lizamuslim

Hati ini telah bersatu, Berkumpul di perut bumiMu, Hati ini telah berpadu, Bersatu memikul beban dakwahMu, Hati ini telah mengikat setia, Untuk mendaulat untuk mendukung, SyariatMu di alam maya, Maka Ya Allah eratkanlah, Ikatan yang ada...


Salam...Ini video umno dan sarkis

Salam,

Lihat berita di bawah bagi mereka yang belum baca...
Rupa-rupanaya Zambry belum boleh masuk dewan


Oleh: Mohamed Hanipa Maidin

Saya sedar ramai yang ingin tahu kesan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 April lalu yang memutuskan bahawa keputusan V.Sivakumar, Speaker Perak menggantung dan melarang Zambry dan enam Exconya hadir di Dun Perak selama 18 bulan dan 12 bulan adalah terbatal dan tak sah.Ramai yang bertanya saya adakah keputusan tersebut bermakna Zambry dan enam exconya kini boleh menghadiri sidang Dun Perak?

Jika kita melihat kenyataan peguam Umno dan laporan akhbar pro-Umno seperti Utusan Malaysia (17.4.2009) mereka dengan tidak bertanggungjawab menyatakan bahawa Zambry dan enam exconya kini dibenarkan menghadiri sidang Dun Perak yang mungkin akan diadakan dalam masa terdekat.

Sebagai salah seorang peguam yang terlibat dalam kes tersebut, saya menasihati rakyat agar tidak terkeliru dengan kenyataan peguam Umno dan laporan akhbar Umno tersebut. Banyak yang mereka sembunyikan dan tidak jelaskan tentang apa yang sebenarnya berlaku di Mahkamah Persekutuan pada tarikh tersebut.

Marilah kita mulakan dengan melihat apakah perintah-perintah yang dipohon oleh Zambry dan enam exconya di dalam saman yang mereka kemukakan ke atas Sivakumar di Mahkamah Tinggi dan kemudiannya didengar di Mahkamah Persekutuan.

Sebenarnya Zambry telah memohon sepuluh (10) perintah Mahkamah dan dari sepuluh perintah tersebut Mahkamah hanya membenarkan dua (2) perintah sahaja. Dua perintah yang dibenarkan oleh Mahkamah adalah seperti berikut:

Pertama, perintah membatalkan keputusan V. Sivakumar yang menggantung dan melarang Zambry hadir di Dun Perak selama 18 bulan.

Kedua, perintah membatalkan keputusan V. Sivakumar yang menggantung dan melarang enam exco Zambry untuk hadir di Dun Perak selama 12 bulan adalah terbatal dan tak sah.lapan permohonan Zambry tidak dilulus Mahkamah

Itu sahaja dua perintah yang Mahkamah Persekutuan benarkan pada 16 April lalu. Tidak lebih dari itu. Apa sahaja kenyataan dari peguam Umno selain dari dua perintah tersebut bukanlah perintah Mahkamah sebaliknya adalah kenyataan mereka yang tidak berasas.Memandangkan Mahkamah Persekutuan hanya membenarkan dua perintah di atas, adalah jelas Mahkamah tidak membenarkan lapan (8) perintah lain yang juga dipohon oleh Umno dan dihujahkan oleh para peguam Zambry dan pasukan peguam Sivakumar.

Apakah perintah-perintah yang dipohon oleh Zambry dan enam exconya tetapi tidak dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan? Mari sama-sama kita saksikan lapan perintah yang TIDAK DIBENARKAN tersebut.

Meskipun peguam Umno berhempas pulas dan bermati-matian berhujah, Mahkamah Persekutuan TIDAK MEMBENARKAN perintah-perintah berikut:

1. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar (defendan pertama di
dalam kes tersebut) menggantung dan melarang Plaintif Pertama (Zambry) menghadiri pada sidang Dun selama 18 bulan adalah ultra vires (bertentangan) dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undang Negeri Perak (standing orders) dan Enakmen Dewan Perhimpunan Undangan (Keistimewaan) 1959 dan/atau undang-undang yang berkaitan dan oleh itu adalah terbatal dan tak sah.

2. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa perbuatan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry menghadiri sidang DUN selama 18 bulan adalah menyalahi undang-undang.

3. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Plaintif ke-2 hingga Plaintif ke-7 (enam Exco) menghadiri sidang Dun selama 12 bulan adalah ultra vires (bertentangan) dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undang Negeri Perak (standing orders) dan Enakmen Dewan Perhimpunan Undangan (Keistimewaan) 1959 dan/atau undang-undang yang berkaitan dan oleh itu adalah terbatal dan tak sah.

4. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa perbuatan Sivakumar menggantung dan melarang enam Exco menghadiri sidang Dun selama 12 bulan adalah menyalahi undang-undang.

5. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa Zambry dan enam Exconya adalah berhak menghadiri dan mengambil bahagian dalam semua sidang Dun dan menjalankan segala fungsi dan kewajipan mereka di dalamnya.

6. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa Dun Perak adalah tidak terikat dengan keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry dan enam Exconya menghadiri sidang Dun Perak.

7. Perintah untuk mengisytiharkan bahawa Dun Perak adalah tidak terikat dengan apa-apa arahan, perintah dan/atau petunjuk Sivakumar yang berbangkit daripada atau berhubung dengan keputusan Sivakumar yang bertarikh 18.2.2009.

8. Perintah-perintah, perisytiharan dan/atau relif lain yang difikir suaimanfaat oleh Mahkamah.Sekali lagi saya ingin tegaskan di sini bahawa lapan perintah di atas yang Zambry dan enam exconya pohon TIDAK DIBENARKAN oleh Mahkamah Persekutuan.

Atas dasar itu jika peguam Umno atau akhbar pro-Umno mengatakan bahawa Zambry dan enam exconya boleh menghadiri sidang Dun Perak, jelas kenyataan itu bukan datang dari mana-mana perintah Mahkamah sebaliknya ianya hanya kenyataan tidak berasas dari peguam Umno dan akhbar mereka.

Kenyataan tersebut tidak mempunyai apa-apa nilai di sisi undang-undang. Rakyat tidak perlu melayan kata-kata mereka yang dibuai khayalan tersebut.Bagaimanakah Umno boleh mengatakan keputusan tersebut bermakna Zambry dan enam Exconya boleh menghadiri sidang Dun Perak sedangkan Mahkamah dengan secara jelas tidak membenarkan perintah yang mereka pohon iaitu perintah bahawa Zambry dan enam exconya adalah berhak menghadiri dan mengambil bahagian dalam semua sidang Dun dan menjalankan segala fungsi dan kewajipan mereka dalamnya.

Kalau perintah tersebut dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan barulah mereka boleh mengatakan Zambry dan enam exconya boleh ke sidang Dun Perak.

Saya harap penjelasan di atas sedikit sebanyak dapat menjelaskan bahawa apa yang Umno kata di media massa adalah tidak menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku.Sivakumar masih Speaker dan beliau masih berbisa. Jika Umno terus mengeluarkan kenyataan mengelirukan tidak mustahil mereka mungkin akan dipatuk oleh Sivakumar dan saya percaya patukan selepas ini akan membuat Umno menderita lebih panjang.

Saya juga ingin tegaskan di sini apabila Zambry dan enam exconya membawa kes mereka di Mahkamah dengan mencabar keputusan Sivakumar sebagai Speaker yang sah, mereka mungkin tidak sedar bahawa mereka sedang melakukan satu kesalahan kerana mendedahkan dokumen-dokumen rasmi Dun Perak tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu dari Sivakumar sebagai Speaker.

Marilah kita sama-sama tunggu dan lihat apakah yang berlaku selepas ini.

