lizamuslim

Hati ini telah bersatu, Berkumpul di perut bumiMu, Hati ini telah berpadu, Bersatu memikul beban dakwahMu, Hati ini telah mengikat setia, Untuk mendaulat untuk mendukung, SyariatMu di alam maya, Maka Ya Allah eratkanlah, Ikatan yang ada...

Pemilihan Ahli Majlis Syura PAS cuba dipolemikkan oleh penulis-penulis blog ahli PAS seolah-olah mereka lebih tahu berbanding dengan pimpinan PAS itu sendiri. Pada saya lebih baik diam dan tunggu sahaja dengan memberi kepercayaan kepada pimpinan sepenuh hati daripada mengulas perkara yang kita tidak tahu menahu. Beberapa penulisan dalam blog yang saya baca, sekiranya diamati dengan teliti ternyata mereka tidak menahu tentang perkara tersebut.

Ulasan yang diberi seolah-olah mereka benar-benar faham kandungan Perlembagan PAS sehingga mereka mempertikai pindaan-pindaan yang telah buat. Pada hal mereka jahil dan tidak tahu menahu. Saya bukan pimpinan PAS yang ada autoriti untuk menjawab polemik ini. Tetapi saya tahu apa yang mereka tulis tidak betul dan berniat jahat bagi memburukkan pimpinan tertinggi PAS. Saya rasa bertanggung jawab bagi menjawab persepsi yang slah ini.

Muktamar Agung Khas bagi meminda beberapa fasal dalam Perlembagaan PAS telah dibuat pada tahun 2006 di Negeri Kedah. Kertas-kertas mengenai pindaan tersebut telah dibentang oleh Ust Hj Hassan Shukri, antara kandungan-kandungan pindaan ialah mengenai Majlis Syura Ulama, perlantikan-perlantikan penolong Setiausaha dan sebagainya. Deraf pindaan kemudian dibahas oleh perwakilan.

Muktamar seterusnya pada tahun 2007 di Kelantan dibentangkan semula pindaan tersebut setelah mengambil kira pandangan dan cadangan dari perwakilan ketika dibahaskan pada tahun 2006. Dan ia diluluskan sebulat suara. Selepas Muktamar berakhir, PAS Pusat telah menghantar pindaan-pindaan tersebut ke Pejabat Pendaftar Pertubuhan untuk diluluskan. Pejabat Pendaftar Pertubuhan mengambil masa dua tahun bagi meluluskan pindaan tersebut. Pada tahun 2009 Pejabat Pendaftar Pertubuhan telah meluluskan pindaan tersebut.

Sesalinan deraf Perlembagaan PAS yang telah dipinda dan diluluskan telah dihantar kepada semua pejabat Perhubungan Negeri-negeri, saya sebagai Setiausaha Perhubungan PAS Perak salah seorang yang menerima deraf tersebut.

Pindaan-pindaan tersebut tidak ada kaitan langsung dengan unsur-unsur Kerajaan Perpaduan, ada penulis blog yang terang-terang menuduh ini kerja Cikgu PA dan beberapa pemimpin PAS yang ada kaitan dengan isu kerajaan perpaduan. Kononnya sejak Cikgu PA menjadi Setiausaha Agung banyak sungguh pindaan dibuat, dipertikai pula kononnya pindaan tersebut tidak dibawa ke mesyuarat agung dan macam-macam lagi tohmahan jahat penulis blog yang mengaku ahli PAS. Cetek dan jahil betul pemikiran mereka ini.

Pindaan ini dibuat ketika Datuk Kamaruddin Jaafar sebagai Setiausaha Agung, ketika itu cadangan pindaan perlembagan dibuat belum timbul isu Kerajaan Perpaduan.

Isu pemilihan Ahli Majlis Syura dikaitan dengan pindaan Perlembagaan yang kononnya bertujuan menyingkirkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ust Ahmad Awang yang dikatakan merekalah penghalang Kerajaan Perpaduan.

Tidak keterlaluan untuk saya katakan para blogger ini terlalu jahil untuk memahaminya atau sengaja menimbulkan polemik supaya mereka dilihat lebih tahu dan hebat berbanding dengan pimpinan PAS, dan mereka mahu menjadi juara reformasi dalam PAS.

