lizamuslim

Hati ini telah bersatu, Berkumpul di perut bumiMu, Hati ini telah berpadu, Bersatu memikul beban dakwahMu, Hati ini telah mengikat setia, Untuk mendaulat untuk mendukung, SyariatMu di alam maya, Maka Ya Allah eratkanlah, Ikatan yang ada...


Dipetik dari blog Ust Misbah (Setpol MB Nizar). Tak sia-sia rasanya berkempen untuk beliau


KESEDERHANAAN DAN KELEBIHAN HJ NIZAR



Saya mengenali Hj Nizar sejak beliau aktif dalam PAS di peringkat Kawasan Kampar lagi, ketika itu saya masih Ketua Pemuda PAS Perak. Tetapi sepanjang 11 bulan saya menjadi Setiausaha Politik kepada beliau sebagai YAB MB Perak, saya lebih lagi mengenalinya. 11 bulan walaupun tidak lama, tetapi oleh kerana setiap hari dan masa banyak dihabiskan bersama beliau, bertukar fikiran, menerima arahan, nasihat dan berbagai urusan lagi dengan beliau, menyebabkan saya sangat-sangat mengenali beliau.
Sepanjang 11 bulan bersama dalam pejabat dan luar pejabat, saya tahu apa kelebihan dan kekurangan. Saya tidak mahu memuji atau memuja Hj Nizar sehingga tidak nampak langsung kelemahannya. Sebagaimana manusia biasa, beliau tetap ada kelemahan. Cuma kelemahan itu ditutupi oleh beberapa kelebihan yang lain. Kelemahannya pula senang diperbetulkan, kerana beliau seorang yang mudah ditegur, tidak ego dan tidak sombong. Saya cukup menghormatinya, kalau ada kesilapan, beliau suka ditegur, saya tegur tidak dengan cara serius, kadang-kadang sambil bergurau, beliau tetap menerima teguran tersebut. Saya selalu menegur tentang ucapan-ucapannya kerana saya selalu mengikuti ucapannya. Selepas ditegur, beliau segera memperbaiki ucapannya.

Ucapan beliau sentiasa bernas walaupun tanpa teks, ayat Quran menjadi muqaddimah ucapannya, seringkas mana sekalipun ucapannya mesti dimulakan dengan petikan-petikan ayat al Quran, diterjemah dan dihuraikan, sekaligus sebagai dakwah dan tazkirah kepada yang hadir. Dalam majlis yang dihadiri oleh majoriti orang bukan Islam sekalipun, ayat Quran tetap dibacanya. Diterjemah dan diulas dalam Bahasa Inggeris bagi memudahkan mereka memahaminya. Beberapa EXCO DAP tertarik dengan pendekatan ucapan Hj Nizar, ada yang rajin, dikajinya ayat tersebut dan cuba difahaminya. Kemudian mereka turut memetik ayat-ayat al Quran yang ada kaitan dengan keadilan, amanah, rasuah, kezaliman dan sebagainya dalam ucapan-ucapan mereka pula. DAP yang tidak beriman dengan Al Quran tetapi menggunakan al Quran untuk menyokong hujjah mereka. Ini yang UMNO BN dengki.

Sekiranya teks ucapan disediakan oleh pegawai-pegawai yang diberi tanggungjawab menyediakannya, beliau akan meminta saya dan Setiausaha Akhbar menyemaknya, dan meminta cari ayat-ayat al Quran dan Hadis yang sesuai dengan majlis yang diadakan. Beliau akan tokoh tambah sendiri dalam pengucapan, diselang seli pula dengan loghat Perak menjadikan ucapannya cukup menarik dan tidak jemu didengar.

