik. Walaupun tidak semua faham undang-undang mereka boleh membaca apa yang tersirat. Mereka tahu sejak 2008 Barisan tidak selesa dengan pilihan raya. Jadi apabila SPR membuat bermacam helah untuk tidak mengadakan pilihan raya, rakyat tahu apa sebenarnya SPR buat. Begitu juga dengan mahkamah.

Sistem yang betul dan adil ialah apabila keputusan dibuat tanpa memikirkan nasib kerajaan memerintah. Inilah yang berlaku di negara-negara disebutkan tadi. Bagi mereka kerajaan datang dan pergi. Kerajaan boleh digantikan, lebih penting keadilan dilaksanakan.

Tetapi proses sedemikian hanya boleh berjalan sekiranya istana, mahkamah dan perkhidmatan awam sedar serta komited dengan peranan mereka. Ini semua penting dalam memastikan proses demokrasi berjalan lancar. Ini jelas tidak wujud di Malaysia dan rakyat perlu berbuat sesuatu untuk memperbetulkannya.


FELDA Global Venture Holdings menggunakan tunai simpanan (cash reserves) dan berhutang secara besar-besaran, untuk menjalankan merger dan akuisisi di luar negeri. Lebih-lebih lagi, pembelian perusahaan-perusahaan ini dijalankan dalam keadaan tidak bersedia, tanpa penelitian dan penyemakan peneroka FELDA tentang bagaimana dana ini digunakan, dan maklumat terperinci berhubung pelaburan ini.

Demikianlah perubahan yang membimbangkan dalam FELDA, setelah Najib Razak menyandang jawatan Perdana Menteri, menurut sumber dalaman FELDA.
Beliau memberitahu MerdekaReview, FELDA memperlihatkan perkembangan yang membimbangkan, setelah Najib Razak menguasai FELDA sepenuhnya, terutamanya apabila FELDA Global Venture Holdings ditubuhkan pada tahun 2007.

"Sebelum Najib masuk, kami (FELDA) tidak pernah bertindak sebegitu pantas dalam pembelian perusahaan (merger dan akuisisi). Setelah beliau masuk, terutamanya selepas penubuhan FELDA Global Venture Holdings, pembelian perusahaan di luar negeri dijalankan dengan begitu giat sekali," kata sumber maklumat.

Malah, beliau menambah, keputusan pembelian perusahaan atau pelaburan ini bukannya hasil perbincangan dalam FELDA, tetapi arahan politik. Lebih-lebih lagi, dalam kebanyakan masa, hanya beberapa orang dari pihak atasan yang mengetahui maklumat terperincinya.

Beliau menambah, Najib menjalin hubungan yang erat dengan FELDA sejak beliau menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri. Kekerapan Najib muncul dalam mesyuarat FELDA bertambah dari purata dua bulan sekali, sehingga sebulan sekali sekarang, bahkan kadang-kala, dua minggu sekali.

Apa yang menarik, Najib telah mengalihkan FELDA ke bawah Jabatan Perdana Menteri setelah beliau dilantik sebagai TPM pada tahun 2004. FELDA diletakkan secara langsung di bawah bidang kuasa dirinya.

Strategi radikal dalam pembelian perusahaan

Sumber maklumat ini meluahkan keresahan pihak dalaman FELDA, "Kami menganggap projek merger dan akuisisi (yang dijalankan FELDA Global Venture Holdings) tidak harus dilakukan dengan tergesa-gesa, sekurang-kurangnya nilailah dahulu hasil projek pembelian perusahaan sebelum terus kepada projek yang selanjutnya... Bukannya asyik beli sahaja."

Lebih penting, pembelian ini dijalankan tanpa persediaan yang mencukupi dalam FELDA sendiri, iaitu tidak mengambil kira sama ada mereka mampu untuk menanganinya. Misalnya, FELDA Global Venture Holdings mengambil alih kilang pemprosesan minyak kelapa sawit di luar negeri, yang mana perusahaan utamanya adalah penghasilan produk yang mempunyai nilai tambahan, sementara bahan mentahnya (iaitu kelapa sawit) dibekalkan melalui projek peneroka FELDA. Pada hakikatnya, FELDA sendiri belum bersedia untuk memenuhi keperluan kilang pemprosesan yang semakin bertambah.
Pelaburan di luar negeri

FELDA Global Venture Holdings ditubuhkan pada Disember 2007, tetapi hanya diumumkan struktur organisasinya pada Julai tahun lalu. Tiga buah anak negeri di bawah FELDA Global Venture Holdings termasuklan Felda Global Ventures North Amerika Sdn. Bhd, Felda Global Ventures Indonesia Sdn. Bhd dan Felda Global Ventures Middle East Sdn. Bhd.

