lizamuslim

Hati ini telah bersatu, Berkumpul di perut bumiMu, Hati ini telah berpadu, Bersatu memikul beban dakwahMu, Hati ini telah mengikat setia, Untuk mendaulat untuk mendukung, SyariatMu di alam maya, Maka Ya Allah eratkanlah, Ikatan yang ada...

Hatib bin Abi Balta'ah, Sahabat Yang Mendedahkan Rahsia Jamaah

Firman Allah:
إِنَّ اللّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤدُّواْ الأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا

وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُواْ بِالْعَدْلِ إِنَّ اللّهَ نِعِمَّا

يَعِظُكُم بِهِ إِنَّ اللّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

Maksudnya:
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.
(An-Nisa': 58)


Fat-hu Makkah
Pembukaan Kota Makkah pada bulan Ramadhan tahun kelapan hijriah merakamkan pelbagai peristiwa penting dalam sejarah perjuangan Islam di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w. untuk dijadi iktibar dan pengajaran bagi umatnya. Salah satu peristiwa tersebut ialah tindakan Hatib bin Abi Balta'ah (HAB) menulis surat kepada kaum Quraisy di Makkah memberitahu perancangan Rasulullah s.a.w. untuk menyerang kaum musyrikin Quraisy secara mengejut.

Rasulullah s.a.w. merahsiakan perancangan tersebut bagi memeranjatkan kaum Quraisy dengan kehadiran tentera Islam di Makkah. Hanya beberapa orang sahabat sahaja yang diberitahu baginda. Rasulullah menyediakan angkatan perang yang mengandungi tidak kurang dari 10,000 orang pejuang setelah menolak permintaan Abu Sufyan bin Harb, ketua musyrikin Makkah, supaya Perjanjian Damai Hudaibiah yang terbatal disambung semula setelah pihak Quraisy dan sekutunya mencabuli perjanjian damai tersebut kira-kira 2 tahun perjanjian tersebut terlaksana.


HAB yang mengetahui rahsia tersebut mengirim surat kepada kaum Quraisy kerana kebimbangannya keluarganya dari kaum musyrikin di Makkah akan terancam keselamatan mereka. Surat tersebut dikirimkannya melalui seorang wanita bernama Dza'inah. Rasulullah yang mendapat wahyu Allah mengenai perbuatan HAB itu memerintahkan Sayidina Ali bin Abi Talib bersama dengan Zubair dan Miqdad segera mengambil surat tersebut dari wanita berkenaan yang dalam perjalanan menuju ke Makkah. Di satu tempat bernama Raudzah Khoh seperti yang diarahkan oleh Rasulullah s.a.w., wanita tersebut ditemui dan menyerahkan surat tersebut kepada Sayidina Ali setelah dia diperiksa walaupun pada mulanya menafikan ada membawa surat berkenaan.

Hatib Dipanggil
Kemudian Sayidina Ali menyerahkan surat itu kepada Rasulullah s.a.w. yang didapati isi kandungannya menyebutkan datangnya dari HAB dan ditujukan kepada orang-orang musyrikin Makkah yang mendedahkan perancangan yang dirahsiakan oleh Rasulullah s.a.w untuk menyerang kaum Quraisy. HAB dipanggil mengadap Rasulullah s.a.w. dan disoalsiasat mengenai surat tersebut. HAB mengaku melakukannya. Dia memberi alasan bahawa hubungannya dengan kaum musyrikin Quraisy di Makkah sangat rapat apatah lagi di kalangan mereka itu terdapat orang-orang yang menjaga dan melindungi keluarga dan harta orang-orang Islam yang berhijrah ke Madinah. HAB juga memberikan alasan bahawa kaum musyrikin Makkah melindungi kaum keluarganya sendiri di sana. Dia menegaskan bahawa perbuatannya itu bukanlah kerana berpaling tadah dari Islam (murtad) atau redha dengan tindak-tanduk orang-orang kafir musyrikin itu.