Tidak sukar memahami pindaan-pindaan yang dibuat dalam perlantikan Ahli Majlis Syura Ulama PAS. Jawatankuasa Kerja PAS Pusat diberi kuasa melantik 4 orang AJKnya menganggotai Ahli Majlis Syura Ulama, perlantikan telah dibuat. Anggotanya ialah YB Datuk Presiden, Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Hj Abdul Halim Abdul Rahman. Dewan Ulama pula diberi kuasa melantik 4 orang AJKnya, perlantikan juga telah dibuat. Ahlinya ialah YB Ust Harun Taib, YB Datuk Hj Ahmad Yaakob, Datuk Dr.Mafuz dan Ust Nik Zawawi. Manakala Dewan Pemuda melantik Ust Nasaruddin Hasan dan Ust Zaharuddin, Manakala Dewan Muslimat melantik Ustazah Wahibah Tahir, seorang lagi saya tidak pasti.

Ini semua terkandung dalam Perlembaaan PAS (pindaan baru) dalam FASAL 7A.
(2) Ahli-ahli Majlis Syura ‘Ulamak hendaklah terdiri daripada tidak lebih tujuh belas orang iaitu:
(a) Seorang Mursyidul ‘Am
(b) Seorang Timbalan Mursyidul ‘Am
(c) Seorang Setiausaha Majlis Syura ‘Ulamak, dan
(d) Tidak lebih empat belas orang Ahli Majlis Syura‘Ulamak

(3) Seseorang yang hendak dilantik menjadi Ahli Majlis Syura
‘Ulamak itu hendaklah seseorang yang mengetahui masalah-masalah pokok (AL-USUL) dalam syariat Islam dan hukum-hukumnya atau/dan dapat merujuk masalahmasalah itu kepada al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias dengan faham akan maksud dan maknanya yang muktabar dan hendaklah seorang yang adil yakni tidak melakukan dosa besar atau terus menerus melakukan dosa kecil dan hendaklah terpelihara maruahnya serta hendaklah seorang ahli PAS.

(4) Empat orang daripada ahli Majlis Syura 'Ulamak itu hendaklah dipilih dan dilantik oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan empat orang yang dipilih dan dilantik oleh Jawatankuasa Kerja Dewan ‘Ulamak PAS Pusat dan masing-masing dua orang yang dipilih dan dilantik oleh Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat dan Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat dan tidak lebih lima orang yang baki itu dipilih dan dilantik oleh Majlis Syura 'Ulamak itu sendiri. Keahlian seseorang ahli majlis itu boleh diperbaharui oleh pihak yang memilih/melantiknya setelah tamat tempoh tersebut.

(5) Ahli-ahli Majlis Syura 'Ulamak itu hendaklah memegang jawatannya selama lima tahun. Walau bagaimanapun ahli-ahli majlis ini boleh berhenti sebelum cukup tempoh lima tahun dan boleh diberhentikan oleh Majlis Syura 'Ulamak yang mempunyai kuasa menentukan kelayakan seseorang ahli mengikut peruntukan Fasal 7A(3) dan sebab-sebab
seseorang ahli itu patut diberhentikan.

(6) Seorang Ketua Majlis Syura 'Ulamak yang dikenali sebagai Mursyidul 'Am dan seorang Timbalannya yang dikenali sebagai Timbalan Mursyidul 'Am hendaklah dipilih di
dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Majlis Syura 'Ulamak tersebut dari kalangan ahli-ahlinya dan akan memegang jawatan itu selama lima tahun dengan syarat dia boleh berhenti sebelum cukup tempoh tersebut dan boleh diberhentikan dengan persetujuan dua pertiga daripada ahli-ahli Majlis Syura 'Ulamak itu dan boleh diperbaharui perlantikannya setelah tamat tempoh dia memegang jawatan itu.

(7) Seorang Setiausaha Majlis Syura ‘Ulamak hendaklah dilantik oleh Mursyidul ‘Am di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Majlis Syura ‘Ulamak dari kalangan ahli-ahlinya, dan hendaklah memegang jawatan itu selama lima tahun dengan syarat dia boleh berhenti sebelum cukup tempoh tersebut dan boleh diberhentikan dengan persetujuan mesyuarat Majlis Syura 'Ulamak dan boleh diperbaharui perlantikannya setelah tamat tempoh dia memegang jawatan itu.

(8) Mursyidul 'Am hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat-mesyuarat Majlis Syura 'Ulamak. Sekiranya ketiadaan Mursyidul 'Am dengan apa-apa sebab sekalipun, tugas mempengerusikan mesyuarat Majlis Syura 'Ulamak itu hendaklah dijalankan oleh Timbalan Mursyidul 'Am. Jika kedua-duanya berhalangan atas apa-apa sebab, maka mesyuarat Majlis Syura 'Ulamak hendaklah melantik salah seorang dari kalangan ahli-ahlinya untuk mempengerusikan mesyuarat itu.