Semua orang tahu, beliau ada pengetahuan agama yang cukup baik. Sebab itu, beliau boleh mengimami solat, menyampaikan tazkirah dan kuliah agama dengan kupasan yang cukup baik, setiap kali beliau mengunjungi mana-mana masjid mahupun surau, pasti Imam bertugas akan meminta beliau mengimami solat dan menyampaikan tazkirah.
Sepanjang 11 bulan berada di pejabat SUK, setiap hari melainkan ada program di luar pejabat, beliaulah yang mengimami solat Zohor di surau SUK dan menyampaikan tazkirah ringkas. Sepanjang bulan Ramadhan, setiap pagi lebih kurang 15 - 20 minit, tazkirah pagi diadakan melalui pembesar suara. Pegawai-pegawai tinggi dan kanan kerajaan serta pegawai-pegawai khasnya turut menyampai tazkirah secara bergilir-gilir. Pembudayaan ilmu seumpama ini sangat disenangi oleh semua pegawai dan kakitangan kerajaan.

Setiap hari, beliau datang ke pejabat tepat jam 8 pagi, sebelum memulakan tugas di pejabatnya, beliau akan mengerjakan solat Dhuha dibilik rehatnya. Selepas itu barulah beliau memulakan tugas sebagaimana yang dijadualkan oleh saya sebagai Setiausaha Politik dan juga oleh Setiausaha Sulitnya.

Beliau cukup peka dengan masalah rakyat, sekiranya berlaku apa sahaja musibah yang menimpa, beliau akan segera melawatinya dan menghulurkan bantuan, sekiranya tidak ada kesempatan, beliau akan mengarahkan pegawai-pegawai khasnya mewakilinya. Setiap jemputan khenduri akan cuba dihadiri. Beliau tidak suka menghampakan jemputan, apatah lagi jemputan ceramah atau kuliah.

Setiap rakyat yang datang ingin berjumpa dengannya sentiasa dilayaninya. Hari Selasa adalah hari MB bertemu pelanggan. Semua yang datang akan puas hati dengan cara MB melayani tetamu-tetamunya. Ada juga yang datang tanpa temu janji, itupun akan dilayaninya dengan baik. Kadang-kadang rakyat ingin berjumpa dengannya hanya sekadar ingin bersalam, bukan sahaja rakyat Perak bahkan rakyat luar Perak juga sering mengunjunginya.

Setiap program akan dihadiri tepat pada waktunya, beliau pula berjalan cukup laju sehingga tidak terkejar oleh orang lain. Ketepatan waktunya tidak boleh diatasi oleh orang lain. Banyak program yang diadakan di pejabat SUK, beliau sering sampai dahulu sebelum pegawai-pegawai tinggi yang lain sampai. Beliau cukup sederhana dalam kehidupan. Sebelum menjadi MB, beliau tidak mempunyai rumah sendiri, tinggal di rumah sewa di Tapah. Beliau tinggal di kediaman rasminya atas restu dan saranan pimpinan PAS Perak. Dan beliau sedikitpun tidak menambah atau mengganti sebarang perabut, carpet, langsir dan sebagainya, walaupun ada peruntukannya. Cuma beliau ada mengubah suai pantri yang jarang digunakan menjadi sebuah surau bagi memudahkan solat berjamaah.
Beliau makan tengahari di kantin pejabat setiap hari melainkan tidak ada di pejabat. Seringkali beliau bersama pegawai-pegawainya makan nasi goreng kampung sahaja kerana lauk pauk sering kehabisan, maklumlah makan selepas solat, laukpun dah habis. Kadang-kadang beliau makan nasi bungkus sahaja yang diorder dikantin kerana sebuk dengan temujanji. Beliau tidak pernah mengajak untuk makan dihotel atau direstoran.

Apabila ada program lawatan ke luar, beliau akan sarapan pagi di mana-mana gerai tepi jalan. Kesempatan itu digunakan untuk berinterasksi dengan orang ramai. Beliau sangat pemurah orangnya, saya diberitahu, MB memberi peruntukan sejumlah wang peribadinya kepada pegawai khasnya untuk tujuan kebajikan dan sumbangan-sumbangan orang ramai yang memerlukan. Saya difahamkan hampir 6 - 7 ribu sebulan diperuntukan untuk tujuan tersebut.
Semua orang dihormati dan disantuni oleh beliau tanpa mengira fahaman agama, politik, bangsa dan umur. Apabila mendengar pimpinan UMNO atau wakil rakyat UMNO jatuh sakit pa, sti akan segera diziarahinya walaupun berbeza ideologi perjuangan. Setiap kali berjumpa bayi atau kanak-kanak kecil pasti akan didokong dan diciumnya, bahkan didoakannya.