Rasulullah menerima alasan itu. Lantas Sayidina Umar Al-Khattab yang hadir bersama di majlis itu meminta Rasulullah membenarkannya untuk memancung HAB. Sayidina Umar mengatakan HAB adalah seorang yang munafik. Rasulullah s.a.w. menjawab Sayidina Umar dengan berkata bahawa HAB adalah seorang '
ahli badr' (yang telah menyertai perang Badr). Rasulullah berkata lagi kepada Sayidina Umar: "Kamu tidak tahu, moga-moga Allah memberi kedudukan kepada orang yang menyertai perang Badr." Nabi berkata pula kepada HAB: "Buatlah apa yang kamu suka, aku telah memaafkan kamu." Bersebab dari peristiwa ini, turunlah ayat Al-Quran (Al-Mumtahanah, ayat 1) yang bermaksud:

"
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (s.a.w) dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan yang betul."

Ayat di atas menegaskan bahawa dalam apa jua keadaan pun Islam tidak membenarkan mengambil dari musuh-musuh Allah menjadi pemimpin yang ditumpahkan perasaan kasih sayang kepada mereka, atau diberikan bantuan atau pertolongan kepada mereka. Ayat ini diturunkan sekalipun HAB memberikan alasan bahawa dia bukan bertujuan menolong atau membantu kaum musyrikin Makkah itu, bahkan sebaliknya dia mahu mereka melindungi keluarganya serta hartabenda orang Islam yang berhijrah yang ditinggalkan kepada mereka.

Iktibar Kepada Jawatankuasa Displin PAS
Mengingat peristiwa perbuatan HAB mendedahkan rahsia penting mengenai perancangan Rasulullah membuka Makkah (
fat-hu Makkah), terlintas di fikiran saya tidakkah Jawatankuasa Displin PAS yang dianggotai oleh dua orang ulama' terfikir peristiwa ini boleh dijadikan panduan atau iktibar dalam memutuskan penghakiman terhadap Khalid Samad (KS) atas pertuduhan yang dikatakan serius iaitu mendedahkan RAHSIA parti. Sebesar manakah rahsia yang didedahkan KS itu telah juga dijawab oleh beliau sendiri di hadapan majlis penghakiman Jawatankuasa Displin yang diketuai oleh Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.

Rahsia yang didedahkan oleh HAB adalah satu rahsia yang sangat besar dan perbuatan yang dilakukan oleh HAB itu satu kesalahan yang sangat serius sehingga Allah memberitahu rasulNya atas perbuatan HAB itu. Kalau rahsia sebesar itu yang didedahkan HAB boleh diampuni oleh Rasulullah s.a.w. atas pertimbangan HAB adalah '
ahli badr', walaupun mendapat sanggahan dari Sayidina Umar Al-Khattab, apakah KS tidak layak untuk dimaafkan menimbangkan usaha dan pengorbanannya yang besar dalam PAS. Kita tidaklah samakan pengorbanan KS setaraf dengan pengorbanan 'ahli badr', namun jasa KS juga besar kepada PAS yang mungkin boleh dipertimbangkan. Antaranya, peranan beliau yang menggagalkan perancangan sulit pimpinan PAS Selangor untuk menubuh kerajaan gabungan PAS-UMNO di Selangor, dua atau tiga hari selepas PRU Ke-12 2008. KS juga dalam tempoh perjuangannya dalam PAS hampir 30 tahun pernah bertanding dan kalah di Kelantan, Perlis dan Selangor sebelum PRU Ke-12. Beliau juga berkorban dengan meninggalkan jawatan profesionalnya hingga kehilangan sumber pendapatan lumayan yang pernah dinikmatinya. KS juga pernah ditahan di bawah ISA.

