lizamuslim

Hati ini telah bersatu, Berkumpul di perut bumiMu, Hati ini telah berpadu, Bersatu memikul beban dakwahMu, Hati ini telah mengikat setia, Untuk mendaulat untuk mendukung, SyariatMu di alam maya, Maka Ya Allah eratkanlah, Ikatan yang ada...

Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 3 Dis: Biro Tata Negara (BTN) yang diwujudkan kini bukan lagi untuk menjaga semangat bangsa dan cintakan negara, sebaliknya untuk menjaga kekuatan parti Umno.

Bekas Pengarah BTN Terengganu, Rosli Abdullah memberitahu modul kursus yang diajar dalam BTN khususnya selepas tahun 1998, lebih menekankan pengukuhan peserta kursus kepada pada parti pemerintah itu.

“Pada masa yang sama, peserta kursus juga turut diajar memusuhi pemimpin parti-parti pembangkang, khususnya ulama dalam PAS, lebih bersifat perkauman dan berbagai lagi,”ujarnya lagi.

Katanya, tindakan pemimpin kerajaan Selangor yang menghalang kakitangannya menghadiri kursus dalam BTN sebenarnya satu langkah yang baik memandangkan setiap peserta akan diasak sedemikian rupa untuk memenuhi impinan kerajaan Umno dan BN.

Beliau yang pernah diamanahkan sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan BTN Pusat, itu seterusnya memberitahu, propaganda termasuk tuntutan Hindaf juga turut dicanang kepada peserta kursus berkenaan.

“Modul kursus BTN khususnya diawal era 90-an, berbeza khususnya sewaktu dibawah seliawan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut ditekankan soal pendidikan Islam.

“Sekarang ni khususnya selepas tahun 1998, kursus berkenaan bukan sahaja tidak ditekankan soal pendidikan Islam, sebaliknya lebih menjurus pada propaganda Umno, perkauman dan memburukkan ulama’ khususnya dalam PAS,”ujarnya lagi.

Sambungnya lagi, masyarakat begitu mengagumi BTN sehingga antara tahun 1991 hingga 1998 merupakan zaman kegemilangan BTN kerana modul kursus yang diperkenalkan termasuk pendidikan Islam.

Namun tambahnya, kini ianya menjadi hambar kerana lebih bersifat politik demi untuk kepentingan parti pemerintah.

Beliau yang kini Timbalan Pengarah Tabung Amanah Tok Kenali juga memberitahu, keberkesanan kursus BTN sekitar tahun berkenaan juga menyebabkan rakyat turun ke bawah akibat kesan dari reformasi yang disuntik dari semangat kursus BTN, khususnya selepas penyingkiran Anwar.

“Kini mereka ingin melakukan perkara yang sama namun lebih sistemetik demi untuk kemenangan mereka dalam pilihan raya umum akan datang,”ujarnya lagi.

Jelasnya, kursus BTN dalam tempoh lima hari amat berkesan kepada peserta kursus dengan asakan serta cara mereka menyampaikan ceramah melalui modul yang telah disediakan kepada peserta.

Jelasnya, BTN kini juga telah terpesong dari matlamat asal penubuhan iaitu untuk menguatkan bangsa Melayu itu sendiri, yang mana kini tidak menumpukan soal bangsa apa lagi agama, sebaliknya menanam semangat perjuangan Umno pada jiwa peserta kursus.

Pada masa yang sama beliau turut menyokong langkah kerajaan Selangor menghalang kakitangannya mengikuti kursus BTN bagi mengelak sesuatu yang tidak diingini berlaku.

Bagaimanapun, menurutnya kerajaan negeri itu perlu mengadakan satu medan kursus khas untuk kakitangannya memandangkan setiap kakitangan awam perlu mengikuti kursus untuk kenaikan pangkat mereka.

Menurutnya lagi, kursus khas di bawah Menteri Besar perlu ditubuhkan sebagai alternatif baru untuk kakitangannya mengikuti kursus.

Pada masa yang sama, sambungnya masyarakat perlu didedahkan tentang intipati yang terdapat dalam kursus BTN agar mereka selamanya tidak diperbodohkan oleh kerajaan khususnya yang mengaitkan hanya Umno mampu memerintah negara.

“Fahaman atau ajaran sesat ini sewajarnya dibuang dari minda rakyat kerana Pakatan Rakyat juga mampu memerintah,”ujarnya.





Apabila Tok Guru berdoa kepada Allah swt supaya Najib dan Zahid diturunkan bala oleh Allah swt. UMNO menggigil ketakutan. Para pimpinan bergilir ganti mengecam doa Tok Guru, para ulama kerajaan turut mengecam Tok Guru.

Memang wajar UMNO takut dengan doa Tok Guru, kerana mereka tahu doa Tok Guru akan dimakbulkan oleh Allah swt. Kalau tidak masakan mereka takut dengan doa Tok Guru.

Tok Guru dan seluruh rakyat Kelantan adalah mangsa yang dizalimi oleh UMNO BN sejak 1990 lagi. Doa orang yang dizalimi tidak ada hijab (dinding) sebagaimana maksud Hadis Rasulullah saw.

Tok Guru pula seorang ulama terbilang, bukan sahaja berilmu dan warak malahan sederhana dalam kehidupannya walaupun menjadi seorang Menteri Besar. Apabila Tok Guru berdoa seluruh rakyat Kelantan mengaminkannya, orang semua tahu doa Tok Guru mustajab.

Seluruh rakyat bukan sahaja di Kelantan apabila berkunjung atau menziarahi Tok Guru, mereka juga ada hajat lain iaitu memohon doa penerang hati untuk anak dan cucu mereka, ramai yang sanggup membawa bayi kecil dari jauh semata-mata mahu Tok Guru mentahnik, mencukur dan mendoakan bayi mereka supaya menjadi anak yang soleh.

Kemana sahaja Tok Guru berada, orang ramai akan mengambil kesempatan supaya Tok Guru mendoakan mereka, mereka membawa sebotol air mineral untuk Tok Guru mendoakan penerang hati atau berbagai hajat lagi. Sering berlaku di Airpot, sementara Tok Guru menunggu penerbangan, para kakitangan airport dan orang ramai mengambil kesempatan memohon Tok Guru membaca doa penerang hati dalam air botol mineral untuk diberi minum kepada anak-anak mereka.

Pimpinan UMNO juga ada yang ulama atau berlatar belakangkan pendidikan agama seperti Jamil Khir, Dr. Mashitah Ibrahim, Firdaus Al Hafiz (bekas imam Besar), malahan suatu ketika dulu UMNO ada Wan Mokhtar, Hamid Zainal Abidin, Dr. Yusuf Noor, Ust Nakhaei, Hamid Osman, Abdullah Mat Zain dan lain-lain lagi. Adakah rakyat berpusu-pusu membawa air mineral minta doa penerang hati dan membawa bayi untuk ditahnik dan dicukur oleh mereka ?

