lizamuslim

Hati ini telah bersatu, Berkumpul di perut bumiMu, Hati ini telah berpadu, Bersatu memikul beban dakwahMu, Hati ini telah mengikat setia, Untuk mendaulat untuk mendukung, SyariatMu di alam maya, Maka Ya Allah eratkanlah, Ikatan yang ada...


Posted by MisbahulMunir
PAS berhadapan dengan kemelut dalaman parti yang tidaklah serius dan separah masalah dalaman UMNO sebagaimana yang cuba digambarkan oleh media arus perdana. Perbezaan pendapat antara pimpinan parti bukan bermakna PAS telah berpecah belah. Kemelut dalaman parti ini hanyalah krisis pemikiran antara pimpinan tertinggi parti akibat isu Kerajaan Perpaduan.

Krisis pemikiran yang berlaku semakin berlarutan akibat masing-masing pimpinan menjadikan media sebagai saluran mempertahankan pandangan, sepatutnya perbezaan pendapat dalam perkara-perkara besar seumpaman ini dibincangkan dan diutarakan dalam muzakarah dan mesyuarat dalaman parti.

Selain itu, UMNO melalui media sememangnya menunggu peluang ini, perbezaan pendapat antara pimpinan PAS dibesar-besarkan oleh media arus perdana. Pimpinan UMNO kononnya menyokong pendapat sebelah pihak dengan pujian yang melambung, selama ini tidak ada pimpinan tertinggi UMNO memuji sebegitu rupa. Tujuan pujian hanyalah untuk mengeruhkan keadaan, ini yang UMNO mahu. Dalam keadaan UMNO semakin ditolak oleh rakyat, manakala Pakatan Rakyat semakin disenangi oleh rakyat, peluang seumpama inilah yang ditunggu oleh UMNO.

Berhadapan dengan kemelut pemikiran ini, sebagai ahli dan penyokong PAS, sewajarnya kita menjadi pendengar yang baik. Kita tidak boleh terus terburu-buru menghukum mana-mana pihak yang pandangannya berbeza dengan kita. Itu sikap yang tidak adil.

Kita wajar bahkan wajib mengikuti perkembangan dengan teliti, mendengar dari sumber-sumber yang dipercayai, pandangan kedua-dua pihak hendaklah sama-sama kita dengar, kemudian diteliti. Jauhi dari mendengar dari pandangan pihak ketiga, apatah lagi media-media cetak atau media elektronik, lebih-lebih lagi bloggers yang berat sebelah.

Membaca dan mendengar bagi mengikuti perkembangan adalah baik, tetapi jangan cuba mengulasnya kalau maklumat yang kita perolehi samar-samar dan ragu-ragu, sekalipun maklumat itu benar dari sumber yang dipercayai, kalau ingin mengulas, ulaslah dengan cermat dan adil bukannya menjadi batu api atau semakin mengeruhkan keadaan.

Buat masa ini, lebih baik kita ikuti sahaja perkembangan. Anggaplah pandangan-pandangan pimpinan yang berbeza dalam isu ini ada asas dan hujjah masing-masing, kita boleh ikuti dengan penuh minat, teliti, tertib dan beradab. Buat sementara waktu, elakkan dari memihak.

Di samping itu, kita sangat mengharap supaya pimpinan tertinggi parti mencari jalan terbaik menyelesaikan isu ini melalui muzakarah, semua pihak hentikan dari membuat kenyataan melalui media walaupun media rasmi parti. Ceramah-ceramah PAS juga bukan medan terbaik menjelaskan isu ini, ia hanya akan mengeruhkan lagi keadaan. Mesyuarat khas parti hendaklah segera diadakan bagi membincangakan isu. Semua pimpinan mesti memberi pandangan dan sikap terhadap isu ini.

Sekiranya peringkat pimpinan juga tidak boleh menyelesaikan isu ini, Muktamar Khas parti hendaklah segera diadakan. Serahkan kepada Muktamar bagi membuat keputusan terhadap kemelut dan krisis pemikiran ini. Sebagaimana dalam perlembagaan PAS, Muktamar adalah kuasa tertinggi dalam memutuskan suatu perkara yang tidak mampu diselesaikan sebagaimana proses biasa.

Ketika inilah, kita berhak menyokong mana-mana pandangan yang berdasarkan penelitian kita, pandangan itu benar dan betul. Ahli parti hendaklah patuh dengan keputusan Muktamar walaupun boleh jadi pandangan kita berbeza dengan keputusan Muktamar. Disiplin dan akhlak berjamaah hendaklah menjadi amalan, Insya Allah PAS tidak akan mengulangi sejarah lampau dengan perpecahan yang akhirnya wujud parti baru.

Powered By Blogger

Blog Pilihanku...

Blog Archive