Saya percaya sebahagian pimpinan PAS dan ramai pendokong jamaah PAS mengenali KS seorang yang dapat menampilkan perjuangan PAS dengan keupayaan dan kekuatan berhujah, baik di segi rasional mahupun dari segi prinsip-prinsip dan kaedah dakwah Islam. KS pernah bersama saya dalam satu lajnah yang saya mempengerusikannya. Saya dapati beliau seorang yang memang bercakap dan bekerja dengan perancangan dan melaksanakan perancangan yang diprogramkan dengan begitu bersungguh-sungguh. Cukup kalau saya katakan kalau ramai pimpinan PAS seperti KS, PAS boleh bergerak lebih lancar dan maju ke hadapan dalam konteks PAS ber'
tahaluf' degan parti-parti Pakatan Rakyat sekarang, bahkan dengan parti-parti lain yang (selain UMNO) yang boleh ber'tahaluf' dengan PAS.

Bersabit dengan perkara mendedahkan RAHSIA parti, saya melihat kepimpinan parti perlu menggariskan panduan yang eksklusif bagi mentakrifkan kerahsiaan itu supaya tidak dipertikaikan tafsirannya terutama apabila ia melibatkan kes pertuduhan yang diadili Jawatankuasa Displin parti. Bahkan selaras dengan pindaan perlembagaan yang terkini mengenai Jawatankuasa Displin, perlu juga diteliti kedudukan keahlian jawatankuasa tersebut bagi membolehkan terlaksananya prinsip keadilan dalam sebuah ungkapan yang popular "
not only must justice be done, it must also be seen to be done" yakni bermaksud keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan, bahkan mesti kelihatan dilaksanakan.


RABU, 03 FEBRUARI 2010 | 18 SAFAR 1431H


Oleh : Dato' Tuan Ibrahim b. Tuan Man


Berada di kerusi Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Parti bukanlah sesuatu tempat yang mudah dan selesa. Ia adalah tempat yang akan menerima pelbagai kecaman dan kritikan, dan di waktu yang sama saya tidak boleh membela diri kerana sebarang jawapan kepada kritikan berhubung keputusan JK Disiplin, akan mendedahkan beberapa maklumat sulit parti, yang tidak perlu diketahui oleh umum.

Sewaktu saya ditawarkan jawatan ini, saya merayu beberapa kali agar melantik orang lain, bukan untuk lari dari amanah, tetapi ianya tidak sesuai dengan jiwa saya. Saya tidak suka menghukum orang, apa lagi untuk menjatuhkan hukuman ke atas sahabat satu jamaah. Bahkan saya sangat bersetuju suatu pindaan Perlembagaan parti perlu dibuat agar Pengerusi JK Disiplin tidak diambil dari kalangan AJK Pusat; kerana ia akan dilihat ‘tidak adil’ terutama bilamana kita terpaksa membicarakan AJK sendiri atau pemegang jawatan parti. Undang-undang bukan sahaja perlu adil, tetapi juga perlu dilihat adil. Mungkin satu masa yang terdekat perkara itu akan dipinda, dan itulah harapan saya. Bukan untuk lari dari amanah, tetapi untuk kebaikan parti yang terus berkembang dan akan pasti berhadapan dengan lebih banyak karenah dalaman.

Bilamana saya dihadapkan dengan kes membabitkan dua tokoh di Selangor , Dato’ Dr Hassan Ali dan YB Khalid Samad, kedua-duanya adalah sahabat baik yang semua orang tahu. Saya mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan Khalid Samad, bahkan kalau ke Shah Alam, Markaz PAS Seksyen 18 adalah tempat penginapanan saya. Di situlah saya berehat dan tidur selepas program di Shah Alam, dan Khalid Samad antara orang terawal saya hubungi, memaklumkan bahawa saya masuk kawasan jajahan takluknya, sebagai Ahli Parlimen. Biasa kami akan berjumpa, minum-minum berbual-bual. Bahkan selepas hukuman dijatuhkan kepada beliau saya hubunginya di luar Negara, memaklumkan keputusan, dan memohon keampunan Allah kalau saya tersilap dalam membuat keputusan kepada sahabat sendiri.

Tapi apakan daya, hukuman dan keputusan terpaksa dijatuhkan. Hanya saya rasa kurang terbeban bilamana keputusan dibuat dengan sebulat suara oleh semua Ahli JK Disiplin. Di kalangan kami ada bekas hakim dan peguam veteran PAS, Dato’ Abd Mutalib Embong dan Tuan Guru Hj Osman, seorang ulamak terkenal yang pernah menuntut di Makkah al-Mukarramah dalam bidang syariah.