12 orang Ahli Majlis Syura yang telah dilantik ini telahpun bermesyuarat bagi melantik 5 orang lagi. Mesyuarat pertamanya bersetuju melantik Datuk Presiden mempengerusikan mesyuarat bagi menjalankan perlantian 5 ahli Majlis Syura yang lain. Di pilihnya Presiden bagi mempengerusikannya kerana atas faktor ketika itu beliaulah yang paling kanan dan senior dalam parti. Ketika itu Mursyidul Am belum dilantik lagi. 5 orang yang dipilih itu, salah seorangnya ialah YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Dr. Harun Din juga turut dilantik, tidak silap saya turut dilantik Ust Hashim Jasin dari Perlis dan YAB Ust Azezan Razak dari Kedah. Saya tidak pasti siapa seorang lagi.

17 orang Ahli Majlis Syura Ulama ini akan bermesyuarat dalam masa terdekat ini, tidak silap saya petang ini satu mesyuarat Majlis Syura akan diadakan bagi melantik Mursyidul Am dan Timbalan Mursyidul AM PAS.

Tidak timbul penyingkiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ust Ahmad Awang. Ada Penulis Blog menimbulkan mengapa mesyuarat Ahli Majlis Syura yang lalu tidak menjemput Tuan Guru dan ust Ahmad Awang sedangkan mereka masih Ahli Majlis Syura. Nampak sangat mereka ini tidak tahu apa-apa, tanpa usul periksa mereka menuduh ini semua kerja Cikgu PA dan geng-geng kerajaan perpaduan. Jahat sungguh pemikiran mereka.

Untuk pengetahun,pada hujung bulan 2009 yang lalu, Majlis Syura Ulama telah mengadakan Mesyuarat terakhirnya kerana tempoh perkhidmatan mereka telah tamat. Oleh kerana tempoh perkhidmatan mereka telah tamat pada akhir tahun 2009, mereka sebenarnya sudah tidak lagi menjadi anggota Majlis Syura Ulama. Mesyuarat jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang lalu (saya tidak pasti mesyuarat ke berapa) tetapi awal tahun 2010 telah melantik ahli-ahli barunya berdasarkan peruntukan dalam perlembaaan PAS yang baru.

Mesyuarat pertama dihadiri oleh 12 orang tadi, 12 orang tadi akan melantik 5 ahli barunya yang lain. 17 ahli ini pula akan bermesyuarat bagi melantik Mursyidul Am dan Timbalan Mursidul Am. Mesyuarat pertama dulu Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan ust Ahmad Awang tidak dijemput sebab mereka bukan lagi Ahli Majlis Syura, perlantikan tambahan untuk 5 orang belum lagi dibuat. Ini yang penulis blog tidak faham.

Mengapa tidak lantik ust Ahmad Awang ?. Perlantikan Ahli Majlis Syura mengikut quata. Quata Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat. Kebetulan ust Ahmad tidak menganggotai mana-mana jawatankuasa tersebut, sebab itu tidak ada quata untuknya.

Kesimpulannya, para penulis blog yang mengaku ahli PAS janganlah buang masa kamu untuk menulis perkara yang kamu tidak mahu menahu. Asal sahaja ada tulisan dari mana-nama blog yang mengkritik pimpinan, tanpa usul periksa terus sahaja mengulas dan menokoh tambah dan memuatkan tulisan tersebut dalam blog masing-masing.

Insaflah, tulisan seumpama itu sedikitpun tidak menguntungkan parti dan Islam, malahan ia lebih menguntungkan UMNO BN apabila blogger PAS sendiri menjadi lidah kepada UMNO BN itu sendiri. UMNO BN sangat seronok apabila peranan blogger dan media mereka diambil alih oleh ahli PAS.



1. Pada tahun 2007 tanggal 12 ogos , Tun Hanif Omar bekas ketua polis negara telah mendedahkan melalui ruangan khas beliau di akhbar The Star bahawa 40% pegawai - pegawai polis terlibat dengan rasuah .

[ sehingga kini tiada siasatan dan tindakan diambil terhadap kes yang didedah dan tiada juga tindakan diambil ke atas Tun Hanif Omar jika beliau membuat tuduhan palsu .]

2. Kini Tan Sri Musa Hassan Ketua Polis Negara mendedahkan betapa wujud campur tangan pihak ketiga dalam pentadbiran Polis diRaja Malaysia . Beliau turut mendakwa bahawa pihak ketiga ini telah membuat arahan terus kepada pegawai bawahan beliau . Persoalannya siapakah pihak ketiga ini ? Gengster atau ahli politik ?