Ahmad Lutfi Othman Pembaziran wang rakyat untuk polis

Menurut laporan akhbar berkenaa, semasa pilihan raya kecil Permatang Pauh, SPR membelanjakan RM409,000, manakala pihak polis, RM2.5 juta; di Kuala Terengganu, SPR (RM580,000), polis (RM11.5 juta); di Bukit Gantang, SPR (RM600,000), polis (RM7 juta); di Bukit Selambau, SPR (RM400,000), polis (RM5 juta); dan Batang Ai, SPR (RM400,000), polis (RM5 juta). Jumlah kesekuruhan, SPR membelanjakan RM2.4 juta, sementara pihak polis, RM31 juta.

Bagaimanapun, sidang Parlimen pada 18 Februari lalu dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato' Chor Chee Heung bahawa polis telah membelanjakan sebanyak RM15.53 juta di Kuala Terengganu, iaitu RM4 juta lebih tinggi daripada anggaran kos dalam jadual di atas.

Ramai pemimpin Pakatan Rakyat mengkritik kehadiran begitu ramai anggota polis, sehingga ada yang menganggarkan jumlahnya melebih 10,000 orang, seolah-olah Kuala Terengganu menjadi zon perang. Di mana saja anda akan bertemu polis dan khemah putih tempat penginapan mereka jelas menarik perhatian masyarakat setempat.


Belanja polis jauh lebih besar

Di Parlimen juga, Chor memaklumkan bahawa perbelanjaan pasukan polis untuk mengawasi pilihan raya kecil Permatang Pauh hanya kurang sedikit daripada Kuala Terengganu. Ini bermakna kos di Permatang Pauh juga sekitar RM15 juta, jauh lebih besar daripada anggaran seperti ditunjukkan dalam jadual.

(Kalau benar kita memerlukan pengawasan daripada pihak polis seramai itu, mungkin kos sebesar itu boleh diterima. Tetapi, semua orang tahu, rakyat kita bukan perusuh atau penjenayah, yang meletakkan undang-undang dalam tangan mereka. Kita tidak memerlukan kawalan ketat sebegitu rupa. Banyak pihak melihat kehadiran pasukan keselamatan itu adalah satu strategi BN (tidak pasti sama ada pendekatan itu akhirnya memakan diri BN sendiri) untuk mencapai kemenangan).

Perbelanjaan itu belum termasuk yang dihanguskan jentera kempen BN, yang bukan sahaja menggunakan peruntukan parti, malah membazirkan bukan sahaja wang rakyat tetapi juga kemudahan dan jentera kerajaan.
Bayangkan berapa ramai menteri yang turun berkempen menggunakan dana awam? Ada kementerian yang mengadakan hari bertemu pelanggan di kawasan pilihan raya, yang langsung tidak ada kena mengena, selain untuk turut berkempen memenangkan BN. RTM yang membuat liputan langsung, misalnya semasa Tun Dr Mahathir Mohamad turun ke Bukit Gantang, tentunya menghabiskan wang yang bukannya sedikit.

Saya pernah mendedahkan ratusan ribu ringgit wang universiti digunakan untuk perbelanjaan pemantau pilihan raya oleh urusetia Hal Ehwal Pelajar (HEP) bagi mengesan mahasiswa yang berkempen untuk pembangkang, antaranya di Machap, Melaka dan Ijok, Selangor.

Had perbelanjaan kempen tidak pernah dipatuhi

Walaupun undang-undang pilihan raya membataskan perbelanjaan kempen setakat RM200,000 untuk pilihan raya kawasan Parlimen dan RM100,000 untuk Adun, tetapi dipercayai jentera BN membelanjakan jauh lebih besar daripada itu. Lim Kit Siang menganggarkan untuk kempen di Batang Ai sahaja - kawasan yang dijangka BN menang mudah - parti itu membelanjakan kira-kira RM70 juta.