Begitulah yakinnya rakyat kepada doa Tok Guru. Itu sebabnya pimpinan UMNO begitu takut dengan doa Tok Guru. Sesiapa yang pernah mengikuti dan mengaminkan doa Tok Guru pasti akan tersentuh hati dan menitis air mata. Tok Guru berdoa dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu, rakyat memahami apa yang dipohon oleh Tok Guru, Tok Guru berdoa dengan sepenuh hati, bersungguh-sungguh, mendayu-dayu, merintih, menangis tersedu-sedu sehingga menyentuh semua hati semua yang mengaminkan doa Tok Guru.

Saya teringat dalam peristiwa Memali lebih 20 tahun dulu, Tok Guru berdoa dalam satu perhimpunan besar dengan memohon supaya yang bertanggungjawab dalam peristiwa Memali sehingga mengorbankan As Syahid Ibrahim Libya dan murid-muridnya dibalas oleh Allah swt, dipecah belah mereka dan sebagainya.

Doanya diaminkan oleh puluhan ribu ahli dan penyokong PAS. Beberapa tahun kemudian, berlaku perpecahan yang dahsyat dalam UMNO. Musa Hitam yang menjadi Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Presiden UMNO ketika itu berbalah dengan Dr. Mahathir sehingga beliau meletakkan semua jawatan dalam parti dan kerajaan, UMNO berpecah belah sehingga wujud dua team. Team A dab team B, Dr. Mahathir hampir kecundang di tangan Tengku Razaleigh Hamzah dalam perebutan jawatan Presiden UMNO. UMNO semakin parah sehinggalah UMNO diharamkan oleh Mahkamah. Kemuncak krisis UMNO akhirnya lahirlah parti Melayu Semangat 46. Dan selepas itu setiap 10 tahun kemudian UMNO sentiasa berpecah belah.

Saya penuh yakin ini berkat doa Tok Guru. Kali ini Tok Guru berdoa untuk Najib dan Zahid pula. Kalau kita ikuti skrip ucapan dan doa Tok Guru, tidak ada salah sikit pun doa Tok Guru. Dalam ucapan Tok Guru sebelum berdoa, Tok Guru mengajak rakyat Kelantan berdoa supaya Najib dan Zahid dibuka pintunya untuk Islam dan Iman, inilah petikan skrip doa Tok Guru....

"Ya Allah, Ya Tuhanku, kalauMu tengok dua orang ni (Najib & Zahid) ada bakat menjadi baik, bukalah pintu hati dia untuk Islam dan Iman, kalau tak ada bakat dah jadi baik, kacau sokmo, turunkanlah bala supaya orang lain gerun nak tiru dia" Kemudian Tok Guru berdoa dalam bahasa Arab dengan menyebut nama Najib dan Zahid.

Samalah macam kita doakan ke atas orang yang sakit tenat, kita dituntut membaca Yasin dan berdoa ke atas orang yang sakit tenat, apa yang kita pohon kepada Allah ketika membaca Yaasin dan doa. Kita pohon supaya Allah menyembuhkan penyakit sekiranya ianya membawa kebaikan, sebaliknya kalau mati itu lebih baik, permudahkanlah kematiannya. Adakah kita marah kalau kita berdoa sedemikian ?, sembuhkanlah penyakitnya kalau ada peluang sembuh dan membawa kebaikan, sebaliknya kalau tidak ada peluang sembuh dan mati itu memberi kebaikan, permudahkanlah kematiannya.

Doa Tok Guru cukup berlapik, Tok Guru minta Allah swt bukakan pintu hati Najib dan Zahid untuk Islam dan Iman kalau mereka berdua ada peluang menjadi baik, sebaliknya kalau mereka tidak mahu menjadi baik, turunkanlah bala ke atas mereka. Sepatutnya UMNO, para ulamanya dan rakyat Malaysia berterima kasih kepada Tok Guru yang mahu mendoakan mereka menjadi baik untuk Islam dan Iman.

Apa ruginya rakyat Malaysia kalau doa Tok Guru dimakbulkan Allah, lantas kedua yang disebut namanya oleh Tok Guru akhirnya menjadi pemimpin yang baik untuk Islam dan Iman, ukuran baik yang dimaksudkan Tok Guru sangat luas, antaranya menjadi pemimpin yang adil, taat pada ajaran agama, melaksanakan syariat Islam, menyerahkan royalti kepada Kelantan dan sebagainya. Bala yang dimaksudkan Tok Guru juga sangat luas, tidak semestinya kebinasaan tubuh badan, terpulanglah kepada Allah swt untuk menurunkan bala yang bagaimana. Bala yang menimpa Musa Hitam ketika itu berlaku pergisiran yang hebat antara beliau dengan Dr. Mahathir hingga hilang kuasa politiknya dan UMNO menjadi pecah belah.

Kalau sememangnya doa Tok Guru bercanggah dengan kaedah Islam, apa pulak UMNO nak risau, doa yang bercanggah dengan syarak sudah pastinya akan ditolak oleh Allah swt. Lagi pun UMNO ada ulama, gunakanlah kaedah yang sama untuk berdoa supaya Allah menolak doa Tok Guru.

KUALA LUMPUR, 1 Nov: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya kecil untuk Dun Kota Seputeh Kedah.

Arahan itu dibuat oleh hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin.

Menurut hakim itu, Suruhanjaya Pilihan Raya telah melanggar sempadan kuasanya apabila menolak permohonan Speaker Dun Kedah agar diadakan pilihan raya semula di situ.

Menurut beliau, peguam plaintif (Speaker Dun Kedah) telah berjaya membuktikan bahawa Datuk Abu Hassan Sarif, Adun Kota Seputeh telah tidak hadir dua kali sidang berturut-turut tanpa kebenaran Speaker.

Ini bermakna, mahkamah bersetuju dengan keputusan Speaker Dun Kedah, yang memutuskan kerusi itu kosong berikutan kegagalan Abu Hasan
(gambar) hadir dua kali berturut-turut ke sidangnya.

Speaker DUN, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail menghantar surat kepada SPR memaklumkan mengenai kegagalan Abu Hassan hadir sidang DUN pada 19 April dan 16 Ogos lalu.

Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, mana-mana ahli dewan yang tidak hadir pada sidang DUN selama dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, tempatnya hendaklah dikosongkan.

Kerusi itu dimenangi Abu Hasan dengan majorti 495 undi. Lawannnya, Ismail Wan Teh dari PAS menerima 7,665 undi.

Dalam sidang Dun Kedah baru-baru ini, Speaker menyifatkan Abu Hasan bukan lagi Adun Kedah yang sah.

Mengulas mengenainya, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata pegawai undang-undang SPR perlu meneliti secara terperinci desakan dibangkitkan Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail sebelum membuat sebarang keputusan.

Pada 18 Ogos lalu Abd Isa meminta SPR mengisytiharkan kerusi itu kosong atas alasan Abu Hasan tidak menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dua kali berturut-turut tahun ini.

Peguam bagi Speaker, Sulaiman Abdullah memberitahu mahkamah, Artikel 51 Undang Undang Tubuh Kerajaan Kedah menyebut bahawa “sekiranya mana-mana anggota Dewan Undangan Negeri tidak menghadiri dua sidang berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, kerusi mereka seharusnya dianggap kosong.”

