lizamuslim

Hati ini telah bersatu, Berkumpul di perut bumiMu, Hati ini telah berpadu, Bersatu memikul beban dakwahMu, Hati ini telah mengikat setia, Untuk mendaulat untuk mendukung, SyariatMu di alam maya, Maka Ya Allah eratkanlah, Ikatan yang ada...


Dari Buku Barry Wain

Sebuah buku yang menceritakan kehidupan dan politik Tun Dr Mahathir Mohamad, membuat satu tuduhan yang mengejutkan bahawa ibupejabat Umno - Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) - dibiayai, sebahagiannya, oleh pembayar cukai.

Dalam buku bertajuk Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times, penulisnya Barry Wain menulis bahawa kerajaan telah "memujuk" bank-bank milik kerajaan supaya tidak menuntut jumlah pinjaman yang besar untuk membiayai projek tersebut.

Penulis, yang merujuk maklumat tersebut kepada wawancara pada 2007 dengan bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin, berkata bank-bank berkenaan telah melupuskan sekurang-kurangnya RM140 juta faedah terkumpul.


Menurut satu laporan sulit akauntan yang ditugaskan oleh Umno pada 1985, yang diperolehi oleh Wain, harga siap sepenuhnya PWTC ialah RM360 juta.

Laporan itu berkata, jumlah yang dibiayai melalui pinjaman ialah RM199.5 juta dari bank milik kerajaan 0 Bank Bumiputera Malaysia Berhad dan RM64.9 juta dari Malayan Banking Bhd.

Selain itu, laporan akauntan tersebut menyatakan bahawa sehingga Mac 1989, syarikat yang dilantik oleh Umno untuk membina bangunan itu, Khidmat Bersatu Sdn Bhd, hanya membayar faedah sebanyak RM51,570.

"Dan laporan tersebut... menyatakan dengan jelas bahawa syarikat tersebut tidak akan bayar apa-apa lagi," tulis Wain dalam bab lima bukunya itu yang bertajuk A Volatile Mix of Business and Politics.

Sumber Utusan Online

"KERA di hutan disusukan, anak dirumah mati kelaparan" peribahasa ini cukup tepat menggambarkan pembahagian subsidi dan isu tarif yang tidak seimbang. Ingin saya bawa perhatian pembaca kepada tarif elektrik Tenaga Nasional Berhad.


Menurut laman web TNB, pengguna domestik seperti anda dan saya perlu membayar RM0.218 untuk setiap kilowatt jam (kWj) tenaga elektrik yang kita gunakan bagi 200 kWj yang pertama.


Namun begitu, jika anda lihat pada tarif yang dikenakan kepada pengguna industri kategori 'istimewa' E2s, harga yang dikenakan adalah serendah RM0.147/kWj di luar waktu puncak. Ini bermakna tarif untuk setiap kWj yang digunakan oleh sektor industri adalah lebih murah daripada petani-petani di kampung-kampung.


Saya juga ingin mempersoalkan status 'istimewa' yang diberikan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri kepada pengguna-pengguna industri.


Menurut TNB, status ini diberikan kepada pengguna industri yang mempunyai jumlah bil penggunaan tenaga elektrik tahunan adalah 5 peratus atau lebih daripada jumlah kos operasi tahunan.


Pada pendapat saya, ini menggalakkan pembaziran kerana ia adalah lebih murah untuk membazir tenaga elektrik daripada mengamalkan penjimatan dan kecekapan tenaga.


Memang diakui bahawa pembangunan sektor industri adalah sangat penting bagi kemakmuran sesebuah negara. Namun janganlah sehingga mengabaikan tanggungjawab kita terhadap generasi masa depan.


Mereka juga berhak untuk menikmati penggunaan bahan api yang kita nikmati selama ini.


Seharusnya, pengguna-pengguna yang menggunakan hanya sedikit tenaga elektrik diberikan subsidi yang lebih banyak berbanding pengguna-pengguna yang menggunakan lebih banyak tenaga.


Maka, tenaga elektrik dapat dijimatkan dan kita dapat memanjangkan dan melambatkan kehabisan sumber-sumber bahan api.