Saya memaklumkan kepada
YB Khalid Samad, agar menggunakan peruntukan perlembagaan untuk membuat rayuan kepada JK Pusat dan Syura, sekiranya beliau rasa hukuman tidak berpatutan. Saya masih ingat kata-kata beliau sebelum beliau ke luar negara, dalam pertemuan sewaktu membincangkan isu kalimah Allah, beliau berkata: “Kalau ana bersalah, hukumlah, jangan anta rasa berat pulak.” Saya menjawab : “ InsyaAllah, semoga Allah memudahkan urusan ini.” Beliau menyatakan dengan keputusan ini beliau sukar untuk merasmikan mesyuarat agung cawangan –cawangan yang telah membuat jemputan tetapi beliau boleh hadir atas sifat sebagai Ahli Parlimen, dan aktiviti beliau boleh berjalan macam biasa.

Saya teringat bila mana Umar al-Khattab melucutkan jawatan Khalid al-Walid ( bukan menggantungnya ) sedangkan Khalid tidak melakukan apa-apa kesalahan. Khalid terus berjuang sehingga penyokong hairan dengan tindakannya. Mereka bertanya: “Kenapa kamu tidak nampak apa-apa perubahan?” Beliau menjawab: “Aku bukan berperang kerana jawatanku, tetapi kerana Allah!” Bahkan beliau terus mengemukakan cadangan kepada penglima baru bilamana melihat tentera Islam hampir kalah. Inilah semangat Khalid al-Walid. Saya yakin kita perlu mencontohinya.

Kami tidak ada agenda untuk menjatuhkan seseorang atau menaikkan seseorang. Hukuman berdasarkan fakta yang ada di hadapan kami adalah hasil soal siasat dan penghujahan yang lama dan panjang, semata-mata untuk memberi keadilan kepada tertuduh. Kami tidak boleh mengikuti kehendak orang ramai yang hanya berdasarkan andaian, bukan fakta siasatan.
Saya yakin pengumuman keputusan akan menjadi tajuk utama berita, kerana media perdana telah memainkan isu ini beberapa waktu sebelumnya dengan pelbagai andaian hukuman. Mereka telah berjaya membawa pemikiran massa kepada satu hukuman jangkaan yang mereka ada agenda tersendiri.

Selepas keputusan diumumkan saya menjangka UMNO akan memainkan isu ini bagi melemahkan pengaruh PAS, khususnya di Selangor. Ternyata andaian saya meleset. UMNO tidak menyerang
sebaliknya saya diserang oleh ahli PAS dan rakan-rakan sendiri, yang hadir dalam mesyuarat bersama dan sering berjumpa sama. Kenapa mereka tidak datang jumpa dan bincang terus, kenapa perlu menggunakan media untuk menyerang JK Disiplin yang ditubuh oleh parti dan mempunyai hak dan kelayakan dalam perlembagaan parti? Apa untung bagi parti dengan tindakan tersebut?

Saya sebenarnya
cuba untuk menjawab tohmahan itu, tetapi sebarang jawapan hanya akan menimbulkan polimik yang lebih besar dan berpanjangan. Tambahan pula ada beberapa fakta yang ditemui tidak sesuai jadi tatapan umum. Cuma saya bertanya sendirian, kenapa UMNO tidak mengambil kesempatan menyerang sedangkan mereka telah membentuk pemikiran massa ke arah itu. Bahkan yang hebat menyerang adalah ahli PAS atau penyokong PAS. Mungkin kerana simpati terhadap Khalid Samad, atau geram dengan Hassan Ali.