Saya tidak mahu anda terperanjat atau "terkejut beruk" jika kita menjumlahkan semua perbelanjaan BN untuk lima pilihan raya kecil itu. Wang rasuah politik itu sebenarnya datang daripada dana awam juga, yang diperolehi melalui salahguna kuasa dan amalan tumbuk rusuk.

Ringkas cerita, kalaupun Najib takut berdepan kempen di Penanti, iaitu salah satu Dun di bawah Permatang Pauh, kita cadangkan carilah daleh lain, alasam yang boleh diterima akal sedikit.

"Mungkin Najib takut dikejar hantu Altantuya kot? Yalah, Penanti adalah kubu Anwar, takkan Najib nak mengulangi sumpahnya lagi sepertimana yang dibuat semasa kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh dulu," soal pensyarah sains politik tadi.

Mendengar saya ketawa di hujung talian, beliau menegaskan, "Lutfi, isu Altantuya bukan soal remeh, Najib betul-betul risau ...."_

YB Datuk Zambry Abdul Kadir,
ADUN Pangkor, Perak Darul Redwan.

Assalamualaikum wr wt.

PEMBUBARAN DUN PERAK
Salam, dengan iringan YB dalam keadaan sehat sejahtera.
Kelancaran Pentadbiran Negeri Perak dan kestabilan politik yang membolehkan urusan kebajikan rakyat dikendalikan dengan baik terganggu apabila kuasa Kerajaan Negeri Perak dirampas dengan membelakangkan pilihan rakyat.

YB terlibat sebagai watak utama apabila bersetuju menerima jawatan MB sekalipun MB yang sah tidak pernah dalam apa jua cara mengosongkan kerusinya.
Atas takdir Allah, berlaku kekosongan kerusi di Perak berikutan kematian YB ADR Bukit Gantang di mana satu dari ADUN yang telah berpaling tadah ada di situ, iaitu DUN Cangkat Jering.

Seperti YB ikuti, calon BN telah tewas dengan majority yang lebih besar dari pilihanraya umum 2008, sekalipun gambar YB sebagai ‘Menteri Besar’ tersenyum lebar dan terpampang di mana-mana. Kemenangan YAB Datuk Sri Nizar telah membuktikan segala-galanya.

Rakyat Perak tidak boleh menerima kerajaan haram yang membelakangkan pilihan rakyat. Apa lagi semua dasar-dasar yang diputuskan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat telah diteruskan tanpa satu pun dirombak walaupun UMNO mendakwa dasar-dasar itu merugikan Melayu, termasuk dasar pemberian milik tanah yang telah terbengkalai puluhan tahun semasa BN mentadbir Perak.

Saya suka memetik pendapat Dr. Wee Ka Siong, Dr. Cheah Soon Hai, Pengerusi Gerakan Kedah dan Encik Ismail Saffian, bekas calon BN di Bukit Gantang sendiri, yang disiarkan dalam akhbar The Star, muka surat N4 hari ini: bahawa punca kekalahan BN bukan sahaja di Bukit Gantang, malah juga di Bukit Selambau ialah peristiwa perampasan kuasa Kerajaan Perak.

Jika calon BN sendiri, seorang ahli UMNO, boleh mengakui hakikat ini, di manakah YB hendak letakkan muka? Ia bukan sahaja menyebabkan BN kalah di Bukit Gantang, tetapi kesan negatifnya sampai ke Kedah.
Selain calon, rakan-rakan parti komponen YB juga secara terbuka menyalahkan tindakan berkenaan.

Kalau sudah ahli dan rakan sendiri menyalahkan YB dan parti YB, tentulah rakyat yang telah membuat pilihan mereka merasa terkilan berlebih lagi.
Apa lagi yang boleh menghalang naluri murni YB tidak tersentuh dan deria maruah YB tidak terpanggil?

Masihkah mampu YB berdiri tercacak sebagai ‘Menteri Besar Perak’ sedangkan pilihan rakyat adalah lain dan rakyat Perak melalui pengundi Bukit Gantang telahpun menjatuhkan penghakiman mereka?