Abu Hasan tidak hadir pada sidang 19 April dan kemudian pada 9 Ogos tanpa izin Speaker.

Sulaiman berkata, Abu Hasan tidak menafikan fakta itu.

“Apabila syarat-syarat ini dipenuhi, kemudian perjalanan undang-undang ialah Artikel 51, di mana kerusi itu dengan sendirinya menjadi kosong,” kata Abdullah yang juga bekas Presiden Majlis Peguam di mahkamah sebelum ini.

Namun, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Abu Hasan agar terus menghadiri sidang DUN negeri itu yang dijadualkan hari ini.

Katanya, walaupun Speaker menganggap wakil rakyat itu hilang kelayakan sebagai Adun, namun BN memegang prinsip apa yang diputuskan oleh SPR bahawa tiada berlaku kekosongan kerusi DUN Kota Seputeh dan Abu Hasan adalah wakil rakyat BN yang sah.

“Abu Hasan masih ahli Yang Berhormat secara sah dan Speaker (DUN) tidak boleh menghalang beliau dari menghadiri sidang dewan itu.

“SPR umum tiada kekosongan dan tidak ada pilihan raya kecil, jadi apa kuasa Speaker itu saya tak tahu,” katanya selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Gunung, Alor Setar.

Muhyiddin berkata, Abu Hasan harus menghadiri sidang DUN itu bagi mengetahui apa yang sedang berlaku kerana beliau masih seorang Adun sehinggalah mahkamah memutuskan kedudukannya kelak.

Abd Isa baru-baru ini berkata, beliau menyifatkan Abu Hasan bukan lagi Adun walaupun mahkamah belum membuat sebarang keputusan mengenai kedudukan wakil rakyat itu.

Beliau sebelum ini memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan SPR yang mengekalkan Abu Hasan sebagai Adun kawasan Kota Seputeh.




Ketua Pergerakan Pemuda Umno Kelantan, Anuar Sapian mengadakan demontrasi dan menghantar memorandum kepada Penolong Pengarah SPRM Kelantan, Muhamad Hafiz Hamzah pada kira-kira pukul 11.30 pagi di pejabat SPRM negeri di Wisma Persektuan, di sini.


" Tak apalah, saya tak pergi walaupun rindu sangat nak beribadat di sana, harap-harap mereka yang dapat pergi, guna peluang itu sebaik-baiknya" (TGNA - Sinar Harian 14/11/09)



KOTA BHARU, 15 Nov: Umno dan Barisan Nasional (BN) menggunakan setiap ruang yang ada pada media dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mencari kesalahan pemimpin Pakatan Rakyat.


Terbaru mereka cuba mengenakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan isu tajaan untuk menunaikan ibadat haji.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemimpin Umno menggunakan setiap peluang untuk memperhodohkan wajah pemimpin Pakatan Rakyat.

“Sampai Tok Guru Nik Abdul Aziz hendak menunaikan haji pun cuba disekat dengan menggunakan media dan SPRM.

“Kerja khianat pemimpin Umno juga berterusan dilakukan dengan menggunakan sepenuhnya media massa yang mereka kuasai,” katanya pada perasmian penutup konvensyen KeADIlan Kelantan di KTC di sini, petang ini.

Hadir sama Setiausaha Agung PKR, Datuk Salahuddin Hashim, Ketua PKR Kelantan, Saifuddin Nasution Ismail, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Zaid Ibrahim dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri, Mohd Zaki Ibrahim.

Jumaat lalu Nik Abdul Aziz mengumumkan membatalkan hasrat menunaikan haji tahun ini disebabkan media sengaja membesarkan isu penajaan untuk ke Mekah.

Malah SPRM dilaporkan membuka fail siasatan berhubung isu terbabit.

Anwar berkata, biar pun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menguar-uarkan konsep 1Malaysia, namun sebenarnya undang-undang yang dipakai ada dua di negara ini.

“Pemimpin Pakatan Rakyat cuba dianiayai dengan pelbagai tindakan melalui undang-undang, sedangkan pemimpin Umno dan BN terselamat.

“Tidakkah ini dinamakan sebagai dua undang-undang dan bukan 1Malaysia yang disibukkan perdana menteri,” ujarnya.

Beliau yang juga ketua pembangkang di parlimen berkata, sebab itulah pemimpin KeADILan yang tidak ada daya tahan mudah mengambil langkah mengkhianati parti sendiri.

Katanya apa yang berlaku kepada dua bekas Adun KeADIlan di Perak, seorang di Selangor dan seorang lagi di Kedah kerana tidak mempunyai daya tahan yang tinggi dalam perjuangan.

“Kalau beri RM5,000 mereka masih lagi tahan, kalau diberi RM50,000 mereka mulai goyah dan kalau diumpan ratusan ribu mereka sanggup meninggalkan perjuangan.

“Seperti juga berlaku kepada Adun Pelabuhan Klang yang sudah tujuh bulan didapati bermasalah. Ketika saya panggil dia datang dan memberitahu jangan ganggu dia,” katanya.

Lebih 1,000 perwakilan dari Cabang KeADILan di Kelantan hadir pada program separuh hari itu. Dua kertas kerja dibentang termasuk oleh Saifuddin dan Setiausaha Badan Perhubungan Terengganu, Rosli Abdullah.

Pada majlis itu juga Saifuddin menyerah 1,685 borang menyertai KeADIlan kepada Anwar



UCAPTAMA DATO’ SERI PRESIDEN PAS
SEMINAR KHAS MEMPERKASAKAN PARTI (PAS)
19hb Zulkaedah 1430 / 07hb November 2009
Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Kuala Lumpur



Muqaddimah

Memperkasakan Parti, Mendepani Kemenangan Pilihamraya Umum Ke-13.

Firman Allah (maksudnya):

“Wahai orang-orang yang beriman…!!!, barang sesiap yang menyeleweng di kalangan amu daripada agama-Nya (Islam), nescaya Allah akan mendatangkan satu golongan dimana Allah mengasihi mereka dan mereka juga mengasihi Allah, mereka bersifat merendah diri terhadap orang-orang yang beriman dan menunjukkan kemuliaan (kehibaan) terhadap orang-orang yang menentang Islam, mereka berjihad pada jalan menegakkan agama Allah, dan mereka tidak takut menghadapi celaan orang yang mencela, itu adalah kurniaan Allah yang diberi kepada sesiapa yang dikehendakin-Nya, dan Allah maha luas kurniaannya lagi maha mengetahui.”

“ Sesungguhnya yang menjadi wali kamu ialah Allah, Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka sentiasa tunduk (patuh dan taat) kepada Allah, dan barang siapa yang berwalikan Allah dan Rasul-Nya, serta orang-orang yang beriman maka sesungguhnya golongan (parti) yang menegakkan agama Allah (Islam) itu akan mendapat kemenangan.”

(Surah Al-Maidah : ayat 54-56)

Penubuhan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sejak separuh abad yang lalu, adalah memenuhi perintah Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang mewajibkan kesinambungan risalah Islam yang syumul, serta mewujudkan kumpulan Islam yang bercirikan daripada ayat-ayat tersebut.

