"KERA di hutan disusukan, anak dirumah mati kelaparan" peribahasa ini cukup tepat menggambarkan pembahagian subsidi dan isu tarif yang tidak seimbang. Ingin saya bawa perhatian pembaca kepada tarif elektrik Tenaga Nasional Berhad. Menurut laman web TNB, pengguna domestik seperti anda dan saya perlu membayar RM0.218 untuk setiap kilowatt jam (kWj) tenaga elektrik yang kita gunakan bagi 200 kWj yang pertama. Namun begitu, jika anda lihat pada tarif yang dikenakan kepada pengguna industri kategori 'istimewa' E2s, harga yang dikenakan adalah serendah RM0.147/kWj di luar waktu puncak. Ini bermakna tarif untuk setiap kWj yang digunakan oleh sektor industri adalah lebih murah daripada petani-petani di kampung-kampung. Saya juga ingin mempersoalkan status 'istimewa' yang diberikan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri kepada pengguna-pengguna industri. Menurut TNB, status ini diberikan kepada pengguna industri yang mempunyai jumlah bil penggunaan tenaga elektrik tahunan adalah 5 peratus atau lebih daripada jumlah kos operasi tahunan. Pada pendapat saya, ini menggalakkan pembaziran kerana ia adalah lebih murah untuk membazir tenaga elektrik daripada mengamalkan penjimatan dan kecekapan tenaga. Memang diakui bahawa pembangunan sektor industri adalah sangat penting bagi kemakmuran sesebuah negara. Namun janganlah sehingga mengabaikan tanggungjawab kita terhadap generasi masa depan. Mereka juga berhak untuk menikmati penggunaan bahan api yang kita nikmati selama ini. Seharusnya, pengguna-pengguna yang menggunakan hanya sedikit tenaga elektrik diberikan subsidi yang lebih banyak berbanding pengguna-pengguna yang menggunakan lebih banyak tenaga. Maka, tenaga elektrik dapat dijimatkan dan kita dapat memanjangkan dan melambatkan kehabisan sumber-sumber bahan api. Di samping itu, pembangunan mapan bahan-bahan api yang boleh diperbaharui (RE) perlu digalakkan. Malaysia masih belum mencapai potensi penuhnya dari sudut ini. Kos permulaan yang tinggi dan kurang galakan daripada kerajaan serta masalah penyimpanan tenaga akan sentiasa menjadi blok penghalang untuk pembangunan RE. Sekiranya RE dibangunkan dengan sempurna, tidak perlulah kita berubah kepada tenaga nuklear yang bukan sahaja berbahaya kepada manusia, malah mencemarkan alam sekitar. Isu subsidi yang di salah tempat memang telah lama menjadi duri dalam daging dalam masyarakat kita. Oleh itu, para pengguna harus peka kepada isu-isu seperti ini supaya hak mereka dapat dilindungi. Badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) harus menggembleng tenaga supaya isu ini dapat ditangani dengan sempurna. Ahmad Faiz Abdul Razak Jurutera Eksekutif Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)Sumber Utusan Online
Rejim Zionis Israel gali kubur sendiri – Tuan Guru Abdul Hadi
-
* KUALA LUMPUR* : “Kezaliman rejim Zionis sebenarnya hanya akan menggali
kubur diri mereka sendiri.”
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ber...
2 months ago