Komentar dari Abdullah Karim saya anggap melampau dan saya difahamkan Dewan Pemuda Pusat akan melakukan sesuatu, dan Pejabat Agong juga akan bertindak. Beliau sebenarnya telah menghantar
surat memaklumkan akan mengikuti isteri ke luar negara dalam tempoh yang panjang, dan sehubungan itu beliau melepaskan semua jawatan dalaman parti dan jawatan di peringkat Negeri Pahang. Mesyuarat telahpun menerima permohonan beliau.sayangnya saat-saat akhir sebelum beliau keluar Negara, kesempatan diambil untuk menyerang JK Disiplin Parti. Kritik kemudiannya tinggal.

Saya dukacita kerana beliau seorang peguam, yang memahami prosedur hukuman dan siasatan. Kita tidak boleh menghukum berdasarkan andaian dan kehendak
massa. Hukuman mestilah berdasarkan fakta yang kita temui dalam siasatan. Seandainya ada fakta yang terselindung atau yang tudak dikemukan sebagai bahan kes, maka kita tidak boleh mengambilnya sebagai alasan penghakiman. Memang saya akui bahawa beliau ada menghantar satu laporan kepada JK Disiplin, tetapi saya telah maklumkan prosidur bahawa dia kena hantar kepada SU Agong untuk dibuat penilitian, kesahihan penama-penama yang disebut, apakah ia benar ahli PAS atau bukan, sejauh mana ada kes yang boleh dirujuk kepada JK Disiplin atau kes hanya melibatkan urusan pentadbiran parti.

JK Disiplin adalah hakim, bukan badan untuk menyiasat. Takkan beliau tak faham, semua parti politik mempunyai mekanisma yang sama. Bahkan dalam prosedur
perundangan biasa pun, mana ada seorang yang dituduh terus diheret di hadapan hakim untuk bicara. Pihak polislah perlu menyiasat, mencari bukti dan menentukan apakah ada kes sebagaimana yang dituduh atau tiada kes. Aduan yang dia buat hanya berupa ‘hear say’, dan dia juga faham dan sudah diberi tahu bahawa aduan beliau tidak boleh diambil tindakan, hanya dengar cakap, tiada bukti. Untuk memanggil orang yang berkenaan dalam pertuduhan beliau, penama tersebut bukan ahli PAS. Kita tiada kuasa memanggil bukan ahli dan apa jaminan ianya tidak bertindak merosakkan nama baik parti sekiranya dipanggil. Ini JK Disiplin parti, untuk menjaga ahli agar tidak melakukan tindakan merosakkan nama baik parti, dan bertindak diluar perlembagaan parti.

Apa yang mendukacitakan saya ialah saya telah jelaskan bahawa inilah prosedur laporan disiplin parti, yang telah diamalkan sejak awal
penubuhan parti lagi, dan beliau memahaminya dan menerimanya pada waktu itu, tapi kenapa tiba-tiba dia sanggup mengeluarkan kanyataan menyerang prosedur tersebut. Soal dia tidak berpuas hati dengan hukuman ke atas tertuduh, saya pelik bukan dia yang kena tuduh. Bahkan kalau kita baca tulisan YB Khalid sendiri dia rasa puas hati bilamana segala dakwaan beliau terhadap Hassan Ali dibuktikan benar oleh JK Disiplin, sehingga Hassan Ali didapati bersalah dan dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan yang merugikan PR dan parti. Yang kena hukum berpuas hati, yang tak ada kena mengena pulak tak puas hati.

Sebagai pimpinan kita sepatutnya menyalurkan komentar melalui saluran parti dan memelihara adab dalam jamaah. Semua harus fikir apakah tindakan yang kita lakukan itu menguntungkan parti
atau sebaliknya, kerana kenyataan kita bukan keputusan perbicaraan, yang terpaksa berdasarkan fakta dan bahan yang ada di hadapan kita.

Kepada Allah saya memohon ampun andainya tindakan yang diambil tidak tepat dengan apa yang sepatutnya;
dan semoga Allah tidak membebankan saya dengan bebanan yang lebih berat di akhirat. Ingatlah, kalau anda tidak boleh membantu jamaah, jangan menyusahkan jamaah.

Wassalam.

Powered By Blogger

Blog Pilihanku...