1. Menegakkan Islam yang menyeluruh, yang menjadi ridalah para Rasul ‘Alaihimussolatu Wassalam, berakhir dengan kedatangan nabi akhir zaman Muhammad S.A.W yang wajib diikuti dan diteladani dalam semua marhalah, ‘aqidah, syari’at dan akhlak. Mengislamkan individu, masyarakat dan Negara dalam sgala aspeknya.

2. Mewujudkan saf kumpulan Islam yang teguh, bercirikan keteguhan ukhuwwah dikalangan pendokong Islam dan umatnya, serta ‘izzah dalam menghadapi musuh-musuh Islam dan kerenah penganut Islam yang jahil dan lemah, tana putus asa, takut dan hina.

3. Sedia berjihad secara faham dan bijak (Fiqhul Jihad), menegakkan Islam sehingga berkuasa dan mengatasi segala yang lain.

4. Wala’ kepada Allah, Rasul dan kepimpina Islam yang berwibawa.


Memperkasa Parti

Kewajipan menegakkan Islam yang penuh cabaran, bukan sahaja ke arah mencapai kemenangan, dalam masa yang sama mempunyai persediaan mengisi kemenangan dan melangsungkan perjuanga berikutnya, melalui agenda parti yang tersendiri bagi memperkasakan parti dengan sifat-sifat parti Islam megikut acuan kita yang sangat berbeza dengan kumpulan dan pertubuhan yang lain. Walaupun mereka bersifat Islam, tetapi tidak sampai kepada penghujung yang memaksa berdepan dengan cabaran yang dating dari segenap penjuru. Tentangan daripada masyarakat yang jahil dan bermusuh dengan kita, serta pihak yang memegang tampuk pemerintahan, kebiasaannya tidak dapat memberi jalan percuma kepada Islam. Keadaan ini menjadikan PAS mengalami fitnah dan mehnah perjuangan yang tidak dialami oleh rakan-rakan yang lain, tanpa menafikan bahawa semua kumpulan Islam dan pendokongnya, dimana sahaja mereka berada, adalah sahabat seperjuangan.

Parti Islam seperti PAS wajiblah memperkasakan setiap ahli di semua peringat dan organisasi parti secara dalaman, bercirikan perintah Allah yang tersebut di atas. Dalam masa yang sama wajib mengatur langkah dan strategi perjuangan sebijak mungkin, khususnya bagi penokong yang memerlukan kekuatan ‘aqidah, ilmu, akhlak dan kebijaksanaan. Dalam merialisasikan kewajipan berpolitik dan bermasyarakat, hendaklah mempunyai kemampuan mengajak manusia kepada Islam dengan menjadi penganutnya dan mengajak bukan Islam menjadi penyokongnya yang menerima kita kerana keyakian kepada Islam yang adil untuk semua.

PAS mempunyai jentera disemua peringkat yag wajib menjadi rujukan ahli pendokongnya.

1.
Majlis Syura ‘Ulamak yang memlihara istiqomah parti di atas ‘aqidah perjuangan dan syari’atnya supaya Islam itu sahaja yang menjadi keperkasaan yang membawa kejayaan dan kemenangan. Firman Allah (maksudnya);

“ ..dan kemuliaan itu kepunyaan Allah dan bagi Rasul-Nya dan jua orang-orang yang beriman, tetapi mereka yang muafiq tidak mengetahuinya.
.” ( Surah Al-Munafiqun : ayat-8)

Khalifah ‘Umar Radhiyallahu ‘anhu mengaskan :

“ Kita adalah umat yang Allah kuriakan kemuliaan dengan Islam, maka apa cara sekalipun yang dipegang dan diamalkan lai daripada apa yang Allah kurniakan kepada kita, nescaya kehinaanlah yang akan menimpa kita..”

2.
Dewan Harian dan Jawatankuasa Kerja di semua peringkat yang akan menjadi jentera pentadbiran dan gerakkan parti, menjadi kepimpinan yang berwibawa, perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan kematangan, sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud ;

“ Mereka yang menjadi pilihan dimasa jahiliyah menjadi pilihan juga apabila bersama dengan Islam sekiranya berilmu dan faham (tentang Islam)” ( Hadith Riwayat Imam Ahmad)

Khalifah ‘Umar Radhiyallahu ‘Anhu menegaskan ;

“Jadilah orang yang memahami (faqih dan berilmu) sebelum kamu menjadi pemimpin”

Feqah itu merangkumi segala bidang Islam termasuk juga Fiqh Politik ( Fiqhu Siyasah)

3.
Pembahagian mengikut Lajnah yang dibahagikan secara bidang masing-masing dengan menyeluruh menuju semua sasaran dalam masyarakat di semua peringkat dan pentadbiran mengikut susunan perhubungan negeri, kawasan dan cawangan di kebanyakan daerah diseluruh Negara, yang perlu dimantapkan dengan pengukuhan organisasi yang berperanan, wala’ kepada parti dan perlu aktif menjadi jentera yang berdakwah dan berkempen. Firman Allah Ta’ala (maksudnya) ;

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berjuang pada jalannya dalam satu saf laksana banguan yang diirikan daripada batu-bata yang disusun rapid an diikat denga sekuat-kuatnya” ( Surah As-Saff : Ayat-4)


Pencapaian

PAS menjai parti yang paling berpengalaman dalm sejarah politik tanah air. Berjuang sjak zaman penjajah, melahirkan pemimpin yang tidak pernah tunuk kepada penjajah. Oleh kerana mengambil kira keerdekaan yang dicapai dengan cirri-ciri penjajahan yang masih mengikat Negara dan rakyatnya atas prinsip dan konsep sekularisma yang menyeleweng daripada Islam, memaksa PAS mengharungi perjuangan yang paling banyak memberi pengalaman.

Berdepan dengan sistem demokrasi yang sangat tidak adil, tanpa memberi ruang langsung kepada pertukaran parti yang memerintah dengan berbagai-bagai akta dan undang-undang, namun kita tetap memilih “muwajahah silmiyyah” dengan menyertai pilihanraya dan menentang penyelewengan dan penipuan dengan sabar dan cekal. Walaupun begitu terbukti kita boleh menang melalui pilihanraya yang sebegitu rupa.

PAS menjadi palng berpengalaman, menjadi pembangkang secara bersendirian diperingkat negeri dan pusat, memerintah kerajaan negeri secara bersendirian, menyertai kerajaan campuran dan pernah menyertai Barisan Nasional di semua peringkat dan kembali bersendirian, seterusnya bekerjasama dalam bentuk angkatan perpadua ummah dan pakatan dengan parti-parti yang lain. Ahli-ahli boleh meerima keputusan pilihanraya dengan sabar dan istiqomah, walaupun memakan masa dan generasi. Maka kita hendaklah belajar daripada pengalaman itu secara positif.