3. Pendedahan seperti ini meletakkan rakyat dalam keadaan gelisah dan negara dalam bahaya . Sebelum ini pun telah wujud pertelagahan antara pegawai tinggi polis yang akhirnya membawa pendedahan demi pendedahan yang menggemparkan malah menakutkan .

4. Pendedahan seperti wujudnya hubungan pihak polis dengan kumpulan - kumpulan gengster , pertelagahan pihak polis dengan timbalan menteri dalam negeri sebelum ini yang akhirnya mendedahkan betapa wujudnya keadaan satu pihak menangkap penjenayah yang sangat dikehendaki dan satu pihak lagi membebaskan penjenayah tersebut yang telah ditangkap .

5. Justeru itu tidak hairanlah jika bekas ketua polis negara Tun Hanif Omar menyebut mengenai 40% pegawai polis terlibat dengan rasuah dan pendedahan terkini dari Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan sendiri mengenai wujudnya pihak ketiga yang campur tangan dan mampu mengeluarkan arahan kepada pegawai - pegawai polis .

6. Lebih malang apabila usul dari ahli parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' Ghazali agar parlimen mendapat penjelasan dari Menteri dalam Negeri mengenai kewujudan pihak ketiga yang mengeluarkan arahan kepada pegawai polis ini ditolak oleh speaker . Kenapa penjelasan enggan diberikan ? apa yang sedang disembunyikan ? perkara ini bukan remeh dan kecil sebaliknya berkait soal keselamatan rakyat dan negara !

7. Pihak Menteri Dalam Negeri dan Polis DiRaja Malaysia mesti melakukan suatu yang lebih berkesan untuk mengembalikan reputasi mereka sebagai pasukan keselamatan yang bertanggungjawab memastikan keselamatan rakyat dan negara bukan membiarkan indeks jenayah meningkat dan pasukan keselamatan sendiri bergelut dengan krisis integriti .

8. Sehingga kini Suruhanjaya Penambahbaikan Polis DiRaja Malaysia masih dilihat tidak berkesan . Jelasnya PDRM hanya menonjolkan kecekapannya bertindak ke atas parti - parti politik pembangkang dan di musim - musim pilihanraya dengan ribuan polis akan ditempatkan di kawasan berlangsungnya pilihanraya . Setiap lorong dan simpang akan kelihatan pasukan polis gagah bersiapsiaga .

9. Persoalannya kenapa jumlah polis yang sedemikian ramai dan gah tidak boleh dikerahkan untuk memburu habis - habisan sehingga ke lubang cacing segala macam bentuk penjenayah dalam negara kita ? Lebih malang apabila ada balai polis yang memberi alasan kami tidak cukup kakitangan untuk bertindak apabila mereka dihubungi agar segera mengambil tindakan menangani ke samun dan rompak seperti berlaku di Maran dan beberapa tempat yang lain .

10. Kes terbaru pembunuhan Mendiang Siva dari Dewan Himpunan Penyokong PAS Perak dan pembunuhan abang ipar Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Shah Alam telah meningkatkan angka indeks jenayah dalam negara kita . Sewaktu pilihanraya berlangsung , negara kita seperti negara polis tetapi pada waktu - waktu lain tatkala sedang berdepan dengan penjenayah , negara kita seperti tiada polis .






Selama ini kita tidak berfikir untuk menyebar Islam kepada bukan Islam. Selama ini tok-tok guru pondok kita hanya menyebar Islam sesama orang Islam. Meskipun PAS menolak pendekatan perpaduan dengan Umno, bukan bermakna PAS mengenepikan tanggungjawab menyebar Islam. Sebenarnya, perpaduan melalui Pakatan Rakyat telah membuka ruang bagi PAS menyampaikan kebaikan Islam kepada pemimpin dan ahli parti Pakatan Rakyat yang bukan Islam.

Sebaliknya, PAS ada alasan dan sebab-musababnya kenapa menolak perpaduan dengan Umno. Antaranya,

1) Perjuangan Umno sebenarnya amat dhalalah (sesat sesesatnya), kerana menolak Islam dan mengasingkan politik dengan agama. Kesan menolak Islam itulah, banyak pihak tidak faham Islam, termasuk rakan kita yang bukan Islam.