Di samping itu, pembangunan mapan bahan-bahan api yang boleh diperbaharui (RE) perlu digalakkan. Malaysia masih belum mencapai potensi penuhnya dari sudut ini.


Kos permulaan yang tinggi dan kurang galakan daripada kerajaan serta masalah penyimpanan tenaga akan sentiasa menjadi blok penghalang untuk pembangunan RE.


Sekiranya RE dibangunkan dengan sempurna, tidak perlulah kita berubah kepada tenaga nuklear yang bukan sahaja berbahaya kepada manusia, malah mencemarkan alam sekitar.


Isu subsidi yang di salah tempat memang telah lama menjadi duri dalam daging dalam masyarakat kita. Oleh itu, para pengguna harus peka kepada isu-isu seperti ini supaya hak mereka dapat dilindungi.


Badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) harus menggembleng tenaga supaya isu ini dapat ditangani dengan sempurna.


Ahmad Faiz Abdul Razak

Jurutera Eksekutif

Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)


Kami mengutuk tindakan pihak tertentu yang menyerang 3 gereja di sekitar Lembah Klang awal pagi tadi. Serangan tersebut adalah satu perbuatan yang dikecam semua agama dan peradaban.

Perbuatan seperti itu tiada tempat dalam mana-mana negara pun di atas dunia ini. Kami percaya ianya berpunca dari politik amarah yang sempit, ditambah dengan unsur provokasi jahat yang semakin menular dan runtuhnya rasa saling hormat menghormati dalam negara kita yang tercinta ini. Setiap rakyat dalam negara ini, tanpa mengira agama, kaum, keturunan dan etnik seharusnya dapat menikmati keamanan spiritual dan fizikal mereka. Seharusnya sebarang perbezaan pendapat dan pandangan tidak terus dilebarkan. Kami yakin sebarang perselisihan dapat diselesaikan dengan menumpukan usaha untuk membawa semua pihak ke meja rundingan.

Oleh yang demikian, seluruh kepimpinan Pakatan Rakyat dengan tegas meminta supaya individu atau mana-mana kumpulan yang menyebarkan api kebencian dan kekerasan sebegini agar dihukum dengan setimpalnya.

YB DATO SERI ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Ketua Umum PKR

YAB LIM GUAN ENG
Setiausaha Agung DAP

YB DATO’ SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Dari Laman Greenboc...

Lebih 240,000 rakyat Kelantan yang layak mengundi belum mendaftar sebagai pemilih sekalipun pelbagai langkah telah diambil oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar mereka berbuat demikian.

Pengarah SPR Negeri Ab. Rahim Md Salleh berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada 1.4 juta penduduk Kelantan yang telah melewati usia 21 tahun dan layak mengundi.

"Jumlah itu boleh dikatakan agak tinggi berbanding negeri-negeri lain. Entah di mana silapnya, pelbagai cara telah dilakukan termasuk melantik agen dari wakil parti politik," katanya kepada Bernama di sini hari Khamis.

Beliau berkata keadaan itu mungkin berpunca daripada sikap sambil lewa rakyat selain suka mendaftar pada saat-saat akhir ketika pilihan raya semakin dekat.

Bagi menggalakkan golongan itu mendaftar, Ab. Rahim berkata pihaknya kini membuka kaunter bergerak di pasar raya seluruh Kelantan.

"Pembukaan kaunter itu lebih menyenangkan kerana orang ramai tidak lagi perlu pergi ke pejabat pos atau pejabat tanah jajahan semata-mata untuk mendaftar sebaliknya sebelum atau selepas membeli belah, mereka boleh mendaftar di kaunter yang dibuka," katanya. -Bernama

Ulasan GB

GB tertanya-tanya apakah ada agenda SPR mengumumkan jumlah mereka yang belum mengundi sebegitu ramai, 240,000 orang?

Jika kita masih ingat, jumlah pengundi begitu ramai di Terengganu dimana di dalam PRU yang lalu, jumlah pengundi keseluruhannya di negeri itu mencecah kira-kira 516,000 orang daripada jumlah satu juta keseluruhan penduduk negeri itu.