Searang PAS mengambil pendekatan “Tahaluf Siyasi” (persefahaman politik), melalui proses yang teguh di atas prinsip dan batas kebijaksanaan yang berlandaskan Al-Quran, Al-Hadith, Al-Ijmak ‘Ulamak dan Qiyas yang nyata dengan pengamatan siyasah syar’iyyah mengikut Perlembagaan PAS. Dengan kelulusan Majlis Syura ‘Ulamak, perlaksanaan oleh jawatankuasa kerja PAS pusat dan jawatankuasa politik yang disalurkan keseluruh Negara melalui jentera parti yang bergerak dan hidup disemua peringkat.

PAS telah mencapai satu kejayaan yang besar dalam pilihanraya yang lalu :

1. Di peringkat parlimen dengan jumlah yang ketiga besar di kalangan Pakatan Rakyat dengan 23 kerusi.

2. Mendapat tempat pertama diperingkat negeri dengan mengekalkan pemerintahan di Kelantan dengan keadaan yang paling selesa, memimpin kerajaan campuran di Kedah sehingga kii dan Perak dalam masa hamper setahun.

3. Mendapat kerusi di semua negeri kecuali Melaka, Sabah dan Sarawak.

4. Jumlah terbesar diperungkat negeri ( Dewan Undangan Negeri) 83 kerusi PAS, 70 DAP dan 40 PKR, kerana PAS memilih penumpuan menguasai negeri di peringkat ini. Dengan bacaan politik yang tepat, belum lagi mempunyai tahap kemampuan menguasai kerajaan pusat.

5. Memenangi pilihanraya kecil peringkat negeri dan parlimen kecuali di Bagan Pinang.

6. Berjaya memecahkan tembok pemisahan dengan pengundi bukan Islam, apabila secara langsung ditbuhkan Kelab Penyokong PAS di samping mengadakan Tahaluf Siyasi dengan parti dan kumpulan bukan Islam.

Kesemua pencapaian ini hendaklah dimuhasabah semula kejayaan dan kelemahannya disemua peringkat sama ada kerajaan negeri termasuklah wakil rakyat negeri dan parlimen serta memperkasakan Kelab Penyokong PAS secara yang lebih aktif, bagi menigkatkan lagi kejayaan sehingga ke tahap mencapai kemenangan yang lebih besar.


Memperkukuhkan Penyertaan Dalam Pakatan Rakyat.

Hubungan yang kita bina bersama dengan parti-parti politik dalam Pakatan Rakyat adalah bertitik tolak dari asas persamaan yang semua pihak bersetuu, iaitu memerangi ketidak adilan, penyelewengan, rasuah dan segala bentuk kezaliman yang sedang bermaharajalela dalam Negara kita. Semua ini berlaku tanpa kita mengorbankan dasar dan matlamat PAS yang sama-sama kita pegang iaitu PAS bergerak di atas sifatnya sebagai sebuah organisasi siyasah, dakwah dan tarbiyah.

Alhamdulillah, strategi kerjasama dalam bentuk tahaluf siyasi itu berjaya merombak kesombongan yang wujud dlam parti Barisan Nasional, sehingga kini mereka berhadapan dengan keretakkandalam Barisan Nasional sebagaimana yang kita saksikan pada waktu ini.

Dalam membicarakan hubungan PAS dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat ini, ingin saya pertegaskan untuk kesekian kalinya, bahawa kita akan terus bersama dalam Pakatan Rakyat untuk memimpin rakyat ke arah perubahan yang hakiki. Kita aka memainkan peranan yag lbih aktif, sebagaimana yang telah sama-sama kita bahaskan dalam dua muktamar PAS yang lalu.


Menghadapi Pilihanraya Ke-13

PAS hendaklah membina dan memperkukuhkan lagi kekuatan di atas asas pencapaian pengundi Islam yang menjadi tonggak sebenar kekuatan Islam, dalam masa yang sama hendaklah mendapat undi bukan Islam sebaik mungki kerana inilah realiti politik dalam negara bermasyarakat majmuk, dan inilah juga pendeatan politik Islam dengan syarat memelihara batas-batas tahaluf siyasi yang diizinkan oleh ‘aqidah, syari’at dan akhlak dengan menjaga sempadan yang memelihara wala’ kepada perjuangan Islam. Sila rujuk sirah penubuhan Negara Islam pertama di Madinah Al-Munawwarah.


Kesimpulan

Melihat dan meneliti semua pencapaian tersebut, maka hendaklah dilakukan penerusan langkah parti mengikut pengamatan semasa yang kita putuskan dalam dua muktamar yang lalu, mengikut muhasabah kepimpinan secara kolektif dengan melaksanakan perkara-perkara berikut :

1. Berdiri di atas kekuatan yang sedia ada dengan mengemukakan Pakatan Rakyat yang dimuhasabahka sepajang masa.

2. Menguatkan kedudukan PAS dalam menerajui perubahan dan islah, dengan menguatkan saf parti bersama kumpulan Islam.

3. Keterbukaan mengadaan hubungan dengan semua pihak, yang membawa kepada penyertaan yang memberi kemenangan kepada Islam, mengikut konsep dakwah dan siyasah syar’iyyah.


Abdul Hadi Bin Haji Awang Muhammad

Presiden
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)



Kenyataan Media

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) akan mengadakan Konvensyen Blogger PAS 2009. Sehubungan dengan itu, aktivis bloggers PAS khususnya dari peringkat pimpinan Pusat, Negeri, kawasan dan ahli cawangan dipelawa bagi menghadiri konvensyen ini.

Tempat adalah terhad. Untuk pendaftaran, para bloggers diminta untuk menghantar email ke – penerangan.paspusat @yahoo.com atau hubungi Sekretariat Penerangan PAS Pusat ditalian 03-2692500 ext 310 sebelum 13 November 2009 (Jumaat).

Maklumat yang diperlukan adalah seperti berikut:

  • Nama
  • No. Ahli Pas
  • No. HP
  • Alamat Blog
  • Email

Tarikh dan tempat program akan dimaklumkan melalui email.

Sekian. Harap Maklum

Ust. Idris Ahmad Ketua Penerangan PAS Pusat


Berikut ialah intipati Bajet 2010 '1Malaysia, Kemakmuran Bersama':


1. Peruntukan wang berjumlah RM191.5 bilion yang meliputi RM138.3 bilion (72.2 peratus) untuk belanja mengurus dan RM53.2 bilion (27.8 peratus) untuk belanja pembangunan.

2. Bayaran khas RM500 kepada penjawat awam bagi Gred 41 hingga Gred 54 dan setaraf dengannya serta pesara wajib kerajaan pada bulan Disember ini.

3. Peningkatan pengecualian cukai pendapatan kepada penyedia perkhidmatan jagaan kesihatan daripada 50 peratus nilai peningkatan pendapatan eksport kepada 100 peratus sebagai galakan untuk menarik lebih ramai pelancong kesihatan.

4. Pelepasan cukai individu ke atas yuran langganan jalur lebar sehingga RM500 setahun mulai 2010 hingga 2012.

5. Pinjaman pembelian komputer ditawarkan kepada penjawat awam setiap tiga tahun sekali berbanding lima tahun sekali sekarang.