2) Tindak tanduk Umno jelas mengkhianati perjuangan Islam, khususnya terhadap PAS. Berpandukan pengalaman lepas, PAS pernah membuat persetujuan masuk BN, maka ada yang menyokong dan menentang, sehingga ada kecelaruan dan munculnya golongan yang menentang kemasukan PAS dalam BN, seperti mana munculnya Bebas Bersatu sebagai serpihan PAS. Akibatnya lagi muncul pula Berjasa ketika PAS diambang kekalahan selepas diganyang Umno melalui peristiwa darurat 1977. Semuanya adalah nilai dan kesan pengorbanan besar PAS atas semata-mata ingin bersama Umno. Namun, pengorbanan itu tidak dihargai oleh Umno. Malah, PAS telah ditendang keluar. Ia sungguh perit bagi PAS untuk berbaik semula dengan Umno atau masuk balik BN.

3) Oleh sebab itu, PAS rela dan menyatakan komitmen tinggi bersama mengukuhkan perpaduan Pakatan Rakyat.

4) Begitu pula, semenjak pilihan raya umum 2008 lalu sampai ke hari ini, Umno menuduh PAS sebagai boneka DAP. Sedangkan apa yang berlaku di Pulau Pinang sebelum ini, Umno yang mendapat kuasa majoriti. Pun begitu, pemimpin parti Gerakan yang menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Jelas, dalam keadaan itu, meletakkan kedudukan Umno sebagai parti yang menjadi kuda tunggangan (boneka) parti Gerakan. Di samping tidak kurang pula, ada sejumlah kerusi yang sepatutnya Umno bertanding (di kawasan majoriti Melayu), tetapi secara tidak beradab telah menyerahkan kepada pemimpin Gerakan, MCA dan MIC bertanding dengan alasan, kononnya ia simbol permuafakatan kuasa dalam BN.

5) Sekarang PAS dilihat berjaya bersama Pakatan Rakyat. Ia suatu perkembangan baik, memandangkan dulu PAS sendiri rela tidak berkawan dengan DAP, kerana ada pemimpinnya yang menyerang Islam. Sebaliknya sekarang, para pemimpin DAP termasuk Karpal Singh tidak lagi menyerang Islam. Malah berlaku perkembangan yang agak baik apabila sudah ada kalangan pemimpin Pakatan Rakyat (termasuk DAP) sudah mula pandai baca Al-Quran dan kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan DAP di Pulau Pinang sudah berani berikrar mengambil contoh gaya pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz. Sedangkan Gerakan, MCA dan MIC begitu lama (sejak merdeka) bersama Umno dalam BN, mereka itu tetap tidak faham-faham agama Islam.

Jadi, bersempena dengan dua tahun usia Pakatan Rakyat ini, sukacita kiranya para pemimpin dan pendukung perjuangan Pakatan Rakyat dapat menguatkan lagi tekad ke arah membina perpaduan dan persefahaman serta keyakinan agar terus utuh di atas prinsip keadilan untuk semua rakyat. Ini kerana prinsip tersebut adalah sejajar dengan ajaran Islam yang mengutamakan keadilan untuk semua kaum di negara.

Sehubungan dengan itu, demi mengukuhkan lagi Pakatan Rakyat dan bagi mempersiapkan diri mendepani banyak lagi cabaran mendatang, maka pihak PAS sewajarnya mengadakan satu seminar atas isu ”hak-hak bukan Islam di dalam pemerintahan berteraskan Islam” bersempena Muktamar PAS akan datang.

Ada baiknya seminar itu dapat menjadikan tulisan As-Syeikh Dr. Yusoff al-Qaradhawi, bertajuk ”Ghairul muslimin fil mujtama’ul-Islami” sebagai bahan rujukan penting untuk perbincangan. Mungkin dengan penganugerahan tokoh Maal Hijrah 1431 oleh kerajaan Malaysia kepada as-Syeikh Dr. Yusoff adalah suatu titik persetujuan awal kita bagi menerima idea-idea baik daripada beliau untuk difahami dan diamalkan dalam kerajaan. Sekaligus ia boleh diajak bersama para pemimpin politik bukan Islam menyertai seminar tersebut.

Sebenarnya, melalui seminar sedemikian, PAS boleh melakukan pendekatan yang baik dalam menghubungkan kefahaman antara pemimpin Islam dengan bukan Islam. Di samping PAS tidak seharusnya lupa terhadap jasa dan pengorbanan para ulama’ dan pemimpin Islam terdahulu. Dan sesungguhnya, pemimpin PAS sekarang begitu terhutang budi kepada para ulama’ terdahulu, kerana berkat hasil usaha mereka jugalah, sekarang ’orang Kelantan’ sudah berada di mana-mana sahaja dalam pelbagai sektor pembangunan Negeri dan Negara.