Kembalikanlah kepada rakyat. Walaupun sudah terlajak, ia masih boleh dibetulkan jika kehormatan politik dan maruah diri masih utuh dan tinggi.

Salam

Husam Musa
Naib Presiden PAS
13 Rabi’ul Akhir 1430/
9 April 2009

Berikut adalah surat Tok Guru Nik Aziz kepada YB Nga Kor Ming (dipetik daripada www.blogtokguru. bom). Surat yang ditulis sebagai respon kepada isu penggunaan ayat al-Qur'an oleh bukan Islam. Sangat menyentuh jiwa, bila baca, dapat rasakan indahnya dakwah...

YB Encik Nga Kor Ming

EXCO Kerajaan Negeri Perak
Pejabat EXCO Negeri Perak
30000 Ipoh
PERAK DARUL RIDZUAN.

Menemui YB Encik Nga dengan ucapan salam sejahtera
Yang Berhormat,

Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya telah mengikuti isu di sekitar percubaan YB untuk mengenali Islam melalui pembacaan Ayat-Ayat Al-Quran dengan tekun. Saya juga terharu mendengar keluhan YB yang berbunyi "saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan Al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang."

Saya boleh memahami dan menyelami perasaan kecewa yang sedang melanda hati YB. Mudah-mudahan dengan sikap "tidak mesra Umno" dan pemimpin-pemimpin Umno tentang kecenderungan masyarakat Tionghua dan India yang sihat ini, ia akan meningkatkan lagi kesedaran Non-Islam untuk lebih mengkaji, mendalami dan mengadakan forum serta wacana mengenai Islam dengan cara yang lebih meluas.

Saya mempunyai sebuah impian. Dalam tempoh tidak berapa lama lagi mudah-mudahan akan muncul lebih ramai orang dari kalangan masyarakat Tionghua, India, Siam, Bajau dan Kadazan yang tampil menjadi Qari, Ustaz, Khatib dan Imam di seluruh negara. Kalau Jenghiz Khan yang mengetuai tentera Moghul menyerang dan memusnahkan hampir seluruh Kerajaan dan tamadun Islam di Kota Baghdad, tetapi sempat ditebus semula keagungan Islam melalui cucunya yang bernama Aurangzeb yang menegakkan empayar Islam di India kemudiannya. Maka saya mempunyai keyakinan yang kuat bahawa Islam akan kembali gemilang di negara kita melalui kaedah dan insiden yang hampir sama. Mudah-mudahan YB lah orangnya yang akan meletakkan batu asas pertama ke arah menyusun batu bata yang kukuh ini untuk terus bertumpang tindih.

Mari kita bina asas ini dengan mengatur langkah-langkah permulaan melalui seminar, muzakarah, muqabalah, dialog dan wacana. Tajuk-tajuk seperti "dimana tak kenanya Islam" atau "apa mesej al-Quran kepada orang bukan Islam" bolehlah difikirkan. Anggota panel boleh terdiri daripada tokoh-tokoh PAS, Umno, DAP, PKR dan pemimpin-pemimpin NGO, pensyarah serta pendakwah bebas. Ia boleh dijadikan sesi kuliah bersiri yang boleh dianjurkan di PWTC, di masjid-masjid, surau-surau, kuil-kuil dewan-dewan perhimpunan, di universiti-universi ti, baik di IPTS atau IPTA.


Sekali lagi saya mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T di atas kekuatan dan keberanian yang ada pada YB. Terus tekun dan beristiqamahlah dalam mengharungi ujian-ujian ini. Insya Allah saya seakan-akan sedang melihat sekerdip lilin yang bercahaya di hujung sana. Marilah kita sama-sama ke sana.