Beliau juga boleh berkomunikasi dengan baik dalam pelbagai bahasa, bertemu orang Cina disapanya dalam bahasa Cina, begitu juga India dan Sikh. Malahan beliau boleh berkomunikasi dengan baik dalam loghat Asli. Dalam satu majlis meraikan kunjungan lebih 200 orang Asli dari berbagai suku di seluruh Perak, beliau telah menyampaikan ucapan dengan loghat Asli dengan begitu baik. Ucapannya cukup mengkagumkan.

Beliau pernah menjiwai kehidupan sebagai seorang penoreh getah, sebelum menjadi MB beliau sering menorehnya sendiri bersama orang Asli di Tapah. Beliau juga seorang penjala ikan yang mahir, boleh juga bertukang dan sebagainya. Pendek kata kehidupannya macam orang kampung biasa walaupun dalam masa yang sama beliau merupakan seorang jurutera profesional yang mempunyai syarikat consultant yang besar dan terlibat dengan urusan perniagaan dalam dan luar negeri. Sebab itulah, walaupun beliau menjadi Menteri Besar, beliau tetap tidak sombong, prihatin dengan masalah rakyat, mesra rakyat, mudah simpati dengan masalah rakyat dan sebagainya. Sebelum beliau menjadi MB, beliau pernah memberi pinjaman kewangan dengan sejumlah wang yang begitu besar, yang biasanya pihak bank sahaja yang mampu memberi pinjaman tersebut, hanya kerana tidak mahu melihat orang lain susah. Saya pernah bertanya anak perempuannya yang panggilannya keluarganya Yong. Mengapa abah Yong tak buat rumah sendiri, anak ramai tak kan menyewa sahaja. Kata Yong, abah tak mahu buat rumah sendiri buat masa ini, nanti dia tak dapat membantu ekonomi PAS Perak, waktu itu beliau adalah Bendahari PAS Perak. Menurutnya kalau dia buat rumah sendiri, sudah tentu melibatkan kos ratusan ribu, sedangkan beliau merasa bertanggungjawab untuk membantu dan mengutamakan ekonomi PAS Perak.

Bangunan PAS Perak di Medan Istana dibeli secara tunai oleh PAS Perak tanpa meminjam dengan mana-mana bank. Usaha keras beliaulah yang menjelajah seluruh Perak menemui para dermawan PAS sehingga ahli-ahli PAS rela memberi sumbangan dalam bentuk pinjaman al Qardhul Hasan bagi membolehkan PAS Perak membeli bangunan dengan duit ahli tanpa terlibat dengan intitusi kewangan yang sudah tentu terlibat dengan unsur-unsur riba. Usaha keras beliau dikagumi oleh tuan punya bangunan, beliau meminta tempoh 3 bulan sahaja untuk menyelesaikan pembayaran tersebut secara tunai, 3 bulan kemudian, setelah hampir setiap malam bertemu dengan ahli-ahli PAS seluruh Perak, akhirnya beliau berjaya mengutip 400 ribu. Kagum dengan keupayaan ini, tuan punya bangunan turut menyumbang sama dengan memberi sumbangan kalu tidak silap hampir 10 ribu.

Itulah sebahagian cebisan kelebihan-kelebihan Hj Nizar sepanjang saya mengenali beliau, banyak lagi sebenarnya. Justeru itu, rakyat Bukit Gantang tidak akan rugi mempunyai seorang Ahli Parlimen seumpama beliau, suara beliau akan mewakili rakyat Bukit Gantang dan rakyat Perak di Parlimen, kelantangan suaranya, kepetahan hujjah-hujjahnya, kepekaan dan perihatinan terhadap nasib rakyat menjadikan rakyat Bukit Gantang akan terbela nasib dan masa depannya.

Powered By Blogger

Blog Pilihanku...