Dan, apa yang telah dilaksanakan di Kelantan hari ini adalah suatu simbol kejayaan politik Pakatan Rakyat. Maka, PAS dan kerajaan Kelantan hari ini sudah membuat banyak penambahbaikan kepada kedudukan dan kefahaman Islam itu sendiri. Ia turut merangkumi kehendak politik rakyat pelbagai kaum. Semuga akan datang, akan lahir kalangan pemimpin Islam yang mewakili pelbagai kaum – kalangan orang Cina atau India – layak menyambung sejarah Islam. Ini kerana sejarah awal Islam membuktikan orang Cina dan India terlebih dahulu menerima Islam daripada orang Melayu. Ia bermakna, orang Cina dan India layak dan mustahak turut sama menyebarkan Islam di negara ini.

Apa yang utama, penglibatan semua kaum dalam politik dan dakwah akan menyuburkan lagi nikmat persaudaraan di sebalik Allah Subhanahu wa taala jadikan manusia itu pelbagai kaum. Firman-Nya,

Maksudnya, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)."

[al-Hujuraat, 49: 13]

Semuga amalan dan kebajikan yang kita lakukan mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa taala. Panjang usia Pakatan Rakyat, panjanglah keadilan untuk semua rakyat.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Mursyidul Am PAS,
merangkap Menteri Besar Kelantan.

22 RabiulAwwal 1431 bersamaan 8 Mac 2010.


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak melihat apa-apa faedah kepada rakyat terhadap dasar Kerajaan BN yang secara tiba-tiba mengumumkan pemansuhan cukai import bagi pembelian baru kereta buggy untuk kegunaan kelab-kelab golf di seluruh negara berkuat kuasa serta-merta.

Pada masa ini sebuah kereta buggy yang standard diperingkat antarabangsa boleh memuatkan dua orang pemain dengan membawa peralatannya sekali adalah berharga sekitar RM 12 ribu-RM 60 ribu, tidak termasuk harga cukai.

Namun, penggunaan kenderaan jenis ini adalah terhad untuk kegunaan di padang-padang golf mewah untuk pemain-pemain golf. Menurut laman web golf-malaysia.com, Malaysia cuma mempunyai 162 Kelab golf sahaja diseluruh negara dengan kadar yuran keahlian paling rendah adalah RM 4,000 setahun.

Pemain-pemain Golf tempatan kebanyakannya terdiri dari kalangan mereka yang berpendapatan tinggi. Walaupun sudah ada mereka yang berpendapat sederhana bermain golf tetapi hanya sebagai aktiviti santai dan riadah, bukannya untuk menjana pendapatan negara. Mereka yang mengunakan Kereta buggy ini pula hanya golongan mewah, sedangkan pemain golf yang biasa hanya berjalan kaki keliling padang golf.

Di Malaysia kita mempunyai kurang 20 orang pemain profesional yang didahului oleh Danny Chia dan M. Sasidaran. Sedangkan ramai yang lain adalah pemain amatur dan Golf bukanlah kerjaya tetap mereka.

Harapan Malaysia menjadikan 162 Kelab yang ada sebagai destinasi pelancongan bagi peminat Golf tetap boleh terlaksana walaupun Kerajaan tidak mengenakan pengecualian cukai.

Rakyat semakin pelik dengan dasar Kerajaan hari ini, minggu lepas Kementerian kewangan mengumumkan bakal mengurangkan kadar Cukai pendapatan dan Cukai Syarikat. Semalam, cukai kereta buggy pula. Yang pasti Kerajaan cuba mengurangkan cukai-cukai yang dinikmati oleh orang-orang kaya dinegara ini dan kemudiannya mengalihkan beban cukai itu kepada skim cukai baru bernama cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dikenakan ke atas semua barangan. Kesannya akan dirasai oleh semua lapisan rakyat bukan golongan kaya sahaja.

Walaupun cukai ini hanya 4 peratus, tetapi ianya dimasukkan secara langsung dalam harga barangan keseluruhan yang dibeli melalui pengusaha-pengusaha kilang, pasaraya dan sebagainya. Tiada rakyat yang akan terkecuali dalam cukai ini dan ia jelas akan membebankan semua pihak tanpa mengira berapa jumlah pendapatan mereka.

Jika beginilah keadaannya rakyat yang kaya akan terus kaya. Setiap tahun rakyat yang miskin hanya mampu melihat senarai 40 orang terkaya di Malaysia termasuk adik Perdana Menteri, sedang mereka menjadi semakin miskin kerana terpaksa membeli barang-barang dengan harga yang mahal.

