lizamuslim

Hati ini telah bersatu, Berkumpul di perut bumiMu, Hati ini telah berpadu, Bersatu memikul beban dakwahMu, Hati ini telah mengikat setia, Untuk mendaulat untuk mendukung, SyariatMu di alam maya, Maka Ya Allah eratkanlah, Ikatan yang ada...




RABU, 17 JUN 2009 | 23 JAMADIL AKHIR 1430H
Ikhtilaf atau perbezaan pendapat adalah lumrah bagi manusia. Ia berlaku di kalangan para anbiya’, dan turut berlaku di kalangan para sahabat. Ia juga berlaku di zaman Rasulullah, sama ada sewaktu Baginda masih hidup apatah lagi setelah Baginda wafat.


Ikhtilaf berlaku dalam belbagai keadaan sama ada berpunca dari penafsiran sesuatu nas dalil yang mempunyai pelbagai makna, lahjah yang berbeza atau sudut pandangan seseorang. Namun ianya tidak pernah dianggap negatif dalam sejarah para ulama' sehingga terkeluar kata-kata mahsyur: “Perbezaan pendapat di kalangan umatku adalah rahmat".

Kata-kata ini ditahkik oleh Dr Yusuf Qardhawi sebagai ‘la aslalah’ (tidak diketahui punca riwayat sebenar), kerana beliau melihat kalau perbezaan pendapat menjadi rahmat, bermakna muafakat adalah bala’, dan ini tentunya bertentangan dengan sifat Islam sebagai rahmat, serta dalil-dalil yang lain.

Saya tidak berhasrat membicarakan persoalan tersebut dari sudut tahqiq atau para perawi, tetapi ianya adalah mahsyur. Lantaran itu rahmat yang disebut dalam kata-kata itu tentulah lahir dari pelbagai natijah hasil ikhtilaf tersebut.

Para ulamak telah membuat huraian panjang lebar berhubung dengan persoalan adab dalam ikhtilaf. Namun adab hanya akan diikuti bila mana adanya tasawur yang jelas terhadap apa yang diikhtilafkan. Sebagai sebuah jamaah Islam, ikhtilaf hendaklah berjalan di atas landasan ukhuwah, bukan kebencian dan memandang rendah kepada sahabat. Ikhtilaf boleh berlaku di kalangan pimpinan dan pengikut demi memperkukuhkan jamaah, ia akan lahir setelah adanya sikap hormat kepada perbezaan pandangan, kerana kemampuan berfikir manusia tidak sama.


Dari sudut jamaah, kita terikat dengan akhlak dan adab jamaie, yang menuntut kita agar berlapang dada dengan perbezaan pendapat, dan tidak memaksa pandangan kita ke atas jamaah, kecuali dalam perkara yang terikat dengan nas yang bersifat qatie. Selagi ianya bersifat ijtihadi, maka ia terikat untuk dibahas, dibincang, diterima atau ditolak.

Sikap Tasaamuh (berlapang dada) dalam ikhtilaf sangat-sangat dituntut. Terkadang kita memandang baik kepada sesuatu perkara, sedangkan ianya tidak baik bagi kita, bahkan terkadang kita membenci sesuatu, sebaliknya ia baik bagi kita. Itulah yang diingatkan oleh Allah - “dan boleh jadi kamu membenci sesuatu, tetapi ianya baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu mengasihi sesuatu, tetapi ia tidak baik bagi kamu; Allah mengetahui, sedangkan kamu sebenarnya tidak mengetahui."

Oleh kerana perkara masa depan adalah dalam ilmu Allah, maka setiap perbezaan pandangan hendaklah mengharapkan kebaikan dari Allah. Berlapang dadalah dengan perbezaan ini. Apatah lagi kalau kedua-duanya untuk kebaikan jamaah. Kita mempunyai saluran dalam melahirkan perbezaan pandangan, maka gunakan saluran parti bagi menyatakan perbezaan pandangan agar ia tidak merosakkan ukhuwah dalam jamaah.

Kita mempunyai pengikut yang ada kecenderungan tersendiri, sama ada untuk mengikuti pandangan seseorang atau membencinya. Kebencian ini akan memberi ruang kepada musuh untuk memasukkan jarum fitnah, yang boleh menjurus kepada hilangnya wala’ pada pimpinan sedangkan wala’ adalah rukun dalam jamaah.

Sebagai pimpinan kita tidak seharusnya meletakkan ahli dan pengikut dalam situasi serba salah, antara bersetuju dengan sesuatu pendapat dan pandangan atau sebaliknya. Kerana rasa bersalah yang wujud dalam diri ahli untuk menerima atau menolak sesuatu pandangan pimpinan, mendorong kepada dua situsi;

Apa orang lain akan kata kepadanya, dan sekiranya ia berlaku, ia mendatangkan kesan besar selepas itu. Tidak mustahil ada yang akan tersinggung, menyisih diri, merajuk dan seterusnya hilang dari jamaah
Menjadi golongan kecewa dengan apa yang berlaku dan terus mengambil sikap berdiam diri dari aktif dalam jamaah.


Kedua-dua situasi ini tidak menguntungkan jamaah dan paling besar merugikannya bila mana ia mengadap Allah di akhirat. Lantaran itu, ikhtilaf hendaklah di dalam lingkungan adab berjamaah, ia dikawal dari sikap melampau, membuka ruang kepada musuh, apatah lagi menjerumus kepada hilangnya sikap hormat, kecewa, dan tidak memperdulikan jamaah.

Awasi perangkap musuh yang membesar-besar perbezaan pendapat, meracuni pemikiran ahli agar hilang wala’ pada pimpinan, dan memberi peluru kepada musuh untuk merosakkan jamaah.

Semoga Allah memelihara kita dari fitnah ini.

Powered By Blogger

Blog Pilihanku...

Blog Archive