* MEMBANGUN BERSAMA ISLAM *



(TUAN GURU DATO' HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT)Menteri Besar KelantanMerangkapMursyidul Am PAS


Dipetik dari blog Ust Misbah (Setpol MB Nizar). Tak sia-sia rasanya berkempen untuk beliau


KESEDERHANAAN DAN KELEBIHAN HJ NIZAR



Saya mengenali Hj Nizar sejak beliau aktif dalam PAS di peringkat Kawasan Kampar lagi, ketika itu saya masih Ketua Pemuda PAS Perak. Tetapi sepanjang 11 bulan saya menjadi Setiausaha Politik kepada beliau sebagai YAB MB Perak, saya lebih lagi mengenalinya. 11 bulan walaupun tidak lama, tetapi oleh kerana setiap hari dan masa banyak dihabiskan bersama beliau, bertukar fikiran, menerima arahan, nasihat dan berbagai urusan lagi dengan beliau, menyebabkan saya sangat-sangat mengenali beliau.
Sepanjang 11 bulan bersama dalam pejabat dan luar pejabat, saya tahu apa kelebihan dan kekurangan. Saya tidak mahu memuji atau memuja Hj Nizar sehingga tidak nampak langsung kelemahannya. Sebagaimana manusia biasa, beliau tetap ada kelemahan. Cuma kelemahan itu ditutupi oleh beberapa kelebihan yang lain. Kelemahannya pula senang diperbetulkan, kerana beliau seorang yang mudah ditegur, tidak ego dan tidak sombong. Saya cukup menghormatinya, kalau ada kesilapan, beliau suka ditegur, saya tegur tidak dengan cara serius, kadang-kadang sambil bergurau, beliau tetap menerima teguran tersebut. Saya selalu menegur tentang ucapan-ucapannya kerana saya selalu mengikuti ucapannya. Selepas ditegur, beliau segera memperbaiki ucapannya.

Ucapan beliau sentiasa bernas walaupun tanpa teks, ayat Quran menjadi muqaddimah ucapannya, seringkas mana sekalipun ucapannya mesti dimulakan dengan petikan-petikan ayat al Quran, diterjemah dan dihuraikan, sekaligus sebagai dakwah dan tazkirah kepada yang hadir. Dalam majlis yang dihadiri oleh majoriti orang bukan Islam sekalipun, ayat Quran tetap dibacanya. Diterjemah dan diulas dalam Bahasa Inggeris bagi memudahkan mereka memahaminya. Beberapa EXCO DAP tertarik dengan pendekatan ucapan Hj Nizar, ada yang rajin, dikajinya ayat tersebut dan cuba difahaminya. Kemudian mereka turut memetik ayat-ayat al Quran yang ada kaitan dengan keadilan, amanah, rasuah, kezaliman dan sebagainya dalam ucapan-ucapan mereka pula. DAP yang tidak beriman dengan Al Quran tetapi menggunakan al Quran untuk menyokong hujjah mereka. Ini yang UMNO BN dengki.

Sekiranya teks ucapan disediakan oleh pegawai-pegawai yang diberi tanggungjawab menyediakannya, beliau akan meminta saya dan Setiausaha Akhbar menyemaknya, dan meminta cari ayat-ayat al Quran dan Hadis yang sesuai dengan majlis yang diadakan. Beliau akan tokoh tambah sendiri dalam pengucapan, diselang seli pula dengan loghat Perak menjadikan ucapannya cukup menarik dan tidak jemu didengar.

Semua orang tahu, beliau ada pengetahuan agama yang cukup baik. Sebab itu, beliau boleh mengimami solat, menyampaikan tazkirah dan kuliah agama dengan kupasan yang cukup baik, setiap kali beliau mengunjungi mana-mana masjid mahupun surau, pasti Imam bertugas akan meminta beliau mengimami solat dan menyampaikan tazkirah.
Sepanjang 11 bulan berada di pejabat SUK, setiap hari melainkan ada program di luar pejabat, beliaulah yang mengimami solat Zohor di surau SUK dan menyampaikan tazkirah ringkas. Sepanjang bulan Ramadhan, setiap pagi lebih kurang 15 - 20 minit, tazkirah pagi diadakan melalui pembesar suara. Pegawai-pegawai tinggi dan kanan kerajaan serta pegawai-pegawai khasnya turut menyampai tazkirah secara bergilir-gilir. Pembudayaan ilmu seumpama ini sangat disenangi oleh semua pegawai dan kakitangan kerajaan.