6. Subsidi, insentif dan bantuan hampir RM2 bilion untuk membela nasib golongan petani dan nelayan.

7. Peruntukan lebih RM9 bilion untuk projek infrastruktur termasuk pembinaan jalan, jambatan, bekalan air, perkhidmatan pembentungan, pelabuhan dan perkhidmatan laut serta projek lapangan terbang.

8. Peruntukan tambahan RM20 juta di bawah Tabung Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) untuk usahawan kecil kaum India (Peruntukan sedia ada RM15 juta).

9. Peruntukan RM3 juta sebagai geran pelancaran penubuhan Tabung Kebajikan Penggiat Seni bagi memastikan kebajikan warga seni sentiasa terbela dan diberi perhatian.

10. Peruntukan tambahan RM20 juta untuk memberi pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dengan sasaran 20 buah sekolah pada 2010.

11. Menganugerahkan Biasiswa Nasional kepada 30 pelajar terbaik di kalangan yang terbaik berasaskan kepada merit sepenuhnya. Penyandang Biasiswa Nasional ini akan melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor di dunia.

12. Menukar pinjaman PTPTN kepada biasiswa bagi pelajar yang berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama atau setaraf dengannya bermula tahun 2010.

13. Diskaun tambang 50 peratus bagi perkhidmatan kereta api KTMB jarak jauh kepada pelajar berumur 13 tahun sehingga mereka masih bertaraf pelajar bermula 1 Jan, 2010.

14. Pakej "netbook", termasuk perkhidmatan jalur lebar percuma, kepada 100,000 pelajar universiti tempatan dengan bayaran RM50 sebulan untuk tempoh dua tahun bermula 1 Jan, 2010.

15. Peruntukan RM100 juta bagi pelaksanaan Program PERMATA, yang memberi penekanan terhadap kaedah pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak secara bersepadu dan terancang.

16. Perlindungan insurans dan takaful mikro untuk peniaga kecil-kecilan mendapat manfaat perlindungan dalam lingkungan RM10,000 hingga RM20,000 dengan premium serendah RM20 sebulan.

17. Menubuhkan 14 lagi Mahkamah Sesyen Khas Rasuah dan empat Mahkamah Tinggi Khas Rayuan Kes Rasuah.

18. Cukai perkhidmatan sebanyak RM50 setahun ke atas kad kredit utama dan kad caj, termasuk kad yang diberi percuma dan cukai pendapatan RM25 setahun ke atas setiap kad kredit tambahan mulai 1 Jan, 2010.

19. Semua kementerian dan jabatan kerajaan diwajibkan untuk menyediakan pusat penjagaan harian dan pendidikan anak-anak dengan setiap kementerian dan jabatan diberi peruntukan RM200,000 untuk penubuhannya.

20. Kadar cukai pendapatan individu maksimum dikurangkan daripada 27 peratus kepada 26 peratus berkuatkuasa tahun taksiran 2010.

21. Pelepasan diri kepada pembayar cukai pendapatan individu dinaikkan kepada RM9,000 daripada RM8,000 mulai tahun taksiran 2010 bagi membolehkan pembayar cukai nikmati peningkatan pendapatan boleh guna sebanyak RM1,000.

22. Hampir 50,000 isi rumah miskin tegar yang berdaftar di bawah program eKasih dan 4,000 isi rumah Orang Asli yang telah dikenal pasti akan dibantu untuk mencapai matlamat sifar kemiskinan tegar. Peruntukan RM41 juta untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat Orang Asli.

23. Peruntukan RM48 juta bagi melaksanakan program pembasmian kemiskinan bandar meliputi bantuan kebajikan dan program bayaran sewa rumah dan Kementerian Wilayah Persekutuan ditukarkan nama kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

24. Penyediaan 74,000 rumah kos rendah oleh Jabatan Perumahan Negara untuk disewa pada tahun 2010.

25. Pelancaran skim KWSP pada Januari 2010 bagi membolehkan pencarum mendapatkan jumlah pembiayaan lebih besar bagi pembelian rumah yang bernilai lebih tinggi atau bagi pembelian rumah tambahan.

26. Peruntukan RM224 juta kepada OKU untuk bantuan, melaksanakan Program Pemulihan Dalam Komuniti dan peruntukan RM174 juta untuk warga emas.

27. Kadar elaun kanak-kanak OKU di sekolah pendidikan khas kelolaan NGO dinaikkan daripada RM50 kepada RM150 sebulan bagi setiap orang mulai 1 Jan 2010.

28. Penubuhan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia yang diuruskan oleh KWSP.

29. Potongan caruman pekerja KWSP dinaikkan semula ke kadar 11 peratus secara sukarela berkuat kuasa serta-merta.

30. Membina jalan luar bandar sepanjang 510km dan jalan kampung sepanjang 316km dengan peruntukan RM857 juta termasuk jalan di Kapit, Lawas dan Simunjan di Sarawak serta Kinabatangan, Kota Belud dan Keningau di Sabah.

BERNAMA

Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS/Menteri Besar Kelantan
Bertarikh : 02 Zulkaedah 1430 / 21 Okt. 2009

Nama : Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Tarikh Lahir : 1931
Tempat lahir : Kampung Pulau Melaka,Kelantan.
Pengajian : Pondok Tuanguru Hj Abbas, Besut. Universiti Deoband India. Universiti Lahore Pakistan. Universiti Al Azhar. Sarjana Muda bahasa Arab. Sarjana Perundangan Islam.











Latarbelakang:
Jarang sekali hati saya menjadi tidak sedap sepanjang melibatkan diri dalam kepimpinan Islam. Hati saya pernah bergolak dizaman bekas Presiden PAS yang mahsyur iaitu di zaman Allahyarham Dato’ Haji Mohamad Asri. Di peringkat itu, saya terpaksa bersuara dan menunjukkan sikap saya yang ada sebahagiannya dirakamkan melalui buku saya yang berjodol “kemuncup dalam perjuangan.” Di waktu itu, saya masih ingat betapa sukarnya saya untuk memilih antara menegur atau mendiamkan diri. Namun, setelah teringat bahawa Nabi SAW juga pernah ditegur oleh Allah SWT, maka, saya memutuskan untuk berdiri dengan santun dan saya pun katalah jua apa yang munasabah untuk dikata. Saya memilih untuk mengambil sikap ini berasaskan adanya hujah nas yang memboleh, bahkan dalam keadaan-keadaan tertentu bersifat wajib untuk berbuat demikian. Sampai ke hari inipun saya masih berpegang dengan pendirian ini.


Untuk lebih terpimpin, mari kita terlebih dahulu perhatikan tiga petikan surah dan latar peristiwa disekitar tiga kisah ini. Ia ada dirakamkan didalam kitab suci al-Quran.


i). Dalam peristiwa Badar setelah perang berakhir yang memberi kemenangan kepada tentera Islam, terdapat sejumlah 70 tawanan perang. Apabila Nabi SAW membuka perbincangan, apa yang patut dibuat dengan tawanan-tawanan perang ini, Saidina Umar berpandangan, mereka semua perlu dibunuh manakala Sadina Abu Bakar pula berpendapat lebih baik mereka dibenarkan bebas setelah diambil wang tebusan.