Orang-orang kaya mungkin tiada masalah membayar RM 4 ribu setahun untuk jadi ahli Kelab Golf, tetapi bagi orang miskin mereka terpaksa belanjakan jumlah yang sama pula untuk tampung kos GST yang dikenakan ke atas mereka.

PAS tidak setuju Kerajaan memansuhkan cukai kereta Buggy dan menolak GST dilaksanakan dinegara ini. Sewajarnya Kerajaan menyusun struktur cukai agar orang-orang kaya dapat memberikan banyak sumbangan pada negara untuk kepentingan rakyat yang miskin yang bekerja untuk mengkayakan mereka. Kerajaan perlu berhemah dalam berbelanja dan bijak menguruskan sistem cukai negara tanpa membebankan rakyat yang tidak sepatutnya dibebankan dengan pelbagai jenis cukai.

Ust Idris Ahmad Ketua Penerangan PAS Pusat.


Lihatlah wajah - wajah bersih berseri para alim ulama' Islam yang bersidang bagi mencari arah penyatuan Ummat Islam berdepan konspirasi musuh - musuh Islam antarabangsa yang senantiasa menanti peluang untuk pecah belahkan ummah .


Muktamar Penyatuan Islam Antarabangsa kali ke 23 yang berlangsung di Kota Tehran menyaksikan sekitar 200 orang ulama' dari seluruh dunia dari pelbagai aliran pemikiran dan mazhab bersidang mencari nokhtah pertemuan dan meminimakan perbedaan yang boleh dielakkan agar ummat Islam kembali bangkit menjadi suatu kuasa besar dunia.

Persidangan muktamar Penyatuan Islam Antarabangsa kali ke 23 ini bertepatan dengan sambutan ulangtahun keputeraan Nabi kita Muhammad saw . Suhu pula seperti menghormatinya apabila salji mula mencair dan cuaca mula menampakkan cahaya matahari .

Persidangan ini menggunakan 3 bahasa . Pertama bahasa Arab , kedua bahasa Parsi dan ketiga ialah bahasa Inggeris kecuali dua pembentang menggunakan bahasa Rusia dan Perancis dan diterjemah ke dalam bahasa Arab .

Sejurus Muktamar ini dirasmikan oleh Ayatullah Asy Syeikh Al Hasyimi Ar Rafsanjani , majlis pembukaan turut diberi penghormatan kepada ulama' - ulama' berikut untuk berucap :

Prof. Dr Burhanudin Rabbani Bekas Presiden Jumhuriyyah Afghanistan ,
Al Maulavi Muhammad Ishak al Madani Pengerusi Majlis Tertinggi Majma' Taqribd
Ustaz Dr. Abdel Aziz At Tuwaijiri Mudir ISISCO
Al Ustaz Dr. Adil Al Falah wakil Kementerian Auqaf Kuwait .
Al Ustaz Dr. Nuur Ali Adam Menteri Awqaf Somalia .
Hujjatul Islam Asy Syeikh Mohd Hassan Al Akhtari S/U Agung Majlis Ahli Bait
Al Ustaz Asy Syeikh Abdul Hadi Awang Presiden Parti Islam Se Malaysia [ PAS ]

Pembentang Kertas Kerja :

Al Ustaz Asy Syeikh Mukhtar As Salaami
[ Bekas Mufti Kerajaan Tunisia ] : Jalan Keluar dari Pengaruh Negatif Kepuakan
Al Ustaz Dr. Jaafar Abdus Salaam
[ S/U ar Rabitah Jaamiat Al Islamiyyah ] : Fenomena Hidup dan Keperluan al Ijtihad
As Syed Sadruddin Al Qabanji
[ Imam Najaf al Asyraf ] : Syubhat yang wujud sekitar Sunnah An Nabawiyyah
Al Ustaz Dr. Taufiq Ali Wahbah.
[ Presiden Markaz Al Arabi Lid Diraasaat - Mesir ] : Ummat Islam dalam Memerangi Taasub dan Cabaran Masa kini.


Asy Syeikh Zafar Najar .
[ Presiden Majlis Al Islami Afrika Selatan ] : Syubhat yang wujud sekitar Sunnah
Al Ustaz Dr. Quraisy Syihab .
[ Penulis dan Pemikir Islam Indonesia ] : Pidato Umum
Al ustaz Dr. Fuad Al Barazi.
[ Presiden Rabitah Al Islamiyyah Denmark ] : Sebab Ikhtilaf Fuqaha'
Al Ustaz Dr. Abdur Rahim As Saayih.
[ Pensyarah Univ. Al Azhar ] Ummat Islam : Keperluan segera untuk Taqrib
As Syed Muhd Hadi Al Hadi.
[ Mudir Muassasah Ar Rasul As Saqafiah Afghan ] Menangani Pegangan Mazhab dan Peranannya dalam Mengembangkan Ilmu .