Setiap hari, beliau datang ke pejabat tepat jam 8 pagi, sebelum memulakan tugas di pejabatnya, beliau akan mengerjakan solat Dhuha dibilik rehatnya. Selepas itu barulah beliau memulakan tugas sebagaimana yang dijadualkan oleh saya sebagai Setiausaha Politik dan juga oleh Setiausaha Sulitnya.

Beliau cukup peka dengan masalah rakyat, sekiranya berlaku apa sahaja musibah yang menimpa, beliau akan segera melawatinya dan menghulurkan bantuan, sekiranya tidak ada kesempatan, beliau akan mengarahkan pegawai-pegawai khasnya mewakilinya. Setiap jemputan khenduri akan cuba dihadiri. Beliau tidak suka menghampakan jemputan, apatah lagi jemputan ceramah atau kuliah.

Setiap rakyat yang datang ingin berjumpa dengannya sentiasa dilayaninya. Hari Selasa adalah hari MB bertemu pelanggan. Semua yang datang akan puas hati dengan cara MB melayani tetamu-tetamunya. Ada juga yang datang tanpa temu janji, itupun akan dilayaninya dengan baik. Kadang-kadang rakyat ingin berjumpa dengannya hanya sekadar ingin bersalam, bukan sahaja rakyat Perak bahkan rakyat luar Perak juga sering mengunjunginya.

Setiap program akan dihadiri tepat pada waktunya, beliau pula berjalan cukup laju sehingga tidak terkejar oleh orang lain. Ketepatan waktunya tidak boleh diatasi oleh orang lain. Banyak program yang diadakan di pejabat SUK, beliau sering sampai dahulu sebelum pegawai-pegawai tinggi yang lain sampai. Beliau cukup sederhana dalam kehidupan. Sebelum menjadi MB, beliau tidak mempunyai rumah sendiri, tinggal di rumah sewa di Tapah. Beliau tinggal di kediaman rasminya atas restu dan saranan pimpinan PAS Perak. Dan beliau sedikitpun tidak menambah atau mengganti sebarang perabut, carpet, langsir dan sebagainya, walaupun ada peruntukannya. Cuma beliau ada mengubah suai pantri yang jarang digunakan menjadi sebuah surau bagi memudahkan solat berjamaah.
Beliau makan tengahari di kantin pejabat setiap hari melainkan tidak ada di pejabat. Seringkali beliau bersama pegawai-pegawainya makan nasi goreng kampung sahaja kerana lauk pauk sering kehabisan, maklumlah makan selepas solat, laukpun dah habis. Kadang-kadang beliau makan nasi bungkus sahaja yang diorder dikantin kerana sebuk dengan temujanji. Beliau tidak pernah mengajak untuk makan dihotel atau direstoran.

Apabila ada program lawatan ke luar, beliau akan sarapan pagi di mana-mana gerai tepi jalan. Kesempatan itu digunakan untuk berinterasksi dengan orang ramai. Beliau sangat pemurah orangnya, saya diberitahu, MB memberi peruntukan sejumlah wang peribadinya kepada pegawai khasnya untuk tujuan kebajikan dan sumbangan-sumbangan orang ramai yang memerlukan. Saya difahamkan hampir 6 - 7 ribu sebulan diperuntukan untuk tujuan tersebut.
Semua orang dihormati dan disantuni oleh beliau tanpa mengira fahaman agama, politik, bangsa dan umur. Apabila mendengar pimpinan UMNO atau wakil rakyat UMNO jatuh sakit pa, sti akan segera diziarahinya walaupun berbeza ideologi perjuangan. Setiap kali berjumpa bayi atau kanak-kanak kecil pasti akan didokong dan diciumnya, bahkan didoakannya.