Apakah modus operandi yang serupa akan dilakukan di kelantan sebagai usaha untuk merampas Kelantan dari PAS?

Hubaya-hubaya Kelantan.



Dari blog Dengan Izin…

Kelihatan polemik berhubung nama Allah dibenarkan penggunaannya oleh Herald lewat penghakiman Datuk Lau Bee Lan dalam kamar Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) beberapa hari lepas telah semakin meleret-leret ke satu tahap yang adakalanya mendukacitakan, dan tidak kurang memualkan.

Ada pihak yang menyatakan sebagai Muslim, saya tidak boleh berkecuali, mesti pilih setuju atau menentang. Ya,dalam bab mempertahankan agama saya akan menyokong, tetapi menggunakan agama untuk kepentingan tertentu, sudah pasti saya menentang sehabisnya.

Sebagai orang tidak mempunyai latar belakang dalam bidang agama, maka saya lebih senang untuk melihat sesuatu isu itu melalui pelbagai perspektif, baik dari aspek agama sendiri, aspek sejarah, aspek perlembagaan dan aspek rasionaliti.

Saya senang membaca beberapa tulisan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin berhubung isu ini lewat beberapa tulisan terdahulu beliau (Beza Antara Merebut Nama Allah dan Mempertahankan Aqidah) dan yang terbaru, Kenyataan Pertama Dr. Mohd Asri.

Saya juga sempat meneliti satu kupasan ilmiah nukilan Dr. Muqtader Khan, seorang profesor di Jabatan Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa di Universiti Delaware, Prophet Muhammad’s promise to Christians. Kupasan ini antara lain menggambarkan bagaimana hubungan antara Muslim dan Kristian ini perlu dilaksanakan sebaiknya.

Tulisan mantan Presiden ABIM, Dr. Muhammad Nur Manuty juga sangat mencerahkan lewat satu kenyataan media beliau berhubung Penggunaan Kalimah Allah ini.

Terdapat beberapa ayat Al-Quran yang menyatakan bagaimana penggunaan nama Allah SWT ini digunapakai oleh penganut agama samawi yang lain terdahulu, sebagaimana terkandung di dalam surah Al-Hajj ayat 39-40:

“Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).

Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: “Tuhan kami ialah Allah”. Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa…”

Samada keputusan membenarkan penggunaan nama Allah ini wajar atau tidak, saya serahkan pada ahli agama dan mereka yang mempunyai autoriti. Mereka lebih arif untuk menentukan samada wujud keperluan untuk mengekalkan keputusan itu ataupun menarik balik melalui semakan kehakiman di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan kelak.

Saya bersetuju bahawa isu ini sedikit sebanyak mendatangkan kegelisahan dan ketidakselesaan di kalangan ahli agama dan masyarakat negara kita, khuatir sekiranya keputusan mahkamah ini dijadikan lesen bagi kalangan pendakwah Kristian menyalahtafsir dan menyalahguna kalimah Allah ini untuk perkara yang berpotensi mengelirukan masyarakat Muslim yang lemah pemahaman.

Saya berpendapat, jika ia dibenarkan dalam konteks negara kita, maka satu prosedur yang ketat haruslah dikenakan ke atas mereka agar tidak berlaku penyelewengan istilah yang memungkinkan dakwah mereka disebarluas samada secara senyap mahupun secara terangan. Mekanisme yang jelas dan tersusun haruslah difikirkan dengan teliti agar pengurusan agama yang melibatkan Islam dan agama-agama lain tidak dicaca-marbakan sehingga membawa kepada kecelaruan di kalangan masyarakat.

Ini setidak-tidaknya memberi ruang kepada autoriti agama di Malaysia mengambil langkah proaktif dalam hal ehwal berhubung pengurusan agama di Malaysia.

Saranan Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga sangat bernas, di mana isu ini memerlukan autoriti agama Islam dan alim ulama’ Malaysia duduk semeja berdialog dengan autoriti agama Kristian bagi menghalusi isu ini sedalam-dalamnya agar dapat mengelakkan kekeliruan kelak.