Asy Syeikh Taajudin Al Hilali
[ Bekas Mufti Australia ] : Pidato Umum
Ustaz Dr Abdul Wahid
[ Pengkaji dan Pemikir islam Denmark ] : Problems in the Muslim ummah .
Ustaz Dr. Othman Jaah
[ Pengerusi Majlis Taqrib Zambia .

Al Ustazah Dr. Lina Al Humsi
[ Pensyarah Univ. Damascus ] : Realiti sebuah Penyelewengan bagi Kelompok
Al Ustaz Dr. Muhammad Al Aasi
[ Al Imam marKaz Al Islami Washington ] : Rasionalism Vs Sectarianisma
Al Ustaz Dr. Abdur Rahim Umar Mahyudin
[ S/U Agung Markaz Pengajian Al Wehatil Islamiyyah ] Kesan Negatif bagi Riwayat Sejarah terhadap Penyatuan Ummat Islam .

Tentunya ramai lagi pembentang kertas kerja yang tidak sempat saya catat , sementara ada juga beberapa kertas kerja yang saya tidak sempat menghadhirinya kerana mempunyai program lain di Tehran . Namun keseluruhan perbincangan dan perbahasan para ulama' dipersidangan ini [ antara yang BOLEH ] saya simpulkan seperti berikut :

[ Kesimpulan yang saya buat ini tidak mengambil kira resolusi rasmi yang akan dikeluarkan oleh Muktamar dipenghujung sidang pada malam ini . Saya tidak boleh menyertainya kerana terpaksa pulang 6 jam lebih awal kerana ingin menghadhiri Konvensyen Jabatan Amal di Terengganu pada pagi 6 hb nanti .]

Kesimpulan Pertama : Ummat Islam digesa supaya merapatkan jurang perbezaan antara aliran pemikiran dan anutan Mazhab .

Kesimpulan kedua : Tumpukan perhatian kepada faktor - faktor penting yang membawa kepada penyatuan ummah dan pastikan elemen - elemen perpecahan dapat ditangani dengan bijak.

Kesimpulan ketiga : Awasi propaganda barat dan spekulasi media - media mereka untuk meretak dan memecah belahkan kesatuan ummat Islam antarabangsa .

Kesimpulan Keempat : Perkasakan peranan para ulama' Islam dalam usaha memahamkan ummah akan peri pentingnya kesatuan dikalangan mereka tanpa prejudis antara satu sama lain biarpun berbeza aliran pemikiran.

Kesimpulan Kelima : Wujudkan sikap saling hormat menghormati terhadap perbedaan pandangan mahupun perlaksanaan Feqhiyyah selama mana ia berdasarkan hujjah dan nas yang asal iaitu Al Quran dan Sunnah Rasulullah saw .

Kesimpulan Keenam : Ulama' - ulama' Islam digesa agar sering duduk semeja antara satu sama lain dalam usaha mempertautkan hubungan ummat Islam di peringkat antarabangsa terutama saat berdepan dengan musuh - musuh Allah swt.

Kesimpulan Ketujuh : Elemen taasub dan Jahil mesti diperangi secara jujur oleh para ulama' agar mereka tidak melahirkan ummat yang melampau dan keterlaluan dalam tindakan dan amal.

Kesimpulan Kelapan : Menggesa kerajaan - kerajaan Ummat Islam supaya memanafaatkan segala keupayaan , kuasa , pengaruh , harta untuk membangunkan Islam sebagai satu kuasa alternatif bagi menggantikan kezaliman , penindasan dan korupsi di semua peringkat .

Kesimpulan Kesembilan : Ummat Islam mesti bergerak ke arah mewujudkan zone antarabangsa yang selamat dengan peranan ulama' yang gigih dan cekal berjuang serta mengangkat izzah Islam di mata dunia dengan membersihkan persepsi buruk serta menghadapi propaganda jahat dari barat .

Kesimpulan Kesepuluh : Ummat Islam seharusnya tidak lagi terperosok dalam sempadan daerah masing - masing , sebaliknya mula melihat masaalah ummat Islam yang lain sebagai masaalah bersama dan ditangani secara berkesan atas semangat agama yang satu .







Sokong Bersih 3

Tetamuku....

Blog Pilihanku...