Setakat ini, pelaburan di luar negeri oleh FELDA Global Venture Holdings yang diumumkan termasuklah pembelian Syarikat Twin River Technologies di Amerika Syarikat. Selain itu, FELDA Global Venture Holdings turut mencari peluang pelaburan dalam bidang perladangan di Indonesia; di samping terlibat dalam pelaburan di Timur Tengah.

Sebagaimana yang diketahui, apa yang diumumkan ini hanyalah sebahagian daripada pelaburannya. Pada hakikatnya, syarikat ini telah menerokai pelaburan di Brazil, India dan Amerika Syarikat. Tetapi, pelaburan ini masih dalam keadaan menanggung kerugian.

Selain itu, FELDA telah menggunakan tunai simpanan (cash reserves) dan berhutang untuk menanggung pembelian perusahaan di luar negeri ini. Lantaran daripada itu, tunai simpanan FELDA menunjukkan pola pengurangan, malah menanggung hutang yang besar.

"Pada awalnya, ketika FELDA mempunyai banyak tunai simpanan, sesetengah elit menuduh bahawa wang ini tidak dikendalikan dengan baik, dan seharusnya digunakan untuk melabur. Namun, pelaburan seharusnya mempunyai perancangan jangka panjang, bukannya melabur secara tergesa-gesa. Kini, tunai simpanan yang tinggal tidak seberapa, kerana telah digunakan untuk merger dan akuisisi."

Sumber maklumat ini berkata, "Saya bersetuju dengan Tan Kee Kwong (bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi), bahawa FELDA pada asalnya tidak berhutang, tetapi terlebih berhutang pada masa sekarang."

Baru-baru ini, kerajaan Najib mengakui bahawa tunai simpanan FELDA telah berkurang dari RM4.08 bilion pada tahun 2004 kepada RM1.35 bilion pada tahun 2009, dengan pengurangan pada kadar 67%. Selain itu, Tan Kee Kwong pernah mendedahkan bahawa FELDA memiliki aset bernilai RM7 bilion, dan tunai simpanan sejumlah RM4.5 bilion, malah tidak berhutang, sebelum Najib mengambil alih FELDA.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa FELDA sedang merancang untuk menerbitkan bon yang bernilai RM6 bilion, sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula FELDA. Angka ini sama dengan pengumuman FELDA Global Venture Holdings bahawa mereka merancang untuk melaburkan lebih RM6 bilion untuk memperluaskan perusahaannya.

Pembangkang mengkritik bahawa Najib dan Mohd Bakke Salleh yang bakal menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby, harus bertanggungjawab terhadap pengurangan tunai simpanan secara mendadak dalam FELDA.Sumber dalaman FELDA mengesahkan bahawa setelah FELDA melantik Mohd Bakke Salleh sebagai Ketua Pegawai Eksekutif FELDA Global Venture Holdings pada tahun 2008, merger dan akuisisi mula dijalankan dengan giat di luar negeri.

Peneroka FELDA diketepikan

Di samping itu, sumber maklumat ini menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju bahawa peneroka FELDA diketepikan ketika keputusan pelaburan ini dilakukan.

"FELDA memegang 100% saham FELDA Global Venture Holdings, tetapi peneroka FELDA tidak boleh turut serta, dan tiada hak untuk mengetahui dan mengundi dalam FELDA Global Venture Holdings. Jangan lupa, kilang pemprosesan kepala sawit yang dibeli FELDA Global Venture Holdings itu, kelapa sawitnya dibekalkan peneroka FELDA. Daripada 800 ribu hektar ladang yang dimiliki FELDA, 50% daripadanya dimiliki peneroka FELDA. Tindakan ini (mengetepikan peneroka FELDA) telah merampas hak yang seharusnya dimiliki mereka," katanya.

Menurut laporan media, kerajaan hanya memindahkan 49% saham FELDA yang dimiliki kerajaan ke FELDA Global Venture Holdings ketika ia ditubuhkan,sementara 51% saham yang dimiliki peneroka FELDA terus dikekalkan dalam FELDA. Peneroka FELDA memegang 51% saham melalui Koperasi Permodalan Felda, yang terdiri daripada 110 ribu orang peneroka FELDA dan 22 ribu orang pekerja.

Dengan kata lain, walaupun FELDA menguasai 100% saham FELDA Global Venture Holdings, namun peneroka FELDA yang merupakan pemegang saham besar (51%) telah diketepikan dalam proses membuat keputusan dalam FELDA Global Venture Holdings.

Menurut laporan The Malaysian Insider semalam, National Association of Felda Settlers’ Children telah menggesa agar Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sama ada dana FELDA telah disalahgunakan. Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, seandainya Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri Ahmad Maslan enggan memberi penjelasan berikutan pengurangan tunai simpanan FELDA, maka pihaknya bersedia untuk membuat laporan kepada SPRM dan balai polis di setiap negeri pada bulan depan.