Saya percaya ramai kalangan kita yang mual dengan lagak sesetengah pihak dalam negara kita yang berlumba-lumba menjadi juara dalam isu ini. Seolah-olah isu ini menjadi nisan tanpa nama ke atas imej dan kelangsungan Islam sebagaimana yang tertakluk di bawah Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan dan juga sejarah.

Yang saya mualkan ialah wujudkan satu bentuk keadaan di mana wujudnya hubaya yang bersikap ‘lebih sudu daripada kuah’. Seolah-olah keputusan 31 Disember lepas merupakan paku terakhir buat keranda pemakaman maruah Islam dan muslim Malaysia seluruhnya.

Saya melihat berlaku kecenderungan sesetengah pihak yang menilai tinggi rendahnya kedudukan Islam di Malaysia ini daripada sudut sisi perlakuan orang lain BERBANDING melihat kepada perilaku dan pembawaan penganutnya sendiri. Dan pihak-pihak ini jarang benar berhujah dengan menggunakan dalil yang segar dan sihat, sebaliknya melawan dengan provokasi yang pastinya bersadur emosi.

Dalam bab mempertahankan nama Allah, merekalah di hadapan, malah saya percaya dengan laungan Jihad sebagaimana yang boleh ditonton di kaca televisyen memungkinkan mereka ini berada di barisan hadapan jika Malaysia berhadapan musibah kelak!

Tetapi sayangnya mereka ini tidak istiqamah. Nama Allah disayang dijulang ditimang, tetapi bila datang bab mempertahankan syiar dan syariat, tidak tahu di mana mereka ini.

Apa pendirian mereka mengenai hukum hudud? Apakah mereka akan terus berdolak dalik dengan hukuman sebat Kartika yang sehingga kini masih tertunda rentetan pelbagai polemik?

Apakah penindasan sesama Islam itu dibenarkan dalam Islam? Apakah menguruskan aset negara dan wang rakyat secara tidak berhemah sehingga meleburkan ratusan juta ringgit itu dibenarkan dalam Islam?

Apakah rasuah dan penyelewengan kuasa itu hukumnya halal dalam Islam? Apakah penipuan dalam sistem pilihanraya itu wajib dilaksanakan demi mengekalkan kuasa di dalam Islam?

Saya lihat sebuah akhbar perdana, begitu bersungguh dengan paparan utamanya betapa umat Islam perlu bersatu menghadapi situasi ini semalam. Seolah-olah mereka benar-benar bertindak pendinding akhir kepada isu ini. Seolah-olah tiada lagi Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan untuk dilakukan semakan kehakiman.

Pada saya mudah saja, jika betullah editorial akhbar ini benar-benar ikhlas mempertahankan maruah agama, saya kira elok benar jika mereka tamatkan penerbitan Majalah Mangga terlebih dahulu yang saban keluaran tak lekang dengan gambar separuh bogel artis Malaysia yang kalangannya beragama Islam di dalam kolam renang dan gambar-gambar yang sewaktu dengannya.

Matlamat sama sekali tidak menghalalkan cara.Itu jelas dan tuntas.Janganlah menjadikan isu ini sebagai satu asas untuk mencetus provokasi atas nama ‘mempertahankan agama’ di sebalik pelbagai lagi insiatif boleh difikirkan untuk memurnikan pemahaman dan pengurusan agama di Malaysia.

Sebab itu saya benci sikap selektif, tambahan lagi bila melibatkan bab-bab agama. Seolah-olah Allah SWT boleh dikaburi dan malaikat itu tidak mencatit. Bila mengaku beragama dan berTuhan, jangan sesekali kita hipokrit dan selektif.

Surah Al-Baqarah ayat 209 yang antara lain bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam secara keseluruhannya (dengan mematuhi segala hukum-hukumnya); dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.”

Semoga ini menjadi ingatan jua buat diri saya untuk menghindarkan diri daripada terjerumus daripada kalangan seumpama ini. Naudzubillah.

Wallahua’lam.

Sokong Bersih 3

Tetamuku....

Blog Pilihanku...