Ditakdirkan Allah, keputusan yang ada dilangit adalah selaras dengan syur yang dikemukakan oleh Saidina Umar. Ia berbunyi:

Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda duniawiah sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untuk mu) dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu dari Allah, nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kamu ambil.(Surah Al-Anfaal Ayat 67 – 68)


Dari sini, jelas bahawa tidak ada sesuatu yang pelik dalam tradisi menegur pemimpin didalam Islam.

ii). Peristiwa kedua ialah sewaktu Nabi S.A.W. bersumpah tidak akan meminum sejenis madu dari bunga tertentu kerana menerima teguran dari salah seorang dari isteri baginda S.A.W. sewaktu berada di rumah salah seorang isterinya. Dalam peristiwa ini, sekali lagi Nabi S.A.W. di tegur dengan lafaz berbunyi:

Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkannya bagi mu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isteri mu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah At-Tahriim Ayat 1)

iii). Dalam surah ‘Abasa, sekali lagi kita dapat saksikan teguran Allah S.W.T. ke atas Nabi S.A.W. yang dilihat tidak memberikan layanan kepada seorang buta ketika Baginda didatangi oleh pemimpin Quraish yang turut berada di dalam majlis yang sama pada waktu itu. Teguran Allah S.W.T. berbunyi:

Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa). Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manafaat kepadanya. Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya.(Surah ‘Abasa Ayat 1 – 6)

Apa isunya?

Isu yang ada di hadapan kita sekarang ialah isu kepimpinan. Biar saya mulakan begini. Saya boleh bersetuju dengan sebahagian dari tulisan Dr. Aziz Bari yang ada tersiar dalam akhbar Sinar Harian pada 19 Okt. 2009 di mukasurat N16. Antara lain, beliau mengemukakan teguran dan saranan seperti berikut :

“Dalam konteks sekarang Pakatan perlu dibenarkan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan supaya kita dapat membezakan kelainan mereka melaksanakan Perlembagaan.”

“Fungsi Dewan memantau kerajaan. Dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan kerajaan pada hakikatnya dimiliki Dewan.”

“Dengan itu mungkin sudah sampai masanya Pas membuat langkah drastik, sama ada mendisiplinkan Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali atau menyingkirkannya terus.”

“Bagaimanapun, ini tidak mudah untuk berlaku kerana Hasan dilihat mewakili golongan yang pro-Umno dalam PAS seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa dan penyokong mereka.”

“Dalam kekecohan di Selangor Abdul Hadi membisu sehingga di dalam parti sudah ada yang berkata bahawa Abdul Hadi adalah watak bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam PAS. Sementara itu Nasharuddin membela tindakan Hasan itu secara terbuka.”

“Saya fikir ada beberapa tokoh tertentu dalam PAS yang boleh merubah keadaan. Beberapa bulan kebelakangan ini imej dan kemampuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak agak menonjol dan kelihatannya beliau mempunyai kemampuan untuk memimpin parti.”

“Saya tertarik dengan kelicikan Azizan menyiku Azman Shapawi, Naib Ketua Pemuda PAS dalam isu penjualan arak beberapa bulan lalu. Dalam pada itu organisasi PAS di Kedah dikatakan lebih baik daripada apa yang ada di Terengganu.”

“Buat masa ini, hanya 32 peratus pengundi yang yakin dengan kemampuan Pakatan. Jika PAS kekal dengan kapten yang ada ini (sokongan) mungkin akan berkurangan.”


Pandangan Saya
Atas pandangan inilah saya berfikir dan terus berfikir. Setelah berfikir sambil berdoa, maka saya berpuashati untuk mengatakan begini :
Kalau Umno boleh buat sesuatu dengan mengadakan Mesyuarat Agong Khas dan MCA pun boleh mengadakan EGMnya sehingga sempat menggugurkan Presiden dan Timbalan Presidennya. Demikian juga dengan PKR yang telah membuat pindaan Perlembagaannya melalui Kongres Khas mereka. Maka kita?

Walaupun isu MCA benda lain, iaitu rasuah, kita lagilah tidak payah khuatir untuk adakan Muktamar Khas kerana kita bukan membawa isu rasuah . Isu kita ialah isu dua tiga kerat pemimpin bermasalah. Masyarakat India pun boleh menentang Samy Vellu dengan mewujudkan parti lain. Maka pelik apa, kita panggil mesyuarat parti yang tergempar misalnya; mungkin dipanggil muktamar khaslah. Kalau nak kirakan, kitalah yang sepatut buat dulu. Demi “tajdid” kita perlu buat Mesyuarat Agong Luarbiasa ini. Bila Mesyuarat Agong tak mahu tukar Presiden, misalnya maka tidak mengapalah. Kita pakat-pakat belalah. Begitu juga dengan isu-isu disekitar Hassan Ali atau Mustafa Ali yang tak habis-habis dengan nak bekerjasama PAS dengan Umno ke arah kerajaan Perpaduan atau UG. Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan. Kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ni?

Tidak boleh jadi ni, kita duk “ghok-ghak” (kacau) begini. Orang boleh terima atau tak boleh terima, bawa ke Muktamar Khaslah; senang cerita. Biar tentu sah, nak ikut yang mana. Kita nak kekal yang mana dan buang yang mana. Dengan Muktamar Khas yang boleh menjelaskan dan memutuskan banyak perkara ini, puak-puak atas pagar yang membuat swing votes dan mempengaruhi keputusan pilihanraya juga akan berpuas hati samada nak swing atau tak nak swing lagi kerana mereka sudah dijelaskan oleh keputusan Muktamar Khas berkenaan. Mereka jelas.

Biarlah kita ambil mandat baru sekali lagi. Mesyuarat biar ringkas;ambil sehari penuh atau dua hari penuh misalnya tetapi prosesnya mesti ringkas, dan keputusannya adil, telus, tepat, terus dan jelas. Undi perlulah sulit dan dilakukan di atas kertas .
Untuk kali ini, saya dengan kuat merasakan bahawa perlu ada perubahan dalam pemain-pemain penting yang menduduki kerusi kepimpinan PAS diperingkat pusat. Kalau nak kata ini persiapan ke arah PRU ke 13 pun, kata gi lah. Dan memang betul begitulah.




KUALA LUMPUR, 16 Okt:
Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man meminta kerajaan Pahang membayar segera saman berjumlah RM65 juta kepada syarikat pembalakan Seruan Gemilang Makmur (SGM) bagi mengelakkan wang rakyat terus dikorbankan. Beliau berkata, sikap kerajaan yang melengah-lengahkan bayaran saman tersebut sejak sekian lama akan mendatangkan lebih banyak masalah kerana faedah sebanyak RM8,000.00 sehari terus berjalan seperti yang diputuskan mahkamah.

"Saya harap kerajaan negeri menyelesaikan kes ini dengan menjelaskan hutang yang tertangguh kerana jika kerajaan lambat menjelaskannya, kadar faedah sebanyak RM8,000.00 terus berjalan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Mahkamah Rayuan Putrajaya minggu lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 2007 yang mengarahkan kerajaan negeri membayar saman kepada SGM kerana melanggar perjanjian pemberian konsesi pembalakan di kawasan seluas 4,000 hektar di Mukim Bebar, Pekan.

Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei 2007 mengeluarkan satu perintah kepada kerajaan negeri supaya membayar ganti rugi berjumlah RM37, 127, 471.60 kepada SGM dengan kadar faedah 8 peratus setahun mulai Disember 2000 (jumlah keseluruhan RM60juta).
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob bagaimanapun memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi bagi menangguhkan keputusan mahkamah itu namun gagal dalam rayuannya.

Sehingga 7 April 2008, pihak defendan (Adnan dan kerajaan negeri) gagal membuat sebarang bayaran ataupun menghubungi SGM menyebabkan kedua-duanya dianggap melanggar dan menghina keputusan mahkamah.

Seterusnya pada 20 April 2008 Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah mandamus (perintah akur bayar) terhadap Adnan dan kerajaan negeri bagi melunaskan bayaran RM63 juta kepada SGM dalam tempoh 14 hari mulai dari tarikh itu.

Adnan sekali lagi memohon mengenepikan kes melalui Mahkamah Rayuan dan beliau dilepaskan dari membayar hutang tersebut.

Hutang sebenar kerajaan negeri sekarang sudah menghampiri RM65juta kerana faedah sebanyak RM8, 000 sehari terus berjalan.

Menurut Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, meskipun mahkamah rayuan melepaskan Adnan daripada membayar hutang tersebut, namun kerajaan negeri tetap terpaksa membayarnya.

Ujarnya, keputusan mahkamah itu juga hanya untuk membersihkan nama Adnan sedangkan kerajaan negeri terus terbeban dengan hutang yang semakin meningkat sekaligus menyebabkan rakyat turut merasai tempiasnya.

"Keputusan mahkamah itu bersifat teknikal sahaja untuk membersihkan nama Adnan sedangkan kerajaan negeri tetap menanggung hutang," katanya.

Beliau juga mendakwa, akibat penyelewengan dan rasuah yang dilakukan kerajaan Umno BN menyebabkan wang rakyat terpaksa digunakan untuk menyelesaikan bebanan hutang.

"Disebabkan penyelewengan dan salahguna kuasa kerajaan negeri, rakyat yang terpaksa menanggung kerugian. Ini tak sepatutnya berlaku," tegasnya.


Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. Kamu akan melihat manusia memasuki Agama Allah dengan berbondong-bondong(tanpa mengira bangsa dan bahasa).Surah An-Nashr Ayat 1 dan 2

Mari kita sama-sama panjatkan seribu satu kesyukuran kepada Pencipta langit dan bumi kerana dengan izin dan restu-Nya dapatlah juga saya berkongsi sama menumpahkan sedikit rasa hati .


Pilihanraya amat berkaitan dengan agama, keadilan dan tanggungjawab setiap rakyat dalam sistem demokrasi. Ia menyentuh hak warganegara. Ia ada kaitan dengan dosa pahala dan mendapat keredhaan Allah atau sebaliknya. Pilihanraya adalah medan pemilihan pemimpin yang bakal kita angkat sebagai penggubal dan pemantau undang-undang samada di Parlimen atau Negeri. Selaku wakil rakyat, segala bentuk kebajikan, sakit dan mati, susah dan senang; juga segala aduan dan masalah kita sepatutnya diberi perhatian oleh wakil rakyat. Dalam konteks inilah amat pentingnya kita memilih wakil rakyat yang memahami masalah serta prihatin terhadap kebajikan kita selaku pengundi.


Pemilihan saudara Zulkefly Mohamad Omar, Pesuruhjaya PAS Negeri sebagai calon PAS dikira cukup cucuk untuk meneruskan khidmat amal ini. Selaku seorang muda yang telah diuji kecekapan dan ketabahannya untuk memimpin Pas Negeri, dalam usia 44 tahun beliau diyakini mampu mencabar calon yang ditampilkan oleh UMNO/BN. Tidak syak lagi beliau adalah seorang yang bertenaga untuk menyaingi Umno dikerusi N31. Tanpa perlu diulas, semua orang sudah tahu betapa terdesaknya UMNO sehingga masih mengambil calon yang telah terbukti mempunyai rekod yang cemar dari segi amalan politik wang. Ini disahkan sendiri melalui Lembaga Disiplin UMNO yang telah mengambil tindakan tatatertib ke atas pelbagai amalan salah laku yang melibatkan beliau. Sebenarnya saya amat terkilan dengan sikap “double standard” yang diamalkan oleh UMNO dalam hujah mempertahankan pemilihan calon ini. Mereka mendabik dada kononnya mereka mematuhi kehendak “grass root”. Anehnya sewaktu merampas Kerajaan Negeri Perak yang sah, mereka telah dengan terang-terangan menafikan kehendak dan perasaan akar umbi yang telah memilih kerajaan Pakatan Rakyat.


Buat 5,000 pengundi yang berada di kem-kem tentera saya mohon berpesan supaya jangan takut untuk menyatakan pendirian. Gunakanlah hak-hak demokrasi tuan-tuan dengan cermat. Inilah masa terbaik untuk menunjukkan sikap gagah perwira dengan penuh istiqamah dan keberanian. Pada saya, sikap Presiden UMNO yang tidak semena-mena membangkit-bangkitkan soal kenaikan gaji dan kemudahan perumahan bagi tentera di Port Dickson di hari pengisytiharan calon adalah sesuatu yang tidak sihat. Sudah tentu pengisytiharan ini akan disusuli dengan pelbagai janji berupa halwa, madu dan susu untuk tujuan-tujuan pancingan.


Kepada pengundi luar yang berada diperantauan, baliklah dan mengundilah dengan penuh amanah pada 11 Oktober 2009. Inilah satu-satunya senjata dan hak kita sebagai rakyat Malaysia dalam negara demokrasi. Tentukan undi Tuan/Puan akan memulihkan corak dan rupabentuk keadilan dan memperbaiki wajah demokrasi demi masa depan negara. Mari kita keluar untuk menyatakan keyakinan dan sokongan kita kepada saudara Zulkefly wakil PAS/PR yang tidak berbelah bagi. Dengan sepangkah undi, mari kita tolak kezaliman.


Ini bukan soal kalah menang dalam gelanggang politik semata-mata tetapi lebih mustahak dari itu, ia adalah perjuangan untuk mencari keredhaan Allah dan mendapat pahala di akhirat kelak. Bahkan ia sekaligus kesempatan untuk mengembalikan demokrasi kepangkuan rakyat. Sudah 7 kali pilihan raya kecil diadakan di Semenanjung dan kita telah memenangi ketujuh-tujuhnya. Mari kita ulangi kemenangan buat kali ke-8 pada 22 Syawal ini.Kita perlu panjangkan gema takbir Hari Raya yang berbunyi “Allahuakbar...Allahuakbar...Allahuakbar.Walillahilhamdu


“UNDILAH PAS. SELAMATKAN NEGARANik Abdul Aziz bin Nik Mat Mursyidul Am PAS. Tanggal:12 Syawal 1430/1 Oktober 2009

Powered By Blogger

Blog Pilihanku...