Beliau juga boleh berkomunikasi dengan baik dalam pelbagai bahasa, bertemu orang Cina disapanya dalam bahasa Cina, begitu juga India dan Sikh. Malahan beliau boleh berkomunikasi dengan baik dalam loghat Asli. Dalam satu majlis meraikan kunjungan lebih 200 orang Asli dari berbagai suku di seluruh Perak, beliau telah menyampaikan ucapan dengan loghat Asli dengan begitu baik. Ucapannya cukup mengkagumkan.

Beliau pernah menjiwai kehidupan sebagai seorang penoreh getah, sebelum menjadi MB beliau sering menorehnya sendiri bersama orang Asli di Tapah. Beliau juga seorang penjala ikan yang mahir, boleh juga bertukang dan sebagainya. Pendek kata kehidupannya macam orang kampung biasa walaupun dalam masa yang sama beliau merupakan seorang jurutera profesional yang mempunyai syarikat consultant yang besar dan terlibat dengan urusan perniagaan dalam dan luar negeri. Sebab itulah, walaupun beliau menjadi Menteri Besar, beliau tetap tidak sombong, prihatin dengan masalah rakyat, mesra rakyat, mudah simpati dengan masalah rakyat dan sebagainya. Sebelum beliau menjadi MB, beliau pernah memberi pinjaman kewangan dengan sejumlah wang yang begitu besar, yang biasanya pihak bank sahaja yang mampu memberi pinjaman tersebut, hanya kerana tidak mahu melihat orang lain susah. Saya pernah bertanya anak perempuannya yang panggilannya keluarganya Yong. Mengapa abah Yong tak buat rumah sendiri, anak ramai tak kan menyewa sahaja. Kata Yong, abah tak mahu buat rumah sendiri buat masa ini, nanti dia tak dapat membantu ekonomi PAS Perak, waktu itu beliau adalah Bendahari PAS Perak. Menurutnya kalau dia buat rumah sendiri, sudah tentu melibatkan kos ratusan ribu, sedangkan beliau merasa bertanggungjawab untuk membantu dan mengutamakan ekonomi PAS Perak.

Bangunan PAS Perak di Medan Istana dibeli secara tunai oleh PAS Perak tanpa meminjam dengan mana-mana bank. Usaha keras beliaulah yang menjelajah seluruh Perak menemui para dermawan PAS sehingga ahli-ahli PAS rela memberi sumbangan dalam bentuk pinjaman al Qardhul Hasan bagi membolehkan PAS Perak membeli bangunan dengan duit ahli tanpa terlibat dengan intitusi kewangan yang sudah tentu terlibat dengan unsur-unsur riba. Usaha keras beliau dikagumi oleh tuan punya bangunan, beliau meminta tempoh 3 bulan sahaja untuk menyelesaikan pembayaran tersebut secara tunai, 3 bulan kemudian, setelah hampir setiap malam bertemu dengan ahli-ahli PAS seluruh Perak, akhirnya beliau berjaya mengutip 400 ribu. Kagum dengan keupayaan ini, tuan punya bangunan turut menyumbang sama dengan memberi sumbangan kalu tidak silap hampir 10 ribu.

Itulah sebahagian cebisan kelebihan-kelebihan Hj Nizar sepanjang saya mengenali beliau, banyak lagi sebenarnya. Justeru itu, rakyat Bukit Gantang tidak akan rugi mempunyai seorang Ahli Parlimen seumpama beliau, suara beliau akan mewakili rakyat Bukit Gantang dan rakyat Perak di Parlimen, kelantangan suaranya, kepetahan hujjah-hujjahnya, kepekaan dan perihatinan terhadap nasib rakyat menjadikan rakyat Bukit Gantang akan terbela nasib dan masa depannya.

Powered By Blogger

Blog Pilihanku...