Minggu lalu, Ahmad Maslan menafikan bahawa pengurangan tunai simpanan FELDA disebabkan salah urus, malah menafikan bahawa wang ini disalahgunakan. -MR

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang dari teks asal.



1. Sebaik - baik perkara ialah pertengahannya [ sederhana ]
خير الأمور أوسطها.
Tidak melampau [ ifrat] dan tidak terlalu bermudah - mudah . [tafrit ] .

2. Sederhana adalah lambang keutuhan dan kemuliaan peribadi . Pemimpin yang hidup dalam kesederhanaan adalah pemimpin yang berjiwa besar justeru ia tidak dipengaruhi oleh nafsu tamak dan gelojoh .

3. Pemimpin yang mengambil gaya dan cara hidup secara sederhana juga merupakan pemimpin yang hebat justeru ia tidak terpedaya dengan bujukan nafsu dan syaithan untuk bermudah - mudah atau meringan - ringankan amanah dan tanggungjawab sebagai seorang hamba terhadap tuhannya .

4. Kini rata - rata pemimpin PAS menang pilihanraya menjadi wakil rakyat samaada diperingkat DUN atau parlimen malah ada yang bergelar Menteri Besar dan exco kerajaan negeri . Alhamdulillah , ianya satu penghormatan dan kepercayaan rakyat kepada PAS . Namun berwaspadalah , agar lifestyle kalian masih kekal utuh dalam frame seorang pemimpin yang beriman , bertaqwa , berakhlak dan sederhana .

5. Usah terpedaya dan terpengaruh dengan cara hidup orang lain apatah lagi musuh . Sekalipun kalian memang layak dan memiliki kekayaan melalui cara yang benar dan halal , namun ambil lah hukum wara' atau zuhud dalam kepimpinan dan penampilan kalian . Usah bermewah dengan harta yang dimiliki tetapi tidaklah sampai kelihatan selekeh , lusuh dan tidak ceria . Sederhanalah dalam segalanya .

6. Wara' bukan bermaksud berjalan tunduk tanpa mendongak wajah dan zuhud pula bukan bermakna selekeh tanpa set pakaian yang baru dan kemas . Tetapi wara'dengan maksud tidak berlebih - lebih menggunakan nikmat kekayaan halal yang kita miliki sementara zuhud pula ialah menggunakan nikmat kekayaan yang dimiliki tanpa hati terpengaruh dan terpaut padanya.

7. Gerakan Islam seperti PAS selayaknya mendokong feqh wasatiah [ kesederhanaan ] ini dalam usaha mendapatkan tempat di sisi Allah swt dan menarik sokongan rakyat kepada perjuangan suci yang didokong . Rata -rata manusia tidak senang dan muak dengan manusia yang berlebih - lebihan dalam penampilan gaya hidup serta menunjuk kaya dan mewah mereka.

8. Feqh wasatiah bukan hanya dipakai dalam aliran pemikiran dan prinsip hidup tetapi juga dalam penampilan , cara dan gaya hidup [ lifestyle ] . Janganlah setahun dua jadi wakil rakyat , perubahan ketara dan mendadak berlaku dalam hidupnya seperti membina rumah besar , memiliki kenderaan baru dan mahal .

9. Bukanlah salah memiliki rumah luas dan kenderaan yang baik , tetapi bersederhanalah . Jika tidak , pemimpin PAS akan kehilangan haibah [ kehebatan ] danquwwah [ kredebiliti ]. Sifat dan amalan sederhana mendekatkan pemimpin PAS dengan rakyat marhain. Mudahnya amalan bersederhana ini ialah mengambil sesuatu seperlunya . Jika ia perlukan rumah 5 bilik dengan jumlah keluarganya yang ramai maka milikilah , ia menepati keperluan . Demikianlah kenderaan , jika perlukan kenderaan yang baik kerana keperluannya berjalan jauh saban hari mengambil undangan amal islami yang diperjuangkan , maka ambillah justeru ia menepati keperluan . Apa yang tidak disenangi ialah berlebih - lebihan dari had keperluan dan bermewah - mewah .

10. Kita tidak mahu menjadi pemimpin parti yang petah mengungkap serta meriwayat contoh zuhud dan wara'nya Tuan Guru Hj Nik Abd Aziz , Tuan Guru Hj Abd Hadi dan Ust Azizan Razak , walau mereka dipuncak kuasa tetapi tetap :

  • tinggal di kediaman asal yang serba sederhana ,
  • nilai pakaian mereka seperti rakyat awam ,
  • mereka mengamalkan jimat cermat dalam kehidupan sehariannya ,
  • keraian mereka tidak mewah
  • elaun mereka dikembalikan kekantung pembendaharaan negeri
tetapi malang , jika kita sendiri gagal untuk mencontohinya .

Sokong Bersih 3

Tetamuku....

Blog Pilihanku...